Tag: guru tuisyen

  • Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    Dakwa tak dibayar gaji, guru tuisyen curi 5 projektor majikan

    POLIS menahan seorang guru sambilan di sebuat pusat tuisyen di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, selepas dipercayai mencuri lima mesin projektor bernilai RM13,000 milik majikannya selepas berang gajinya tidak dibayar.

    Tindakan lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengundang padah apabila dia ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

    Kecurian projektor itu dilaporkan pekerja pusat tuisyen itu kepada pengetua mereka pada pukul 10 pagi kelmarin dan mengesyaki suspek yang melakukannya.

    Malah perbuatan suspek mencuri barangan terbabit turut disedari beberapa pelajar yang ketika itu berada di dalam kelas.

    Memetik laporan Harian Metro, suspek yang baru sebulan mengajar di pusat tuisyen itu mendakwa tidak menerima bayaran gaji hampir RM3,000 menyebabkan dia bertindak melakukan perbuatan itu.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat kes curi projektor di Jalan Merdeka Ampang, Kampung Baru Ampang, di sini sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek semalam.

    Menurutnya, turut dirampas barang-barang kes yang dicuri suspek.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Guru tuisyen pernah alami tekanan perasaan ditemukan maut

    Guru tuisyen pernah alami tekanan perasaan ditemukan maut

    SEORANG guru tuisyen wanita ditemukan maut di sebuah rumah di Subang Jaya, Selangor kelmarin.

    Memetik Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dimaklumkan berkaitan kejadian cubaan membunuh diri pada pukul 11.53 malam.

    Menurutnya, mangsa dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan.

    “Mangsa berusia 44 tahun itu adalah guru tuisyen yang tinggal bersama suami dan anak di kediaman berkenaan.

    “Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa mangsa pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Abd Khalid berkata, pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal mangsa sudah dibuat namun tiada unsur-unsur jenayah ditemui.

    “Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat.

    “Setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh mangsa atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber,” katanya.

    Kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).