SEMUA menteri Kabinet yang diberi kepercayaan untuk menggalas portfolio baharu setelah dilantik semula berikrar akan memberikan yang terbaik untuk menjayakan agenda Keluarga Malaysia.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbesar hati kerana diamanahkan untuk kembali menerajui kementerian tersebut.

Bekas Menteri Luar itu pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Pertahanan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk saya kembali menerajui Kementerian Pertahanan amat dihargai.

“Sentiasa bangga dan berbesar hati untuk berkhidmat demi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sangat besar jasanya kepada negara.

“Insya-Allah, saya akan memberikan yang terbaik. Saya akan pikul amanah ini sebaik-baiknya,” katany dalam ciapan Twitter, hari ini.

Khairy Jamaluddin melawat salah sebuah pusat vaksinasi semasa menjadi Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini, – Gambar: Facebook Khairy Jamaluddin

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi.

“Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya dalam ciapan Twitter.

Sebelum ini, beliau merupakan Menteri Sains dan Teknologi di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa komited merangka hala tuju kementeriannya supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperoleh manfaat.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memainkan peranan penting terutama ketika negara berdepan pelbagai cabaran pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi serta keperluan pemerkasaan sektor digital selain membela kehidupan rakyat.

“Saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda melantik saya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri yang memilih saya menganggotai Kabinet beliau. Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO serta Barisan Nasional yang saya wakili,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Annuar merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau mengambil serius pelantikan semula dirinya dalam Kabinet dan berharap ia akan memberikan peluang kepadanya membawa pembaharuan kepada Parlimen serta struktur perundangan dalam kerajaan.

Beliau memberitahu, ia bagi memastikan kerajaan terus relevan dalam landskap politik masa kini.

“Berikutan itu saya juga akan menjadikan keutamaan untuk memastikan hak penduduk Sabah dan Sarawak terjamin seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here