Tag: gaza

  • Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    Gaza diserang: Kematian penduduk Palestin meningkat 24 orang, 203 lagi cedera

    SERANGAN udara tentera rejim Zionis meranapkan rumah penduduk Palestin di Gaza manakala serangan roket kumpulan pejuang Palestin menyasarkan selatan Israel buat dua hari berturut-turut.

    Ketegangan itu menimbulkan kebimbangan satu lagi perang besar-besaran akan meletus selepas 14 bulan.

    Menurut laporan Al Jazeera, jet tempur Israel menyasarkan empat bangunan kediaman di Gaza City yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan Jihad Islam.

    Satu lagi serangan udara semalam memusnahkan sebuah kereta membunuh seorang wanita warga emas berusia 75 tahun manakala enam lagi cedera.

    Ini setelah jet tempur Israel mengebom dua rumah penduduk yang didakwa didiami anggota Jihad Islam.

    Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban serangan Israel di Gaza meningkat kepada sekurang-kurangnya 24 orang termasuk enam kanak-kanak.

    Seramai 203 penduduk pula cedera pada hari kedua konflik.

    Lebih 400 roket dilancarkan ke arah Israel degan kebanyakannya dipintas, memaksa pihak berkuasa membunyikan siren dan penduduk menyelamatkan diri di tempat perlindungan bom.

    Bagaimanapun, menurut perkhidmatan ambulans Israel, tiada laporan kecederaan mahupun kematian setakat ini.

    Konflik kembali tercetus selepas tentera Israel dilaporkan membunuh seorang komander kanan jihad Islam.

  • [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    PESAWAT pejuang Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas dua kubu kuat kumpulan Hamas yang terletak di Semenanjung Gaza.

    Serangan udara itu menyasarkan kilang roket Hamas dan kemudahan pengeluaran senjata lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Israel.

    Kilang itu merupakan pusat pengeluaran roket terbesar di Semenanjung Gaza.

    Menurut kenyataan berkenaan serangan itu sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

    Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.

    Tentera Israel sebelum ini mendakwa satu daripada dua roket yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Ashkelon baru-baru ini berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – BERNAMA

  • Suspek bunuh Imam Fadi Albatsh ditangkap

    Suspek bunuh Imam Fadi Albatsh ditangkap

    SUSPEK yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada 2018, dipercayai sudah ditahan di Gaza.

    Perkara itu dimaklumkan oleh aktivis kemanusiaan di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam laman Facebook beliau hari ini.

    “Hangat dari Gaza: Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di KL tahun 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.

    Beliau menambah, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

    Walau bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap.

    “Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” jelasnya.

    Sementara itu, memetik laporan BH, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

    Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Imam, Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

    Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

    Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

    Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

    Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

  • Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Rejim Zionis Israel menyerang kedudukan pejuang pembebasan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.

    Memetik laporan AFP, tentera rejim Zionis Israel, dalam mesej ringkas kepada media memberitahu bahawa mereka ‘sedang melakukan serangan’ di Gaza, wilayah Palestin yang dikawal oleh pejuang pembebasan Hamas.

    Pesawat tentera rejim Zionis Israel menyasarkan lokasi yang dikatakan diduduki oleh Briged al-Qassam di barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP.

    Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.

    Serangan berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi semalam dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.

    Tentera Rejim Zionis Israel dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket ‘Iron Dome’ atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.

    Rejim Zionis Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.

    Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmuqaddis.

    Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel.

  • Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    MALAYSIA menyumbang RM5 juta kepada Palestin untuk membantu usaha membina semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei.

    Pertukaran Nota (EoN) mengenai sumbangan itu dimeterai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada Khamis.

    Saifuddin berkata, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.

    “Serangan yang tidak henti-henti oleh Israel telah musnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19,” katanya di majlis menandatangani EoN itu.

    Walid Abu Ali menunjukkan gambar Klinik Al-Remal yang mengalami kerosakan akibat serangan udara rejim Zionis Israel Mel lalui dalam sidang media bersama Saifuddin Abdullah di Putrajaya, hari ini. – Gambar: Facebook Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.

    Beliau berkata, sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan kepada UNRWA sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan US$1 juta yang akan dibayar sebanyak US$ 200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

    “Sumbangan kerajaan itu sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

    Selain bantuan kewangan, Saifuddin berkata, Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.

    “Terdapat ramai penuntut Palestin di Malaysia, ada dapat biasiswa dan ada tidak. Kami mahu bincang perkara ini dengan pihak berkaitan untuk lihat bagaimana kita boleh bantu pelajar Palestin di Malaysia dan menarik lebih ramai datang belajar di sini dengan bantuan kewangan.

    “Mengenai pekerjaan pula, rakyat Palestin yang tinggal di sini hanya guna kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ) dan kami akan pastikan mereka tidak dieksploitasi,” katanya.

    Sementara itu, Walid berkata, Klinik Al-Rimal sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.

    “Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin. Kami amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel,” katanya.

    Walid berkata, beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad. – BERNAMA

  • Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    JET tempur pengganas Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi sebagai tindak balas terhadap pelepasan belon api dari semenanjung terkepung itu yang mengakibatkan kebakaran.

    Memetik AFP, Israel yang menyalahkan Hamas susulan pelancaran belon api itu mendakwa telah menyasarkan beberapa sasaran milik pergerakan terbabit yang menguasai Genting Gaza.

    “Semalaman jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu pejuang Hamas di Khan Yunis.

    “Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke kawasan Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

    Pada masa sama, saksi berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan meriam ke utara Gaza.

    Menurut sumber perubatan di semenanjung terkepung itu, tiada penduduk yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

    Terdahulu, bomba Israel berkata, belon api itu mengakibatkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Genting Gaza.

    Israel biasanya akan membalas pelepasan belon api itu dengan serangan udara.

    Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel mellaui terowong yang digali mereka dan mencetuskan pemburuan besar-besaran.

  • Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    Jalan di bandar Gaza dinamakan Lebuh Malaysia

    SEBUAH jalan dinamakan di Gaza dinamakan sebagai Lebuh Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-64 hari ini.

    Gambar dan maklumat berhubung inisiatif tersebut dikongsi oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran dalam Twittter beliau.

    Menurut beliau, papan tanda Lebuh Malaysia itu dipasang di bulatan Ansar, barat bandar Gaza.

    “Selamat Hari Merdeka Malaysia, ikhlas dari Gaza, Palestin.

    “Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebuah jalan di kawasan barat bandar Gaza sebagai Lebuh Malaysia bagi memperingati Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini,” jelasnya dalam ciapan tersebut.

    Sumber: Twitter Muslim Imran

    Papan tanda nama jalan tersebut ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

    Penerangan ringkas berhubung Malaysia dan peranan negara ini dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis Israel turut dipaparkan pada papan tanda itu.

    Ia berbunyi:

    Malaysia:

    Ia merupakan salah sebuah negara di Asia Tenggara yang mencapai kemerdekaan daripada penjajah British pada 31 Ogos 1957 dan ibu negaranya adalah Kuala Lumpur.

    Malaysia mempunyai peranan penting dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.

    Negara itu sentiasa mendesak agar pendudukan Israel ditamatkan dan hak-hak rakyat Palestin dikembalikan.

    Negara itu juga menolak normalisasi hubungan dengan Israel.

  • Siti Sarah seperti sedang mengejar timbangan amal kebaikannya yang terakhir – Nadir

    Siti Sarah seperti sedang mengejar timbangan amal kebaikannya yang terakhir – Nadir

    “TERSENTAP kejap bila baca berita daripada Shuib mengenai pemergian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pagi ini” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

    Nadir menerusi satu hantaran di Facebook mendedahkan, beliau dihubungi Siti Sarah untuk menyertai ibadah korban di Gaza sempena sambutan Aidiladha, Julai lalu.

    Antara tangkap layar perbualan Nadir dengan Siti Sarah melalui mesej peribadi di Instagram pada 12 Jun lalu.

    “Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya Haji (Aidiladha) lepas untuk dia ikuti program korban kami di Gaza.

    “Masa tu saya terkejut bila dia maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja. Ia seolah-olah dia sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Nadir memberithu, Siti Sarah juga kerap berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan saudara Islam di bumi Palestin.

    Ujarnya, sejak itu Allahyarham kerap berhubung dan bertanya mengenai keadaan umat Isam di Palestin.

    “Rupa-rupanya Allah takdirkan nyawa dia diambil dalam keadaan dia memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

    “Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-Fatihah,” tulisnya.

    Siti Sarah Raissuddin

    Sementara itu, Nadir turut berkongsikan tangkap layar perbualannya dengan Siti Sarah melalui mesej peribadi di Instagram pada 12 Jun lalu.

    Antara gambar dikongsikan adalah mengenai urusan pembelian seekor lembu untuk tujuh bahagian korban yang membabitkan bapanya, Raissuddin Hamzah; Allahyarham ibunya, Nur Aini Mohamad; suaminya, Shuib dan tiga anak mereka.

    Nadir juga sempat bertanya jika dia boleh berkongsi perkara itu kepada umum, namun Sarah seboleh-bolehnya mahu merahsiakannya.

    Bagaimanapun Sarah mengizinkan Nadir untuk berkongsi perkara itu sekiranya ia memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini.

    Siti Sarah, 37, disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Kuala Lumpur pada pukul 5.13 pagi, hari ini.