Tag: faizal azumu

  • Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    Pembahagian kerusi antara parti komponen PN hampir selesai

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah menyelesaikan pembahagian kerusi bagi hampir semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen antara parti-parti komponen dalam gabungan tersebut bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata berlaku juga pertindihan dalam proses tersebut namun jumlahnya terlalu sedikit.

    “Kami akan muktamadkan tidak berapa lama lagi dan semuanya berjalan dengan baik. Alhamdulillah saya dapati parti-parti komponen dalam PN satu hati dan apabila keputusan dibuat nanti semua akan akur dan patuh kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan.

    “Terlalu sikit yang bertindih yang memerlukan kami mengadakan lagi rundingan. Jika masih lagi bertindih ia akan kami bawa dan sampaikan ke peringkat mesyuarat antara presiden parti-parti komponen,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Himpunan PN Peringkat Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

    Ditanya mengenai jentera pilihan raya, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata parti-parti komponen PN sudah bersiap siaga menghadapi PRU15.- BERNAMA

  • Cadang wujudkan liga bola sepak kompetitif untuk bakat cilik:KBS

    Cadang wujudkan liga bola sepak kompetitif untuk bakat cilik:KBS

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bercadang mewujudkan liga bola sepak yang kompetitif dengan memfokus kepada penglibatan bakat-bakat cilik di peringkat akar umbi.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, cadangan itu sedang diperhalusi dan dianggap sebagai usaha melahirkan lebih ramai pelapis berkualiti yang bakal membarisi skuad bola sepak negara pada masa akan datang.

    “Kami mahu wujudkan ‘liga cilik’ melibatkan anak-anak yang berusia lima, tujuh dan sembilan tahun umpamanya. Untuk perkasakan liga ini, kami mungkin buat di seluruh negara.

    “Bagi saya, jika lebih banyak orang main (bola sepak) mutunya akan meningkat dan mempunyai ramai pelapis yang berkualiti bagi

    menggantikan pemain sedia ada,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah keluarga yang memerlukan rumah di Manjoi, Ipoh hari ini.

    Pihaknya juga mungkin menggunakan kaedah sama bagi memperkasakan sukan teras lain yang sememangnya berpotensi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, keputusan menambah jumlah pasukan dalam Liga Super kepada 16 berbanding 12 ketika ini tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

    “Kami tidak mahu mencampuri urusan berkenaan kerana ia bukan bidang kuasa kami. Biarlah pihak MFL menentukan tentang perkara itu dengan sewajarnya,” katanya.

  • KBS kaji Sukma Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

    KBS kaji Sukma Johor 2020 ikut Olimpik Tokyo

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran yang terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan mungkin menggunakan pendekatan sama digunakan pada sukan Olimpik Tokyo 2020.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara kaedah penganjuran yang akan dipertimbangkan ialah mengadakan acara sukan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

    “Dari segi persiapan, saya lihat kerajaan Negeri begitu teliti dan venue-venue Sukma sudah tersedia untuk digunakan. Malah, penyelenggaraan venue juga telah dibuat dengan baik dan bersedia untuk menganjurkan.

    “Jadi, kita akan berbincang cara terbaik untuk perancangan seterusnya. Kita juga mendapati ada suara-suara yang ada pandangan lain tentang kaedah penganjuran temasya sukan itu.

    “Soal penganjuran, kita akan meneliti cara terbaik untuk Sukma Johor 2020. Ia masih di tahap perbincangan kaedah penganjurannya dan berlangsung secara tertutup (tanpa penonton) antara yang akan dibincangkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.

    Ahmad Faisal berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan lanjut mengenai perkara itu.

    Katanya, banyak isu lain berkaitan Sukma Johor 2020 yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin.

    “Kita kena tahu, penganjuran Sukma ini akan membabitkan atlet kemungkinan usia bawah 17 tahun. Jadi, ini antara perkara yang perlu kita fikirkan.

    “Penganjuran Sukma Johor 2020 adalah fokus utama KBS dan berikan kami sediki masa untuk mengatur jadual temasya tersebut,” katanya.

    Semalam, Onn Hafiz memberitahu bahawa Johor bersedia menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    Onn Hafiz berkata, semua venue Sukma di negeri ini juga sudah siap 100 peratus dan kerajaan Johor turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan lokasi acara Sukma di negeri ini.

    Tambahnya, Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukma Johor 2020 boleh dianjurkan pada tahun hadapan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.

  • Pembatalan Piala Presiden, Piala Belia bukan dibuat secara suka-suka

    Pembatalan Piala Presiden, Piala Belia bukan dibuat secara suka-suka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PIALA Presiden dan Piala Belia yang dibatalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menimbulkan kemarahan banyak pihak bukan dilakukan secara suka-suka.

    Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab kerana agak sukar mengawal pemain jumlah yang begitu besar untuk mengadakan gelembung sukan.

    “Keduanya, kebanyakan daripada mereka belum divaksin, jadi kita bertanggungjawab terhadap kesihatan dan keselamatan mereka. Maka FAM buat keputusan yang bertanggungjawab dan penilaian sama akan dibuat untuk Sukma,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Ahmad Faizal dan Ras Adiba melakukan lawatan dan beramah mesra dengan penerima vaksin

    Berkenaan isu membenarkan gimnasium di seluruh negara beroperasi semula tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, beliau memberitahu, perkara itu akan dibawakan dalam mesyuarat Kabinet esok.

    Kabinet diharap katanya, mempertimbangkan cadangan itu sebagaimana kelonggaran yang diberikan terhadap industri kreatif terutama kebenaran menonton di panggung wayang.

    Katanya, ketika ini pengusaha-pengusaha pusat gimnasium di seluruh negara terjejas pendapatan selepas tidak beroperasi sejak sekian lama.

    “Kita tidak boleh buka gimnasium sewenang-wenangya tetapi SOP yang ketat perlu diadakan. Saya percaya (kita) boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.

    “Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang yang pergi gimnasium, orang pergi gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan,” katanya.

    Menurut beliau, cadangan tersebut diharap dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.

    Ahmad Faizal berkata, mereka yang pergi ke gimnasium lebih menitikberatkan kesihatan kerana sudah tentu akan mematuhi semua amalan penjagaan diri dan SOP ditetapkan.

    Katanya lagi, cadangan tersebut juga akan dibawa kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan nanti.

    “Bukan sahaja pemilik gimnasium yang terkesan tetapi jurulatih turut menerima terjejas apabila gimanasium tidak dibuka. Bagi mereka yang terlibat dalam sukan ini, mereka perlu teruskan kerana kalau tak badan akan terkesan jika tidak terus berlatih.

    “Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo Phay Xing ada membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam (Selasa). Mereka juga ada pandangan yang sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, apa yang mereka buat selama ini boleh jadi hilang,” katanya.

  • Tolonglah! Ramai hampir terhenti nafas

    Tolonglah! Ramai hampir terhenti nafas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan berharap kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kepada industri kreatif berkuat kuasa esok akan diperluaskan kepada sektor sukan seperti gimnasium dan sukan padang.

    Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap cadangan tersebut dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.

    “Panggung wayang dibuka?? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat. Ramai yg hampir terhenti nafas. Tolonglah KKM,” katanya dalam ciapan di Twitternya hari ini.

    Ahmad Faizal berkata, pembukaan sektor berkenaan mungkin boleh dilakukan dengan SOP ketat.

    Beliau menambah, cadangan tersebut telah dikemukan KBS dan terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).