Tag: FGV

  • Mangsa langgar lari dapat pampasan RM2.4 juta

    Mangsa langgar lari dapat pampasan RM2.4 juta

    SEORANG pekerja ladang Felda Global Ventures (FGV) Sdn Bhd diberikan pampasan RM2.4 juta berikutan kemalangan jalan raya mengerikan yang dialaminya tujuh tahun lepas.

    Lapor Free Malaysia Today, Mahkamah Sesyen Temerloh memutuskan bahawa pemandu lori yang terbabit bertanggungjawab sepenuhnya dan menyebabkan Husaini Abu Hassan mengalami kecederaan kekal, termasuk lumpuh tangan kiri manakala kaki kirinya terpaksa dipotong.

    Bagaimanapun, identiti pemandu lori warga asing itu tidak dapat dipastikan kerana dia melarikan diri dari tempat kejadian susulan kemalangan pada awal pagi 12 Mac 2015 di ladang Felda Lepar Utara 11. Sehingga kini, dia masih belum dijumpai.

    Sehubungan itu, hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan bahawa syarikat pengangkutan yang menyediakan perkhidmatan lori, Tan Yee Seong Enterprise, menanggung liabiliti vikarius atas kemalangan itu.

    Syarikat itu menafikan liabiliti dan mendakwa pemandu lori warga Indonesia itu hanya kontraktor bebas.

    Dalam penghakiman, mahkamah memutuskan bahawa ketiadaan dokumen tidak menyokong hujah bahawa pemandu itu bukan pekerja syarikat.

    “Defendan kedua (syarikat) gagal membuktikan bahawa defendan pertama ialah kontraktor yang menjalankan perniagaan secara bebas,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman bertulisnya yang dikeluarkan baru-baru ini.

    “Mahkamah memutuskan bahawa hubungan antara defendan pertama dan kedua lebih mirip kepada majikan dan pekerja,” tambahnya.

    Pengendali pengangkutan itu juga mendakwa lori tersebut tidak berada dalam simpanannya.

    Penolong pengurus FGV Mukhlis Hidayat Ali Hanaphiah memberi keterangan bahawa sebelum kejadian, lori itu dipandu oleh pemandu tersebut bagi pihak Tan Yee Seong Enterprise untuk mengangkut tandan buah kelapa sawit segar.

    “Keterangan saksi bahawa lori itu keluar di simpang berhampiran asrama pekerja yang disewa oleh defendan kedua, turut menyokong dapatan bahawa defendan pertama ialah pekerja atau ejen untuk defendan kedua,” kata Che Wan Zaidi.

    Dalam kejadian pada 6 pagi itu, Husaini yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja bertembung dengan lori berkenaan yang keluar secara mengejut dari simpang di KM65 Jalan Jerantut-Lepar Utara.

    Lori itu juga dikatakan tidak mempunyai nombor pendaftaran kenderaan.

    Pekerja FGV berusia 43 tahun itu hanya dapat kembali bekerja selepas cuti sakit selama 21 bulan.

    Husaini akan menerima pampasan berjumlah RM2,417,383.32 bagi ganti rugi khas termasuk kos kaki palsu dan pemulihan, serta kehilangan pendapatan.

    N M Tiong & Co mewakili plaintif manakala Jacob Goldie SS Chew tampil bagi pihak defendan kedua.

  • Warga Felda bantah keputusan naikkan elaun pengerusi, ahli pengarah FGV

    Warga Felda bantah keputusan naikkan elaun pengerusi, ahli pengarah FGV

    KEPUTUSAN FGV Holdings Berhad (FGV) menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya mendapat tentangan dan tidak dipersetujui warga Felda kerana merasakan ini bukanlah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

    Menurut mereka, FGV yang merupakan entiti milik Felda menerusi pegangan 80 peratus seharusnya menumpukan kepada usaha pemulihan memandangkan harga minyak sawit mentah sedang mengukuh dan mendatangkan keuntungan kepada syarikat terbabit.

    FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada semalam mengumumkan majoriti pemegang sahamnya meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) pada hari sama.

    Antara usul yang terkandung ialah menaikkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV daripada RM300,000 kepada RM480,000.

    Ini bermaksud elaun yang diterima meningkat daripada RM25,000 sebulan kepada RM40,000.

    Selain itu, imbuhan pengarah bukan eksekutifnya pula meningkat daripada RM120,000 kepada RM150,000 bersamaan peningkatan daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

    Kenaikan elaun itu akan bermula pada 24 Jun 2022 sehingga tempoh AGM akan datang.

    Dalam pada itu, keputusan AGM itu turut meluluskan pemberian satu kereta syarikat sekurang-kurangnya 2,000cc bagi kegunaan pengerusi bukan eksekutif disertakan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000.

    Sebelum ini, elaun pengerusi bukan eksekutif menerima RM15,000 elaun syarikat sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan.

    Berdasarkan maklumat pada laman sesawang rasmi FGV, pengerusi bukan eksekutifnya pada ketika ini ialah Dzulkifli Abd Wahab.

    Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, ramai dalam kalangan warga Felda tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bimbang ini akan menimbulkan kemarahan dalam kalangan peneroka.

    Beliau berkata, ini kerana, warga Felda merasakan FGV dan Felda seharusnya fokus kepada pelan pemulihan melalui Kertas Putih yang dibentangkan pada April 2019.

    “Laksanakan dulu pelan pemulihan sebab masih banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    “Kita sebagai warga Felda melihat tiada kewajarannya. Malah, (kenaikan) ini agak melampau.”

    Menurut Mazlan, FGV sewajarnya mengambil kira beberapa perkara termasuk kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga makanan dan barangan sebelum membawa usul kenaikan elaun tersebut ke AGM.

    “Malah, dianggarkan hampir 70 peratus peneroka Felda generasi pertama sudah meninggal dan kini pendapatan yang diperoleh perlu dibahagikan antara waris atau generasi peneroka seterusnya.

    “Pendapatan yang dimiliki pun tidak besar, bayangkan jika perlu bahagikan.

    “Dengan keadaan begini, tiba-tiba FGV umumkan kenaikan elaun Pengerusi sebanyak RM120,000. Justeru ia tiada kewajaran,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Zainal Abidin Ahmad berkata FGV sebaiknya membatalkan keputusan menaikkan elaun pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya.

    Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada FGV sedia menurunkan kembali elaun tersebut apabila harga minyak sawit mentah kembali menyusut.

    “Persoalan sekarang, memang betul harga sawit tengah naik dan ini mendatangkan keuntungan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Tetapi apabila harga sawit kembali turun, adakah elaun pengerusi akan turut diturunkan,” soalnya.

    FGV pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai dan kepetingan minoriti (PATAMI) kepada RM1.17 bilion, meningkat lapan kali ganda berbanding RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

    Pendapatan tahunannya turut meningkat 39% kepada paras tertinggi RM19.57 bilion berbanding RM14.07 bilion pada 2020.