Tag: guru kontrak

  • Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    Perkhidmatan 2,600 guru kontrak jangka disambung dua tahun

    NASIB 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.

    “Berkaitan dengan COS kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang telah menyampaikan masalah ini kepada kementerian.

    “Oleh itu, isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar, kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya dekat Ketereh hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi berkata pihaknya sentiasa berbincang mengenai pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kepada guru kontrak perkhidmatan itu.

    Semalam, menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter miliknya, Radzi memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan supaya isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Beliau berkata, KPM dan SPP sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa.

    Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, pihaknya akan perincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.

    “Kami sedang kaji secara mendalam dengan mengambil kira data dari tahun 2017 kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    SEORANG bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menyeleweng kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak jabatan itu yang bernilai lebih RM195,000, empat tahun lepas.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Terdahulu, lelaki itu yang kini bertugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira 8.35 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

    Difahamkan lelaki berkenaan semasa bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Pengurusan dan Sumber Manusia JAIM telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bayaran balik emolumen terlebih bayar berjumlah RM195,765.75.

    Bayaran lebihan gaji itu sepatutnya diserahkan kepada bahagian kewangan namun lelaki itu yang ditugaskan menguruskan hal berkenaan gagal berbuat demikian.

    Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dijalankan.- BERNAMA