Tag: Hajiji Noor

  • ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    ‘Apa kamu buat masa jadi Ketua Menteri’, Hajiji tanya Shafie

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor membidas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa gagal berbuat apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun menjadi ketua menteri.

    Menurut beliau, Shafie tiada apa untuk ditunjukkan di kawasan itu, sedangkan banyak yang boleh dilakukannya ketika menjadi menteri pembangunan luar bandar selama bertahun-tahun.

    “Beliau bercakap seperti tahu segala-galanya, tetapi apa yang beliau lakukan untuk Kota Marudu ketika jadi ketua menteri?

    “Bahkan tandas awam pun tiada di situ. Beliau tanya apa yang saya dah buat? Saya nak tanya dia balik apa yang dia dah buat di Semporna?

    “Beliau tidak dapat menangani penempatan semula mangsa selepas beberapa rumah musnah di Kampung Bangau-bangau.

    “Hanya apabila kerajaan GRS-BN berkuasa, RM8.5 juta diberikan untuk selesaikan masalah itu.

    “Jangan bohong. Saya tak tahu cakap macam itu. Saya hanya cakap menggunakan fakta,” katanya ketika berkempen untuk calon GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili di kediaman Timbalan Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Maijol Mahap di Kota Marudu, lapor Free Malaysia Today.

    Dalam ucapannya, Hajiji berkata, kepimpinan Ongkili masih sangat diperlukan, terutamanya dalam membangkitkan keperluan Sabah di peringkat persekutuan.

    Beliau berkata, Ongkili yang merupakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

    “Saya perlukan beliau untuk bantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada kerajaan persekutuan.

    “Suara kuat dan kegigihan beliau masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

    Hajiji juga menyifatkan keputusan PBS menggunakan lambang GRS kali ini sebagai pengorbanan besar.

    “Ini amat bermakna bagi saya…Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Ongkili,” katanya,

    GRS, yang terdiri daripada Bersatu, PBS, Star, SAPP dan Usno, bersama Barisan Nasional berjanji melakukan yang terbaik untuk terus membawa pembangunan ke Sabah, katanya.

  • Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    Kerjasama GRS-BN akan diteruskan pasaca PRU-15 – Hajiji

    KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkeyakinan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) akan berterusan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

    Pengerusi GRS itu berkata formula GRS-BN telah terbukti di peringkat negeri dengan kerjasama erat untuk mentadbir dan membawa banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat.  

    “Sudah tentu…ia adalah suatu kesinambungan mandat yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Negeri lepas. Jadi, kami perlu ada kerjasama kukuh bagi memastikan kami mendukung mandat ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) di sini hari ini.

    Ditanya sama ada Kerajaan Negeri Sabah akan mengisytiharkan Nov 18 sebagai cuti umum, beliau berkata perkara itu harus diteliti terlebih dahulu.  

    Menyentuh mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM3.38 juta kepada badan agama bukan Islam, sekolah Cina dan mubaligh di Tuaran tahun ini.  

    Daripada angka itu RM1.078 juta untuk badan agama bukan Islam dan selebihnya untuk sekolah Cina dan mubaligh di Daerah Tuaran.

    Beliau menegaskan kerajaan negeri telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan keseluruhan untuk badan agama bukan Islam,  sekolah Cina dan mubaligh sebanyak RM7 juta kepada RM54 juta tahun depan.

    Dalam ucapan perasmian bangunan baharu SMAT yang boleh menampung 500 pelajar pada satu-satu masa,  Hajiji memuji sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Seventh-Day Adventist kerana menghasilkan ramai pelajar berjaya sepanjang lebih dari 80 tahun kewujudannya.

    “Saya yakin SMAT akan meneruskan kecemerlangannya dalam pendidikan dengan menyediakan peluang kepada pelajar untuk cemerlang terutamanya mereka dari kawasan luar bandar,” katanya.

    Sebagai menghargai tenaga pengajar SMAT, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membantu pengurusan sekolah dalam meningkatkan program akademik dan pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan permintaan SMAT untuk kemudahan lain  termasuk gelanggang bola keranjang berbumbung.

    Terdahulu, Hajiji berkata pendidikan merupakan aganda utama Kerajaan Negeri GRS-BN, maka pembangunan modal insan adalah antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kerana itu kerajaan negeri tidak teragak-agak meluluskan permohonan tanah seluas 0.1 hektar  daripada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Chung Hwa untuk projek “Green and Nature Park”.

    Hajiji juga mengejutkan guru dan murid SJK Cina Chung Hwa dengan meluluskan sumbangan untuk papan tanda pintar “Green and Nature Park” dan pancaragam sekolah itu berjumlah RM150,000 seperti yang dipohon Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu   Chong Hong Kong dalam ucapannya terdahulu. – BERNAMA

  • Hajiji umum rombakan Kabinet Sabah

    Hajiji umum rombakan Kabinet Sabah

    KETUA Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan beberapa pertukaran dalam Kabinetnya termasuk melantik ADUN Apas Nizam Abu Bakar Titingan sebagai pembantu menteri kepada ketua menteri menggantikan Wetrom Bahanda yang mengumumkan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), baru-baru ini.

    Beliau berkata, jawatan pembantu menteri kewangan yang disandang Nizam sebelum ini akan digantikan ADUN Matunggong, Julita Majungki yang sebelum ini adalah pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

    Selain itu, beliau turut mengumumkan pelantikan ADUN Pintasan yang juga setiausaha politik kepada menteri kewangan Fairuz Renddan sebagai pembantu menteri di Kementerian Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan.

    “Berikutan pelantikan itu, jawatan setiausaha politik kepada menteri kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sebagai pembantu menteri tugas-tugas khas dan penyelarasan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin.

    Katanya, majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh pihak istana negeri.

    Wetrom yang juga ADUN Bandau sebelum ini mengumumkan keluar daripada GRS dan Bersatu untuk menyertai Warisan.

    Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, beliau menyertai pula parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) yang dipimpin Peter Anthony.

    Wetrom juga dilantik sebagai salah seorang timbalan presiden parti itu dan diumum sebagai calon PKDM di kerusi Parlimen Kota Marudu.

  • Sabah jangka kutip RM2.45 bilion royalti, cukai jualan minyak, gas

    Sabah jangka kutip RM2.45 bilion royalti, cukai jualan minyak, gas

    KERAJAAN Sabah dijangka mengutip RM2.45 bilion setahun secara berterusan menerusi bayaran royalti dan cukai jualan negeri (SST) daripada sektor minyak dan gas.

    Lapor Berita Harian, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia berikutan kemasukan petrokimia (PetChem) dalam Enakmen SST baru-baru ini.

    Katanya, kemasukan PetChem dalam Enakmen SST membolehkan kerajaan negeri mengutip RM10 juta daripada Petronas Chemical menerusi projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi Ogos tahun ini.

    Beliau turut mengesahkan kerajaan negeri sudah menerima bayaran tertunggak SST daripada sebuah lagi syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sabah, iaitu Hibiscus Petroleum.

    “Kerajaan negeri berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset serta Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), di Kota Kinabalu.

    Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Menteri Kewangan II negeri, Datuk Masidi Manjun.

    Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, Sabah boleh menjangkakan jumlah kutipan royalti dan SST sehingga RM2.45 bilion setahun, namun ia juga bergantung kepada pergerakan harga minyak semasa.

    Beliau turut mengesahkan cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan cawangan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Sabah menjadi kenyataan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF).

    Katanya, langkah itu akan meningkatkan lagi pembangunan modal insan di Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya (SMJ).

    “Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas.

    “Ini sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama di antara kerajaan negeri dan PETRONAS dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.

  • Sabah tekad perhebat momentum pembangunan – Hajiji

    Sabah tekad perhebat momentum pembangunan – Hajiji

    KERAJAAN Sabah terus bertekad untuk memperhebat lagi momentum pembangunan negeri, di samping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dirangka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau berkata masih banyak perlu dilakukan di Sabah, dan kerajaan bertanggungjawab, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus diperhebat meliputi pelbagai sektor.

    “Kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar termasuk dalam aspek jaringan komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik serta mengurangkan kemiskinan.

    “Selain itu, menambah peluang pekerjaan, meningkatkan tahap keselamatan dan lebih penting membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan serta terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena ulang tahun ke-69 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, menyaksikan 54 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat masing-masing.

    Hajiji berkata Sabah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 Sept tahun ini di bawah pelan pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-12, sekali gus menunjukkan prestasi 45.67 peratus daripada lebih RM5.23 bilion diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan diluluskan.

    Beliau berkata agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini berada di landasan betul dan mula menampakkan hasil positif termasuk dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain pembangunan modal insan bagi memastikan anak Sabah tidak tercicir dalam bidang pekerjaan.

    “Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika berhadapan pandemik COVID-19. Kita adalah kerajaan bertanggungjawab bukan hanya memikirkan dan merancang, malah lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya. – BERNAMA