Tag: Fasa PPN

  • Johor, Pahang beralih fasa PPN-Hishammuddin

    Johor, Pahang beralih fasa PPN-Hishammuddin

    JOHOR akan beralih kepada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala Pahang beralih memasuki fasa empat PPN bermula Jumaat ini.

    Perkara itu diputuskan dalam satu Mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, hari ini.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peralihan fasa itu dibuat mengikut garis panduan ditetapkan PPN.

    “Ini setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa tiga dan empat adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    Negeri Sembilan, Melaka beralih Fasa PPN Sabtu ini – PM

    NEGERI Sembilan dan Melaka masing-masing beralih kepada Fasa 3 dan Fasa 2 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Sabtu ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan oleh Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

    “Saya ingin memaklumkan peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri-negeri berikut iaitu Melaka beralih kepada Fasa 2 manakala Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3.

    “Peralihan fasa bagi negeri-negeri di atas akan bermula pada 4 September 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau yakin Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan negara.

    Menurutnya, ini kerana, buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, hari ini kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0.

    “Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

    “Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia,” tambahnya.