Tag: gelaran

  • Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    Ahli perniagaan dituduh guna ‘Datuk Seri’ tidak diiktiraf

    SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran “Datuk Seri” yang tidak diiktiraf.

    Mak Hon Leong, 39, didakwa menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan suatu anugerah yang tidak diiktiraf kepadanya dalam urusan perniagaan dan persendirian tanpa restu dan kebenaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan di dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Dagang), Sentul pada 9 pagi, 22 Okt 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang membawa hukuman denda minimum RM100,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Mak memohon jaminan dikurangkan kerana tujuan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

    “Anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini untuk didakwa dan dia bukan seorang ‘flight risk’ ,” katanya yang turut mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan penjamin adalah isteri tertuduh.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    SEORANG pengarah syarikat kerugian RM406,400 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri Utama’ dan sebidang tanah kurnia.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 33 tahun mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu pada 28 Mac lepas dengan dimaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan dua hektar kepadanya.

    Beliau berkata pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadinya kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara.

    “Pada 6 April lepas, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa juga melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain yang diberikan oleh suspek antara 30 April hingga 17 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohd Mahidisham berkata mangsa turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM150,000 kepada suspek.

    Beliau berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun yang diberikan suspek dan mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar.

    “Identiti (suspek) masih belum diperoleh. Pengadu (mangsa) cuma bercakap menerusi telefon dan berjumpa sekali sahaja (dan dipercayai) ada tiga suspek dalam kes ini,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Mahidisham berkata pihaknya sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran.

    “Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat. Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA