Tag: Hans Isaac

  • Hans menang Ketua PKR Cabang Ampang, atasi Altimet 2 undi

    Hans menang Ketua PKR Cabang Ampang, atasi Altimet 2 undi

    PENGARAH dan pelakon, Datuk Hans Isaac memecah tradisi apabila memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022 selepas pemilihan semula diadakan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang tersebut pada 21 Mei lalu.

    Memetik laporan Astro Awani, berdasarkan keputusan dalam laman sesawang Pemilihan PKR 2022, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berjaya memperolehi 748 undi.

    Beliau menewaskan seorang lagi selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, dengan perbezaan dua undi apabila menyaksikan penyanyi rap itu meraih 746 undi.

    Tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain hanya memperolehi 101 undi; Sam Hoo Wai (70) dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi, manakala Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.

    Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menewaskan Hans dan Altimet dalam persaingan merebut jawatan Ketua Cabang .

    Beliau menerima jumlah undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing mendapat dengan 609 undi dan 589 undi.

    Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan “membeli undi”.

    Dalam perkembangan sama, Hans menerusi hantaran di IG Story malam tadi turut memuat naik kenyataan mengesahkan kemenangannya sebagai Ketua PKR Cabang Ampang yang baharu.

    “Dengan berbesar hati mengumumkan secara rasminya ia rasmi. #KetuaCabangAmpang,” tulisnya dalam entri tersebut.

    Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

    Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan berakhir pada 22 Mei lalu.

  • Hans Isaac dahului pemilihan semula Ketua PKR Cabang Ampang

    Hans Isaac dahului pemilihan semula Ketua PKR Cabang Ampang

    PELAKON, Datuk Hans Isaac yang bertanding jawatan Ketua PKR Cabang Ampang mendahului pencabar-pencabarnya yang lain dalam pemilihan semula cabang berkenaan semalam.

    Memetik laporan Malaysiakini, keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang pemilihan PKR menunjukkan Hans menerima 748 undi, manakala seorang lagi selebriti, Altimet hanya ketinggalan dua undi di belakang.

    Sebelum pemilihan semula diadakan, Hans memperoleh undi kedua tertinggi di belakang Daing Muhammad Reduan Bachok.

    Daing menerima 942 undi ketika itu, manakala Hans mendapat 609 undi dan Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman, di tempat ketiga dengan 589 undi.

    Namun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing terlibat dalam kegiatan ‘membeli undi’.

    Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata pemilihan semula itu perlu diadakan kerana kemenangan Daing adalah tidak sah.

    Daing juga dilarang bertanding dalam pemilihan semula kali ini.

    Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pelakon itu akan bertanding di kawasan Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan artis, Datuk Afdlin Shauki.

    Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua PKR Cabang Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri daripada bertanding.