Tag: GPS

  • PRN Sarawak: GPS umum senarai penuh calon 4 Disember

    PRN Sarawak: GPS umum senarai penuh calon 4 Disember

    SENARAI penuh calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diumumkan pada 4 Dis ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Ketua Menteri Sarawak itu berkata GPS sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi PRN, malah gabungan itu kini dalam peringkat akhir untuk menetapkan calon yang akan bertanding.

    “GPS memang sudah bersedia… hanya tinggal untuk final tune sahaja. Kita akan umum senarai calon dua hari sebelum hari penamaan calon, saya akan umum semua terus,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis membuka tirai Kompleks Sekolah Sri Mawar yang baharu di South Lake Bandar Baru Permyjaya, Kuala Baram, di Miri hari ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Dis, dengan undi awal pada 14 Dis, manakala 18 Dis ditetapkan sebagai hari mengundi, yang akan melibatkan keseluruhan 1,252,014 pemilihan berdaftar.

    Terdahulu, Abang Johari semasa berucap di majlis pecah tanah projek perumahan mampu milik Vista Perdana Fasa 3 di Permyjaya di Miri berkata, adalah penting bagi Sarawak ditadbir oleh kerajaan negeri yang stabil dan mampu berkhidmat untuk rakyat.

    Beliau berkata GPS adalah sebuah kerajaan negeri yang paling stabil kerana kumpulan pemimpin dan ahli politiknya yang komited untuk berkhidmat kepada rakyat.

    “Kita perlukan kerajaan negeri yang stabil dan kerajaan Sarawak ketika ini (GPS) adalah yang paling stabil…jangan rosakan kerajaan ini.

    “Kita juga menolak budaya ‘katak’ (lompat parti). Orang Sarawak tak mahu ‘katak’ (pemimpin lompat parti) dan mujur di negeri ini tidak banyak ‘katak’,” katanya menambah Sarawak juga bukan sahaja mahu kerajaan negeri yang stabil, malah kerajaan Persekutuan yang stabil.

    Program itu turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Prof Dr Sim Kui Hian.

    Pada majlis itu Abang Johari dan Reezal Merican turut menyaksikan pemeteraian memorandun persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kumpulan Syarikat Naim (NAIM).

    Secara keseluruhan pembangunan Projek Vista Perdana dianggarkan merangkumi 2,446 unit rumah dengan komposisi saiz rumah antara 750 hingga 1,276 kaki persegi dengan projek fasa 3 melibatkan 694 unit rumah teres setingkat berkeluasan 900 kaki persegi. -BERNAMA

  • Ada hikmah GPS tinggalkan BN – Abang Johari

    Ada hikmah GPS tinggalkan BN – Abang Johari

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata negeri itu mungkin tidak memiliki suara jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal bersama Barisan Nasional (BN), sehari selepas kemenangan bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Bercakap pada acara pecah tanah di Kuching, Abang Johari berkata pemimpin Sarawak tidak memiliki pilihan melainkan hanya menurut semua arahan daripada kerajaan pusat di bawah pentadbiran BN.

    “Krisis politik di peringkat nasional menyebabkan kita ambil keputusan tinggalkan BN,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Now.

    “Dengan prinsip asas BN sebarang keputusan mesti dipersetujui secara konsensus, tidak ada ruang untuk kita bangkitkan isu atau membantah sesuatu yang kita tidak setuju.

    “Sebab itu kami putuskan untuk keluar dari BN. Kini GPS boleh bersuara dalam apa jua isu. Kami boleh jaga negeri. Siapa yang lebih kenal Sarawak selain kami? Tiada siapa boleh halang, tiada siapa boleh kata tidak kepada kami. Kami akan terus perjuangkan hak Sarawak.”

    GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), ditubuhkan berikutan kekalahan mengejut BN pada pilihan raya umum 2018.

    Berhubung keputusan PRN Melaka semalam, Abang Johari berkata mesej jelas disuarakan kepada pemimpin politik.

    “Pertama, rakyat menolak ‘katak’. Kedua, rakyat mahu kerajaan yang stabil dan fokus selesaikan masalah ekonomi dan kesihatan.”

    Beliau juga bercakap mengenai parti ‘kosong’, dipercayai merujuk kepada PKR yang kalah di semua kerusi yang ditandinginya.

    “Tetapi mahu datang ke Sarawak juga,” katanya.

    “Jadi kita perlu belajar daripada apa yang terjadi ini.”

    Ulasan beliau tersebut tampil susulan pertemuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin dan penyokong parti itu di Sarawak semalam.

    Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri. Umno memenangi 18 kerusi, dua dimenangi MCA dua satu kerusi dimenangi MIC.

    Semantara itu, Pakatan Harapan hanya memenangi lima kerusi, empat daripadanya dimenangi DAP dari lapan kerusi yang ditandinginya.

    Perikatan Nasional pula memenangi dua kerusi diwakili Bersatu.

  • GPS bertanding semua 82 kerusi DUN Sarawak

    GPS bertanding semua 82 kerusi DUN Sarawak

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga menafikan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dengan Bersatu.

    “Saya ingin menegaskan, tiada rundingan sedemikian pernah atau akan diadakan. Malah, GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di DUN Sarawak pada PRN yang akan datang.

    “Justeru, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media yang membuat laporan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa Nanta telah mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara GPS dan Bersatu bagi menghadapi PRN Sarawak.

    Bersatu menduduki satu kerusi DUN Sarawak menerusi ADUN Krian, Datuk Ali Biju yang memenangi kerusi berkenaan sebagai calon PKR dalam PRN ke-11 namun kini beliau menyertai Bersatu. – BERNAMA

  • PRN Sarawak: GPS tak takut berdepan pengundi muda

    PRN Sarawak: GPS tak takut berdepan pengundi muda

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak takut untuk berdepan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan menyifatkan kehadiran mereka sebagai pewaris yang menentukan masa depan.

    Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan negeri yang diasaskan oleh GPS sudah pun mengutamakan pandangan generasi muda sebelum rang undang-undang bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun mengundi diluluskan di Parlimen.

    “Kita menghormati wawasan dan pandangan pengundi muda yang akan menjadi pewaris masa depan untuk terus membangunkan negeri serta mempertahan hak dan kedudukan istimewa Sarawak dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak itu berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Bintang Kebesaran Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Kuching, hari ini.

    Isu GPS dibangkitkan oleh pembangkang iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendakwa ia cuba mempercepat PRN12 kerana bimbang pengundi berumur 18 tahun layak mengundi jika pilihan raya itu ditangguhkan lagi.

    Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataan semalam memetik sumber yang boleh dipercayai sebagai menyebut ada usaha dalam GPS untuk mempercepat PRN12 bagi mengelakkan penglibatan pengundi 18 tahun dalam pilihan raya itu.

    Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi di Sarawak baru-baru ini yang membenarkan Undi-18 tidak memihak kepada GPS pada PRN12.

    “GPS tidak sepatutnya memfokus kepada pilihan raya sebaliknya perlu menggunakan masa yang ada untuk bekerja dengan tekun bagi menguruskan varian Delta dan mengurangkan kesannya kepada rakyat,” katanya.

    Abdullah pula berkata kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.3 bilion menerusi tujuh pakej bantuan kepada rakyat di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

    “Tidak ada negeri lain dalam negara ini yang berkemampuan untuk mengeluarkan peruntukan sebesar itu untuk warga negeri mereka,” katanya. – BERNAMA

  • 8 wakil GPS dalam Kabinet, penghargaan untuk Sarawak

    8 wakil GPS dalam Kabinet, penghargaan untuk Sarawak

    MENTERI Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikan seramai lapan wakil dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kabinet sebagai pengiktirafan untuk rakyat di negeri itu.

    Beliau yang juga berkata, kepercayaan yang diberikan itu adalah amanah dan tanggungjawab besar demi rakyat serta negara.

    “Saya sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini.

    “Seperti ditekankan Perdana Menteri, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.

    “Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Berdasarkan pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai lapan wakil GPS, masing-masing dilantik menerajui satu jawatan Menteri Kanan, tiga menteri penuh dan empat timbalan menteri.

    Selain Fadillah, tiga menteri penuh dari GPS ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

    Empat timbalan menteri dari GPS pula ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pengangkutan, Henry Sum Agong; Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju; Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang

    Walaupun bukan di bawah payung GPS, Timbalan Menteri Perusahaan Perdagangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin juga merupakan seorang lagi Ahli Parlimen dari Sarawak yang dilantik semula menganggotai Kabinet.

    Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah menggesa supaya ahli politik tanpa mengira parti dan seluruh lapisan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan membantu menjayakan usaha ke arah pemulihan negara.

    “Peranan pihak media juga amat penting dan dalam hal ini saya berterima kasih kerana selama ini media sememangnya banyak membantu usaha kerajaan dalam menangani pandemik.

    “Semua pihak perlu berpadu tenaga dan menghentikan unsur negatif demi membebaskan negara daripada ancaman pandemik,” jelasnya.

  • GPS harap pembangkang lapang dada lantikan Ismail Sabri

    GPS harap pembangkang lapang dada lantikan Ismail Sabri

    GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) berharap agar semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

    Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua harus mengetepikan segala perbezaan ketika ini dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

    “GPS percaya dengan kemampuan Ismail Sabri dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan seterusnya keluar daripada krisis yang sedang melanda,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau mewakili GPS menjunjung kasih dan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Alexander menambah, pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi amat tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

    Malah, beliau memberitahu, keupayaan Ahli Parlimen Bera itu juga terbukti ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) yang mengendalikan isu-isu berkaitan COVID-19 secara langsung selama hampir 17 bulan.

    “Selain itu, beliau pernah menjawat beberapa jawatan menteri sejak 2008 lagi. Antara jawatan pernah disandangnya adalah Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    “Saya sendiri pernah bekerja bersama dengan Ismail Sabri ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai timbalannya dan secara peribadi saya amat mengagumi kepimpinan beliau,” jelasnya.

    Alexander berkata, Ismail Sabri juga sangat dekat serta mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar, termasuk penduduk di Sarawak.

    “Ismail Sabri pernah mengadakan lawatan ke Sarawak beberapa kali termasuk di Kapit pada 2010.

    “Ketika itu, saya melihat bagaimana beliau tidak kekok mendekati rakyat di Kapit dan kelihatan selesa bermalam serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang diadakan di Dewan Suarah, Kapit,” katanya.