Tag: hamzah zainuddin

  • Surat kepada Agong: PN tolak PRU sekarang, bukan tak sokong PM

    Surat kepada Agong: PN tolak PRU sekarang, bukan tak sokong PM

    PENDIRIAN Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    “Itu (menarik sokongan kepada Perdana Menteri) bab lain. Ini bab pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan portal BeritaBersatu.

    Beliau menjelaskan mengenai isu sama ada surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini juga bererti PN menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

    Mengulas surat berkenaan, laporan itu memetik Hamzah berkata, pendirian mereka dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar.

    “Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana kita mengikut keputusan parti,” katanya.

    Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan semua 12 menteri daripada PAS dan BERSATU mewakili PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju jika PRU-15 dilaksanakan tahun ini.

    Anggota Kabinet PN tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini atas faktor musim tengkujuh yang diramalkan berisiko mencetus bencana banjir besar hujung tahun ini, selain faktor pemulihan ekonomi yang memerlukan tumpuan penuh kerajaan.

    Baru-baru ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan PAS itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

  • Jejak Jho Low: ‘Red Notice’ memadai, tiada hasrat tawar ganjaran – KDN

    Jejak Jho Low: ‘Red Notice’ memadai, tiada hasrat tawar ganjaran – KDN

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak berhasrat menawarkan ganjaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Lapor Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandangan kaedah melalui ‘red notice’ (orang dalam buruan dikehendaki untuk pendakwaan) dikeluarkan Polis Antarabangsa (INTERPOL) adalah lebih baik.

    “Kaedah Red notice adalah lebih baik kerana menggunakan elemen kerjasama dan maklumat perisikan yang lebih tepat.

    “Kaedah ini memerlukan mana-mana 195 negara anggota yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat terbabit kepada Malaysia bagi membolehkan tindakan ekstradisi dibuat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

    Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada polis sudah menghubungi dua wartawan iaitu Tom Wright dan Bradley Hope mengenai dakwaan mereka bahawa Jho Low dan keluarganya dilihat di China dan Hong Kong pada tahun 2018 dan 2019 serta mengapa kerajaan tidak menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat terkini mengenai keberadaan Jho Low.

    Hamzah dalam laporan itu berkata, setiap maklumat yang diterima mengenai keberadaan Jho Low di negara Asing sentiasa diteliti kesahihannya termasuk menggunakan saluran antarabangsa sedia ada.

    Menjawab Soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai langkah diambil untuk mengesan dan menahan Jho Low, Hamzah berkata, KDN melalui PDRM tidak pernah berhenti dan komited dalam usaha mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan terbabit.

    “PDRM turut menjalin kerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, pihak berkuasa Singapura dan agensi penguatkuasaan negara lain.

    “PDRM amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low supaya menyalurkannya melalui talian CCID Infoline di 013-211 1222 (WhatsApp sahaja) atau di mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

    Setiap maklumat yang diterima akan diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada INTERPOL bagi mendapatkan pengesahan lanjut daripada negara ahli terbabit.

    Sebelum ini, media melaporkan Jho Low didakwa masih bersembunyi di China dan perkara itu didedahkan penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di platform aplikasi video YouTube, pada 31 Ogos lalu.

    Menerusi episod itu, Hope bersama seorang penulis, Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Disneyland Shanghai.

    Hope berkata, gambar didakwa bertarikh 24 Disember 2019 itu diterimanya daripada sumber boleh dipercayai.

    Hope sebelum ini melancarkan kempen menjejak Jho Low dengan meminta orang ramai mengesan ahli perniagaan dalam buruan itu.

    Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

  • RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    RM500,000 baik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini  mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja membaik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi dekat Kudat bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.

    Beliau berkata penduduk di pulau itu juga boleh membuat laporan kelahiran dan kematian di Balai Polis Karakit sebelum diambil tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setiap bulan.

    “Sebuah bot Polis Marin akan ditempatkan di Pulau Banggi bagi tujuan rondaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya selama sehari ke Pulau Banggi di sini hari ini.

    Beliau berkata menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dijalankan di pulau itu hari ini, sebanyak 30 dokumen pengenalan telah diserahkan kepada penduduk merangkumi sijil kelahiran, Mykad dan Mykid.

    Pada 4 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengadakan lawatan ke pulai itu berkata Balai Polis Karakit wajar dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada anggota bertugas selain meningkatkan keselamatan di pulau berkenaan serta perairan sekitar.

    Acryl Sani berkata ketika ini 38 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat ASP bertugas di Balai Polis Karakit yang sudah usang dan sempit untuk operasi harian.

    Kudat ialah sebuah daerah terletak di utara Sabah kira-kira 180 km arah utara dari Kota Kinabalu dan Pulau Banggi terletak di bahagian utara daerah itu. – BERNAMA

  • 1,800 dijangka  hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    1,800 dijangka hadir Konvensyen PN 2022 Sabtu ini

    PARTI Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Konvensyen Perikatan Nasional 2022 dan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-2 penubuhan gabungan itu pada 27 Ogos ini.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, konvensyen julung kali itu akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor dan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurutnya, semua Presiden parti komponen, pimpinan dan perwakilan PN yang dijangka seramai 1,800 orang termasuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri gabungan itu di seluruh negara dijangka hadir.

    “Selain membincangkan isu-isu semasa berkaitan masalah rakyat pasca pandemik Covid-19, Konvensyen ini juga akan menggariskan landasan utama Perikatan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Konvensyen itu juga menetapkan dasar serta hala tuju parti bagi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa Perikatan Nasional adalah parti yang mempunyai tawaran yang harmoni, relevan dan segar sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pada Konvesyen itu juga, Anugerah Prihatin Perikatan Nasional akan disampaikan kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa Konvensyen PN 2022 mampu menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan khidmat bakti parti kepada rakyat serta memperkukuhkan kerjasama parti-parti anggota Perikatan Nasional secara keseluruhannya,” katanya.

  • Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    Isu perkauman: Polis akan panggil Borhanuddin

    BEKAS Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan disiasat susulan kenyataan berbaur perkauman terhadap pemain badminton negara, S Kisona.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Borhanuddin di seluruh negara setelah kenyataannya yang merujuk kepada pemain itu tular di laman sosial sejak kelmarin.

    Katanya polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Siasatan juga akan dibuat mengikut Sekyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998. Saya rasa amat dukacita apabila seorang pemimpin bercakap mengenai perkauman. Isu perkauman ini banyak berlaku, termasuk kes ini.

    “Kadangkala seseorang terlalu mengikut emosi hingga mengeluarkan kenyataan yang tidak elok,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan upacara pecah tanah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

    Turut hadir Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Bangunan IPK baharu bernilai RM104 juta setinggi sembilan tingkat itu dibina di tapak seluas dua hektar ditengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu bagi menggantikan bangunan lama yang telah berusia 84 tahun, dan ia dijangka siap hujung 2024.

    Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, di peringkat parti tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Borhanuddin setelah beliau meletak jawatan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

    “Borhanuddin sudah minta maaf dan letak jawatan…jadi saya nasihatkan pada yang lain supaya jangan melakukan perkara seperti ini. Salah tetap salah…saya rasa dia dah faham. Kita tidak suka (pada kenyataan perkauman) tetapi ia telah pun terjadi,” katanya.

    Sementara itu ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa lebih ramai pemimpin dan ahli Bersatu menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula Umno, Hamzah berkata: “Saya tak tahulah…itu mungkin persepsi beliau (Ahmad Zahid).”

    Beliau berkata pemimpin mempunyai hak masing-masing untuk menyertai mana-mana parti dan ia terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan.

    Hmzah berkata tindakan sesetengah pemimpin yang keluar parti tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Bersatu, malah menurutnya jumlah ahli parti itu telah meningkat sehingga 520,000 ahli berbanding 300,000 ahli sahaja tahun lepas. – BERNAMA

  • Erwan mohon sertai UMNO, Bersatu Putrajaya tidak terjejas

    Erwan mohon sertai UMNO, Bersatu Putrajaya tidak terjejas

    TINDAKAN bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak akan menjejaskan bahagian itu, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, akar umbi dan kepimpinan Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan susulan tindakan Erwan, jawatan ketua bahagian itu kini dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian, Fathul Azam Hashim.

    “Tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya memohon untuk kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Putrajaya kerana beliau telah pun meletakkan jawatannya pada 10 Okt tahun lepas setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, media memetik Erwan sebagai berkata beliau telah keluar dari Bersatu dan kembali menyertai UMNO berkuat kuasa serta-merta. – BERNAMA

  • Polis siasat kes tiga pegawai SPRM – Hamzah

    Polis siasat kes tiga pegawai SPRM – Hamzah

    POLIS telah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya turut meminta kepada polis supaya siasatan ini dipercepatkan selain bersetuju ia diklasifikasikan sebagai kes curi.

    “Isu ini timbul dalam masa terdekat sebab itu saya jawab kertas siasatan sudah kita buat dan dibuka. Polis akan lihat kembali kertas laporan dan saya bersetuju kalau kes curi, akan dimasukkan dalam kes curi.

    “Kita mahu pastikan kes ini dipercepatkan. Kerajaan ini adalah kerajaan yang mengekalkan sikap benar-benar berintegriti,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Deo (PH) berhubung tindakan SPRM yang menyiasat sendiri kes melibatkan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

  • Kerajaan tambah baik syarat MM2H-Hamzah

    Kerajaan tambah baik syarat MM2H-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SYARAT-SYARAT penyertaan bagi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) akan ditambah baik bagi memastikan peserta hanya terdiri daripada mereka yang berkualiti dan dapat menyumbang dalam menjana ekonomi negara.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antaranya keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

    “Kerajaan juga penetapkan pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal simpanan bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak-anak. Pengisytiharan aset cair (peserta) mesti sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

    “Pendapatan luar negara pula mesti sekurang-kurang RM40,000 sebulan,” katanya menerusi sesi pertanyaan menteri-menteri di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menyemak semula program MM2H berikutan rungutan komuniti MM2H dan industri ekonomi berkaitan terhadap syarat-syarat baru yang amat ketat.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, bagaimanapun, pemegang MM2H sedia ada dipertimbangkan kelonggaran daripada memenuhi dasar baharu itu.

    Katanya, dasar itu hanya perlu dipenuhi oleh peserta-peserta baharu program berkenaan.

    Sementara itu, Hon Wai turut bertanya mengapa kerajaan melaksanakan konsep Satu Negara, Dua Sistem iaitu Sarawak mempunyai dasar MM2H yang liberal berbanding kerajaan Persekutuan.

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memberitahu, berlaku perbezaan polisi program MM2H dan peraturan Imigresen antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak disebabkan kedua-dua negeri itu mempunyai peruntukan istimewa.

    Ujar beliau, itu seperti yang digariskan Seksyen 64 dan 65 Akta Imigresen 1959/1963 yang menyatakan kemasukan warga asing dam tempoh keberadaan warga asing di kedua-dua negeri itu.

    “Justeru, kerajaan Sabah dan Sarawak boleh menyesuaikan syarat penyertaan program ini bagi tujuan mengeluarkan pas lawatan sosial.

    “Bagaimanapun, saya akan duduk bersama Sabah dan Sarawak untuk membincangkan tentang program ini bagi menyesuaikannya di seluruh negara supaya tak timbul lagi dua syarat berbeza antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

  • Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri – Hamzah

    Ahli Parlimen PN teguh bersama Ismail Sabri – Hamzah

    SEMUA Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdiri teguh bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan. 

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan Ismail Sabri dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutama dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

    “Kami yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata PN menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

    Selain itu, Hamzah berkata PN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqamah.

    Beliau berkata semua program bantuan rakyat, pakej rasangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan oleh Muhyiddin adalah bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara.

    Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara pada pukul 2.28 petang ini. 

    Beliau menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – BERNAMA

  • Dalang perhimpunan di ibu negara disiasat

    Dalang perhimpunan di ibu negara disiasat

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap dalang yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya mengesan penglibatan kumpulan itu yang didalangi oleh individu sama atau pemimpin p[olitik sebagai penghasut bertujuan merosakkan imej negara.

    Menurutnya, tindakan diambil terhadap mereka menyertai perhimpunan itu dan diumumkan dari semasa ke semasa.

    “Saya tengok mereka ini adalah individu-individu yang sama melontarkan kemarahan apabila kerajaan membenarkan kilang beroperasi, namun individu ini juga yang mengarahkan dan menghasut supaya semua orang turun berkumpul.

    “Jika diteliti, kita akan faham bahawa kumpulan-kumpulan ini hanyalah bertujuan memecahbelahkan keadaan serta menimbulkan kegusaran kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, Larut hari ini.

    Hadir sama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

    Hamzah berkata, ketika tempoh pandemik Covid-19 sepatutnya rakyat sedar terhadap bahaya penularan wabak Covid-19 terutamanya varian Delta yang mudah merebak dengan cepat melalui udara.

    “Mereka ini sudah tahu bahayanya varian ini kepada masyarakat namun pada masa yang sama mereka juga yang mengajak orang ramai untuk berkumpul.

    “Adakah mereka ini double standard dalam mematuhi SOP atau sememangnya kebal daripada varian ini,” soalnya.