Tag: Gerakan

  • Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    Gerakan masih sokong penuh Muhyiddin terajui PN

    PARTI Gerakan tetap menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

    Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    “Walaupun tak menang besar untuk PRN Johor, (iaitu) hanya tiga kerusi, kita faham dan kita tak akan putus asa. Kita akan terus perjuangkan ideologi parti untuk menghadapi PRU15.

    “Kekalahan ini bukan sebab kepimpinan seseorang sahaja. Gerakan masih bersama PN. Kami akan terus memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin sebagai Pengerusi PN,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, hari ini.

    Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin pada 12 Mac lepas bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu bertanggungjawab atas kekalahan gabungan itu dalam PRN Johor, dan sedia melepaskan jawatan sekiranya itu yang dimahukan oleh pimpinan parti gabungan itu.

    PN hanya memenangi tiga kerusi daripada 56 dipertandingkan dalam PRN Johor lepas iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani.

    Sementara itu, Dominic berkata, Gerakan akan memastikan senarai penyelaras dan calon yang akan bertanding dalam PRN dan PRU15 kelak, dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan jentera parti digerakkan.

    “Kita akui memang pada PRN Johor, ada kerusi yang kita bertanding (tapi) tiada persiapan dibuat untuk DUN yang kita bertanding.

    “Oleh itu, mulai sekarang kita akan senaraikan semua kerusi yang (kita) bertanding dan penyelaras terlibat untuk persiapan PRU15 dan PRN akan datang. Jadi kita harap jentera kita akan buat persiapan awal,” katanya.

    Menurutnya, PRU15 boleh diadakan hanya apabila kes COVID-19 menurun dan dalam keadaan terkawal, bagi membolehkan peratusan keluar mengundi berada pada tahap memuaskan iaitu 70 hingga 80 peratus. – BERNAMA

  • RUU antilompat parti perlu diluluskan, elak negara terus terjerumus kancah politik

    RUU antilompat parti perlu diluluskan, elak negara terus terjerumus kancah politik

    PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berharap sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini berjalan dengan lancar sekali gus dapat diluluskan segera.

    Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, RUU antilompat parti itu sangat mustahak untuk diluluskan memandangkan ramai pihak menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung tahun ini.

    Jelas beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, RUU itu kelak dapat memastikan kemelut lompat parti antara Ahli Parlimen seperti yang berlaku selepas PRU-14 sehingga menyebabkan negara kucar-kacir tidak berulang.

    Jelas beliau, parti Gerakan sentiasa konsisten dengan pendirian berkaitan dengan RUU antilompat parti sejak dahulu kerana berpandangan ia akan dapat menstabilkan politik negara pada masa depan.

    “RUU ini juga dapat memastikan keharmonian dan ketenteraman negara kita dengan syarat ia dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Tong Keong, situasi pandemik Covid-19 di negara ini juga dapat dipulihkan dengan baik sekiranya keadaan politik menjadi stabil dan wakil rakyat memberikan sepenuh tumpuan dan tanggungjawab membantu rakyat.

    Jelasnya, Ahli Parlimen yang berjaya mendapat mandat daripada rakyat seharusnya memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing.

    “Bagaimanapun, wakil rakyat yang gemar melompat parti kerana lebih fokus dalam meraih kepentingan peribadi dan melakukan sesuatu yang membelakangi rakyat akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara kita,” katanya.

    Tambahnya, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengalu-alukan cadangan pembentangan RUU antilompat parti di Parlimen dan mengharapkan kecelaruan politik di negara kita dapat diselesaikan dengan sepenuhnya.

    Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, beberapa cadangan pindaan Perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini termasuk RUU berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

    Ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu RUU berkenaan disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.

  • PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    PRN Johor: Gerakan bertanding lebih 2 kerusi DUN

    GERAKAN akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    Beliau berkata bagaimanapun, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Feb ini.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gerakan bertanding (di Johor) satu Parlimen dan dua DUN, kali ini memang kita akan bertanding lebih daripada dua DUN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina PN di Pontian malam tadi, yang turut dihadiri Muhyiddin dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mengulas lanjut, Lau berkata, keputusan jumlah kerusi ditandingi diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PN dan fokus Gerakan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu pada PRN Johor.

    Pada PRU14, Gerakan yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Pemanis dan Bukit Batu, kalah di kedua-dua kerusi.

    Gerakan kemudiannya mengumumkan keluar daripada BN pada 23 Jun 2018.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Feb, pengundian awal pada 8 Mac dan 12 Mac sebagai hari pengundian. – BERNAMA

  • Yayasan Gerakan tak sama dengan yayasan Zahid – Dominic

    Yayasan Gerakan tak sama dengan yayasan Zahid – Dominic

    PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyatakan bahawa Yayasan Penjaja dan Perniagaan Kecil 1Malaysia (YPPKM) yang ditubuhkan partinya tidak sama dengan yayasan yang diasaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, yayasan yang diasaskan bekas Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong itu benar-benar membantu peniaga kecil.

    “Selain mempunyai Universiti Terbuka Wawasan, Gerakan juga mempunyai sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh (bekas presiden kami) Mah Siew Keong bernama YPPKM.

    “Saya masih ingat bahawa Siew Keong telah menubuhkan yayasan ini semasa menjadi menteri Kabinet, untuk membantu penjaja dan pengusaha perniagaan kecil. Mari kita berikan tepukan gemuruh kepada Mah Siew Keong.

    “Tetapi saya ingin mengatakan bahawa yayasan ini tidak seperti Zahid. Ia berbeza. Melalui yayasan ini, kita benar-benar membantu perniagaan kecil di negara kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Difahamkan, beliau merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Ahmad Zahid melibatkan sebuah yayasan bernama Yayasan Akal Budi.

    Kes itu menyaksikan Zahid berdepan siri pertuduhan jenayah membabitkan pecah amanah RM20.83 juta, menerima suapan RM21.25 juta sebagai menteri dalam negeri, dan pengubahan wang haram RM72.07 juta.

    Sementara itu, Dominic turut mengingatkan para perwakilan tentang pentingnya Gerakan mendapatkan semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata, tiada guna parti itu menjadi pertubuhan politik jika tidak mempunyai wakil di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Kita mesti memenangi pilihan raya dan mendapat mandat untuk masuk Parlimen dan DUN.

    “Jika kita masih gagal mendapatkan ini, kita akan menjadi seperti NGO di luar, yang hanya boleh menyuarakan kebimbangan mereka di luar tetapi tidak boleh mewakili rakyat di dalam Parlimen dan DUN,” katanya.

    Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Dominic menegaskan parti itu perlu fokus mendapatkan sokongan pengundi muda.

    Katanya, Undi18 yang bermula tahun depan akan menyaksikan sejumlah besar anak muda berumur 18 tahun ke atas menjadi pengundi di setiap kawasan.

    “Ini adalah kumpulan besar di mana kita mesti mendapat sokongan mereka.

    “Jawatankuasa pusat parti telah menjalankan analisis, dan didapati secara amnya, setiap kawasan akan melihat kira-kira 20,000 pengundi muda, malah ada sehingga 80,000.

    “Oleh itu, kita mesti menggunakan kaedah baharu untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya ini,” katanya sambil menambah parti itu akan mengalih tumpuan daripada kaedah kempen tradisional kepada digital untuk menarik minat golongan muda.

  • Gerakan tolak PRN Melaka, nyawa rakyat lebih penting

    Gerakan tolak PRN Melaka, nyawa rakyat lebih penting

    GERAKAN menolak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana nyawa dan keselamatan rakyat lebih penting, kata Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

    “Secara dasarnya, Gerakan menolak PRN Melaka kerana apa yang lebih penting ialah nyawa dan keselamatan rakyat. Kita bimbang wabak COVID-19 tidak boleh dikawal sekiranya berlaku jangkitan ekoran pelaksanaan PRN Melaka.

    “Namun pelaksanaan PRN Melaka bukan satu perkara luar biasa kerana semua jentera Gerakan di seluruh negara telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 sekali gus bersedia mengambil bahagian pada PRN Melaka,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

    Beliau berkata, Gerakan akan bertanding di bawah bendera Perikatan Nasional (PN) seperti yang diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN, jika diberikan peluang.

    Pada 4 Okt lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 daripada Speaker Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan UMNO hilang majoriti dalam DUN.

    Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN itu.

    Sementara itu, dalam hantaran Facebook malam ini, Dominic mengecam empat Ahli Dewan Undangan Negero (ADUN) Melaka yang menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

    “Oleh sebab sikap mereka yang mementingkan diri, Melaka terpaksa mengadakan PRN pada masa terdekat.

    “Saya percaya ini bukan semua rakyat Melaka yang ingin lihat, terutamanya wabak COVID-19 menjadi susah kawal selepas pilihan raya di Sabah.

    “Pelaksanaan PRN pada masa ini adalah perkara yang sangat berbahaya bagi Malaysia yang baru pulih,” jelasnya.

    Beliau menambah, sekiranya empat ADUN terbabit ingat bahawa menarik balik sokongan adalah apa yang rakyat ingin lihat, mereka boleh mengadakan referendum dalam kawasan pilihan raya sendiri dan menggunakan hasil referendum itu untuk membuktikan kepada semua orang bahawa itu adalah kehendak rakyat.

    “Walaupun Gerakan saat ini tidak memiliki kerusi, namun sebagai sebuah parti politik, Gerakan mempunyai tanggungjawab untuk mengawasi tindakan semua parti,” ujarnya.

    Dominic berkata, sekiranya PRN Melaka tidak dapat dihindarkan juga, beliau meminta SPR untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan juga merumuskan peraturan khas untuk calon pilihan raya.

    “Sebagai contoh, jika calon melanggar peraturan tersebut, maka deposit dirampas atau kehilangan kelayakan,” jelasnya.