Tag: Gunung Jerai

  • [VIDEO] JHEAIK siasat dakwaan amalan khurafat Gunung Jerai

    [VIDEO] JHEAIK siasat dakwaan amalan khurafat Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menjalankan siasatan terhadap amalan yang dikatakan bersifat khurafat, dilakukan beberapa individu di Gunung Jerai seperti yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.

    Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Daud berkata, siasatan itu dijalankan setelah pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung penularan video berkenaan, yang berdurasi kira-kira seminit.

    Menurutnya, JHEAIK amat memandag berat dan menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah Darul Aman 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.

    “Jika sabit kesalahan, Seksyen 4 enakmen tersebut memperuntukkan hukuman didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

    “Untuk kesalahan di bawah Seksyen 7 pula, mereka yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, pihaknya menerusi Bahagian Penyelidikan JHEAIK dalam masa sama akan terus mengadakan siri penerangan di seluruh negeri Kedah berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat.

    “JHEAIK amat berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri ini menyampaikan ilmu berdasarkan fakta, berpandukan sumber dalil dari al-Quran dan sunnah.

    “JHEAIK juga amat berharap masyarakat seluruh Kedah sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sebarang dakwaan berkaitan agama Islam,” katanya.

    Sejak beberapa hari lepas, tular satu video dimuat naik di Tik Tok memaparkan tindakan individu tertentu yang naik ke Gunung Jerai.

    https://www.tiktok.com/@fikry_nuuri/video/7101946234402819354?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=gunung%20jerai&t=1653807793322
    Rakaman video yang tular dalam aplikasi TikTok berhubung kegiatan yang dilakukan pihak tertentu di Gunung Jerai.

    Pada video tersebut, terpapar tulisan menyatakan adab untuk naik ke satu lokasi bernama Padang Tok Sheikh, hendaklah bermandi dan berwuduk di Telaga Tok Sheikh terlebih dulu.

    Turut ditulis dalam video tersebut, adab mandi dimulakan dari bahagian bawah sebelah kanan dengan tindakan itu kemudiannya dipersoalkan beberapa individu di media sosial.

  • Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Mayat kelima mangsa Gunung Jerai ditemukan mengiring ke arah kiblat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MANGSA kelima tragedi kepala air di Gunung Jerai, Kedah berjaya ditemukan di kawasan sekitar Batu Hampar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.23 petang tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelama Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkaa, mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, ditemukan di bawah timbunan kayu.

    Katanya, mayat tersebut yang masih berada dalam keadaan baik berjaya dikeluarkan kira-kira lima minit kemudian.

    “Mayat berkenaan ditemukan mengiring ke arah kiblat dan dalam keadaan sempurna.

    “Sebaik dikeluarkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut.

    “Usaha mencari dan menyelamat mangsa terakhir diteruskan di kawasan Titi Hayun,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Sebelum ini empat mangsa yang maut sudah ditemukan iaitu Ahmad Din, 68, Shahruzi Mohamad, 53, Zahinor Murad, 65 dan Mohd. Faizal Mohd. Zohir, 28.

  • JMG kesan empat runtuhan tanah di Gunung Jerai

    JMG kesan empat runtuhan tanah di Gunung Jerai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan sekurang-kurangnya empat runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai yang dipercayai berlaku ekoran fenomena kepala air pada Rabu lalu.

    Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG, Dr. Ferdaus Ahmad berkata runtuhan itu dikesan berdasarkan pemerhatian awal pasukan Task Force Bencana Geologi jabatan itu yang ditugaskan mengenal pasti punca kejadian itu selain membuat penilaian risiko.

    “Pada dasarnya apa yang berlaku kita boleh panggil sebagai satu bencana geologi, bencana ini antaranya adalah tanah runtuh, tanah runtuh boleh disebabkan oleh hujan yang berterusan dalam masa yang panjang dan juga mungkin disebabkan gegaran oleh gempa bumi.

    “Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati bahawa sebelum kejadian tersebut, berlaku hujan pada kadar luar biasa, jadi dalam masa yang sama perkara ini berlaku dengan gabungan bentuk muka bumi gunung yang sudutnya lebih 25 darjah,” katanya ketika ditemui pemberita di Titi Hayun, Yan, Kedah hari ini.

    Katanya, antara jenis batuan yang terdapat di gunung itu yang dikenal pasti ialah batu pasir, granit dan kuarzit juga boleh menjadi penyumbang kepada kejadian yang berlaku.

    Bagaimanapun, beliau menjelaskan siasatan dan kajian terperinci masih diperlukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di gunung itu sebelum pihaknya dapat membuat sebarang kesimpulan.

    “Ketika ini kita tidak boleh masuk ke kawasan runtuhan di gunung itu kerana faktor keselamatan. Untuk peringkat awal kita akan membuat pemetaan kawasan gunung menggunakan dron dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya.

    Berdasarkan pemetaan itu nanti pihaknya akan mengenal pasti kawasan yang pernah berlaku kejadian serupa sebelum ini dan kawasan lain yang mungkin berisiko berlaku bencana geologi atau fenomena kepala air seperti yang diketahui umum.

    Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata bencana geologi di Gunung Jerai pada Rabu mempunyai persamaan dengan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini termasuk tragedi Pos Dipang, Kampar di Perak pada 1996 yang disebabkan gabungan beberapa faktor geologi.

    Justeru, beliau berkata hasil kajian dan siasatan serta penilaian risiko perlu dibuat dengan segera agar potensi untuk bencana geologi itu berulang di Gunung Jerai dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan sewajarnya.

    “Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan, kita akan buat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan untuk cadangan yang perlu dipertimbangkan. Kita akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku lagi,” katanya.

    Setakat ini, tragedi banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu meragut empat nyawa, manakala dua lagi masih hilang.

    Bencana itu turut menjejaskan kawasan sekitar gunung di daerah ini selain daerah Kuala Muda.

  • Empat runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

    Empat runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

    JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan sekurang-kurangnya empat runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai yang dipercayai berlaku ekoran fenomena kepala air pada Rabu lepas.

    Ketua Cawangan Kepakaran Geologi Kejuruteraan JMG Dr Ferdaus Ahmad berkata runtuhan itu dikesan berdasarkan pemerhatian awal pasukan Task Force Bencana Geologi jabatan itu yang ditugaskan mengenal pasti punca kejadian itu selain membuat penilaian risiko.

    “Pada dasarnya apa yang berlaku kita boleh panggil sebagai satu bencana geologi, bencana ini antaranya adalah tanah runtuh, tanah runtuh boleh disebabkan oleh hujan yang berterusan dalam masa yang panjang dan juga mungkin disebabkan gegaran oleh gempa bumi.

    “Dalam kes di Gunung Jerai, kita dapati bahawa sebelum kejadian tersebut, berlaku hujan pada kadar luar biasa, jadi dalam masa yang sama perkara ini berlaku dengan gabungan bentuk muka bumi gunung yang sudutnya lebih 25 darjah,” katanya ketika ditemui pemberita di Titi Hayun di sini hari ini.

    Katanya, antara jenis batuan yang terdapat di gunung itu yang dikenal pasti ialah batu pasir, granit dan kuarzit juga boleh menjadi penyumbang kepada kejadian yang berlaku.

    Bagaimanapun, beliau menjelaskan siasatan dan kajian terperinci masih diperlukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar di gunung itu sebelum pihaknya dapat membuat sebarang kesimpulan.

    “Ketika ini kita tidak boleh masuk ke kawasan runtuhan di gunung itu kerana faktor keselamatan. Untuk peringkat awal kita akan membuat pemetaan kawasan gunung menggunakan dron dengan bantuan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan pemetaan itu nanti pihaknya akan mengenal pasti kawasan yang pernah berlaku kejadian serupa sebelum ini dan kawasan lain yang mungkin berisiko berlaku bencana geologi atau fenomena kepala air seperti yang diketahui umum.

    Sementara itu, Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata bencana geologi di Gunung Jerai pada Rabu mempunyai persamaan dengan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini termasuk tragedi Pos Dipang, Kampar di Perak pada 1996 yang disebabkan gabungan beberapa faktor geologi.

    Justeru, beliau berkata hasil kajian dan siasatan serta penilaian risiko perlu dibuat dengan segera agar potensi untuk bencana geologi itu berulang di Gunung Jerai dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan sewajarnya.

    “Selepas mendapat hasil kajian dan siasatan, kita akan buat syor kepada pihak kementerian atau kerajaan tempatan untuk cadangan yang perlu dipertimbangkan. Kita akan masukkan sekali penilaian risiko untuk mengelakkan bencana seperti ini berlaku lagi,” katanya.

    Setakat ini, tragedi banjir yang disebabkan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada petang Rabu meragut empat nyawa, manakala dua lagi masih hilang.

    Bencana itu turut menjejaskan kawasan sekitar gunung di daerah ini selain daerah Kuala Muda.- BERNAMA

  • Taburan hujan ekstrem punca kepala air Gunung Jerai

    Taburan hujan ekstrem punca kepala air Gunung Jerai

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    FENOMENA kepala air di kawasan Gunung Jerai sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur di Kuala Muda dan Yan, Kedah berpunca daripada taburan hujan ekstrem semalam.

    Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 milimeter (mm) dan 172mm dicatatkan di Stesen Hujan Kampung Singkir Genting dalam kejadian jam 2.30 petang.

    Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm.

    “Berdasarkan rekod pada jam 6 petang, hujan melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI).

    “Kemuncaknya ialah pada jam 8 malam iaitu melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278 mm,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Zaini berkata, kejadian itu telah menyebabkan berlakunya banjir lumpur dengan kedalaman 0.1 hingga 1.5 meter di daerah berkenaan.

    “Hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan pokok yang tersangkut pada lintasan,” katanya.

    Katanya, kementerian bersama agensi terlibat termasuk kerajaan negeri telah mengambil tindakan termasuk kerja-kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera.

  • Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    Kepala air di Gunung Jerai: Seorang lelaki maut, 2 hilang

    RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki maut manakala dua lagi dilaporkan masih hilang berikutan fenomena kepala air dan tanah runtuh yang berlaku di sekitar kawasan Gunung Jerai dekat Kedah, hari ini.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, identiti lelaki berusia 60 tahun yang maut itu setakat ini masih belum dikenal pasti.

    Dua individu yang hilang bersabit dengan kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai dan rumah runtuh di Chalet Salak Denai.

    “Anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan. Maklumat awal mengatakan terdapat 60 individu perlu dipindahkan segera.

    “Selain itu terdapat juga 14 individu yang positif Covid-19. Mereka ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teroi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Mengulas lanjut katanya, banjir itu dipercayai berpunca dari hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju ke kaki Gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

    Laporan pertama katanya, diterima kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Banjir melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai, Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

    “Terdapat juga mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya.