Tag: gadis

  • Gadis joli RM8,200 guna kad debit curi tak mengaku salah

    Gadis joli RM8,200 guna kad debit curi tak mengaku salah

    SEORANG gadis tular dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana mencuri kad debit serta mengeluarkan wang tanpa pengetahuan pemiliknya pada Mac lalu.

    Memetik laporan UtusanTV, tertuduh, Nur Humaira Shanuk Haziki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nadia Othman, tengah hari tadi.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga menganggur didakwa dengan niat telah melakukan capaian tanpa kuasa, dan telah melakukan kesalahan mencuri kad debit milik seorang mangsa berusia 26 tahun.

    Gadis berusia 21 tahun itu juga didakwa mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa sebanyak RM8,200.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(3) akta sama.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum pemjara selama 10 tahun atau denda tidak melebihi RM150,000 atau kedua-duanya.

    Dalam pada itu, mengikut pertuduhan pilihan tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM8,200 yang dikeluarkan daripada akaun bank milik mangsa yang sama tanpa pengetahuannya.

    Nur Humaira Shanuk Haziki,21, dituduh atas kesalahan mencuri kad debit serta mengeluarkan wang berjumlah RM8,200 tanpa pengetahuan pemiliknya pada mac lalu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid
    Kedua-dua kesalahan itu didakwa didakwa dilakukan di Regalia Residence di Chow Kit, Kuala Lumpur, pada 23 Mac 2023 sehingga 24 Mac 2023.

    Tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

    Tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun selain sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintenden Nom Phot Prakdit tidak menawarkan sebarang jumlah jaminan dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

    Manakala tertuduh dalam rayuannya sekadar memohon mahkamah agar dibenarkan jaminan yang minimum.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua orang penjamin daripada ahli keluarga.

    Majistret Nadia turut mengarahkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

    Mahkamah menetapkan 18 Mei ini bagi sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh melantik seorang peguam bagi mewakili dirinya pada tarikh itu.

    Sebelum ini pada 14 April lalu, UtusanTV melaporkan seorang gadis ditahan selepas disyaki mencuri duit ahli keluarganya dengan mengeluarkan wang daripada kad debit yang dicuri.

    Susulan penahanan itu, polis turut merampas sekeping kad mesin teler automatik (ATM) milik mangsa dan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro yang dipercayai dibeli dengan menggunakan wang mangsa.

  • Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    Polis berkas gadis curi kad ATM rakan, beli telefon mahal

    SEORANG gadis yang tergamak mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakannya sendiri termasuk membeli telefon bimbit berjenama akhirnya dicekup polis, Jumaat lalu.

    Suspek berusia 21 tahun itu turut dikesan berbelanja pelbagai barangan kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berhubung pengurangan wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

    “Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

    “Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, sehinggalah pihak polis berjaya menjejaki identiti suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Noor Dellhan berkata, suspek kemudiannya diberkas di sebuah premis di Pandan Perdana, Ampang Jaya, minggu lalu.

    Katanya, suspek diberkas kira-kira pukul 12.25 tengah malam.

    “Dalam serbuan itu polis merampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Semalam, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.

  • Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    Gadis maut, adik melecur dalam kebakaran di Rawang

    SEORANG gadis maut manakala adik lelakinya melecur teruk dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini, hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, mangsa B.Thiva, 19, dan adiknya B. Vishnu, tiga tahun telah dibawa keluar oleh orang awam.

    Beliau berkata berdasarkan saksi, kedua-dua mereka ditemukan di kawasan dapur dan Thiva telah meninggal dunia ketika dibawa keluar dari rumah.

    “Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dan Sungai Buloh digegaskan ke tempat kejadian. 

    “Kami menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah setingkat itu pada 11.10 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Norazam berkata rumah itu terbakar 90 peratus dan kedua-duanya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan rawatan.

    Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja.- BERNAMA