Tag: gaduh

  • Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    Enam lelaki diberkas gaduh di pusat beli-belah

    GARA-gara bergaduh di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Miri, Sarawak hingga tular di media sosial, polis daerah itu memberkas enam lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Menurutnya, bertindak atas laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas enam individu tempatan berusia 19 hingga 34 tahun kerana dipercayai terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Hari ini, tular video kejadian itu di Facebook menunjukkan beberapa individu bergaduh di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Miri, dengan seorang daripada individu itu dirakam memecahkan cermin sebuah kenderaan menggunakan senjata.

    Dalam pada itu, Alexson Naga menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

    Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat Ramping Jimbai di talian 085-433222.

  • Gaduh di restoran nasi kandar; 3 daripada 15 suspek didenda RM1,000

    Gaduh di restoran nasi kandar; 3 daripada 15 suspek didenda RM1,000

    SERAMAI tiga daripada 15 lelaki warga tempatan yang ditahan polis susulan kejadian pergaduhan di sebuah restoran nasi kandar di Perai, Pulau Pinang yang videonya tular di dalam media sosial baru-baru ini sudah didakwa di mahkamah semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu dikenakan denda sebanyak RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

    Dalam masa sama jelas beliau, seramai 12 lagi tangkapan tidak dikenakan pertuduhan dan dibebaskan selepas siasatan polis mendapati mereka tidak terlibat dalam pergaduhan itu.

    “Bagaimanapun ketika ini, kita masih menyiasat dan mengesan beberapa suspek lain yang dipercayai masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, empat rakaman video mengenai kejadian pergaduhan itu yang berdurasi antara lapan hingga 23 saat tular selepas dimuat naik di laman Facebook ‘Kongsi Segala Info’ sejak pukul 9 pagi, 10 Ogos lalu.

    Siasatan polis mendapati, kejadian pergaduhan melibatkan senjata itu berlaku tiga hari sebelumnya iaitu kira-kira pukul 3.30 pagi sebelum satu gerakan memburu suspek terlibat dilancarkan.

  • Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    Polis kesan pelajar bergaduh di perhentian bas

    POLIS sedang mengesan sekumpulan pelajar yang dirakam terbabit dalam pergaduhan di perhentian bas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan Kota Belud, Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Belud, Suprintedan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 36 saat berkaitan pergaduhan yang kini tular itu, semalam.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian tersebut berlaku kelmarin kira-kira pukul 1.30 petang.

    “Pihak IPD Kota Belud mengambil tindakan mengesan semua pelajar terbabit bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

    “Punca sebenar pergaduhan masih dalam siasatan da kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shahrudin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu.

    Tambahnya, ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta dikhuatiri boleh mengganggu siasatan polis.

  • [VIDEO] Gaduh sebab tak puas hati harga makanan restoran nasi kandar

    [VIDEO] Gaduh sebab tak puas hati harga makanan restoran nasi kandar

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Twitter akibat rasa tidak puas hati seorang wanita terhadap harga makanan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau dekat sini, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian kira-kira 1 pagi itu berlaku selepas juruwang restoran itu didakwa meninggikan suara kepada wanita terbabit yang mempertikaikan harga makanan sehingga menyebabkan anak lelakinya berasa berang dan membaling kotak tisu ke arah juruwang.

    “Seorang pekerja yang melihat kejadian berkenaan terus menumbuk lelaki itu sebelum dileraikan pekerja lain dan pelanggan berada di situ. Restoran mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia tidak berfungsi.

    “Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Hoo turut menafikan dakwaan ada campur tangan polis dalam menyelesaikan kes ini (setel tepi) dan mengambil tindakan mengikut prosedur ditetapkan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

    Beliau meminta pelanggan dan orang awam yang berada dalam restoran tersebut tampil untuk membantu siasatan selain turut menasihat orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi di laman sosial yang boleh menganggu siasatan dan ketenteraman awam.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi 1 minit 41 saat di Twitter memaparkan insiden pergaduhan di restoran terbabit. – BERNAMA

  • Gaduh dekat stesen monorel, polis buru suspek

    Gaduh dekat stesen monorel, polis buru suspek

    POLIS sedang mengesan sekumpulan individu yang terlibat dalam insiden pergaduhan berdekatan stesen Monorel Bukit Bintang yang tular baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, video berkenaan yang berdurasi 22 saat menunjukkan sekumpulan individu bergaduh berhampiran stesen monorel itu.

    “Siasatan akan dijalankan berkenaan kejadian ini dan pihak polis memohon mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Noor Dellhan turut memberi ingatan kepada orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang. – BERNAMA