Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji kaedah penganjuran yang terbaik bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 dan mungkin menggunakan pendekatan sama digunakan pada sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara kaedah penganjuran yang akan dipertimbangkan ialah mengadakan acara sukan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

“Dari segi persiapan, saya lihat kerajaan Negeri begitu teliti dan venue-venue Sukma sudah tersedia untuk digunakan. Malah, penyelenggaraan venue juga telah dibuat dengan baik dan bersedia untuk menganjurkan.

“Jadi, kita akan berbincang cara terbaik untuk perancangan seterusnya. Kita juga mendapati ada suara-suara yang ada pandangan lain tentang kaedah penganjuran temasya sukan itu.

“Soal penganjuran, kita akan meneliti cara terbaik untuk Sukma Johor 2020. Ia masih di tahap perbincangan kaedah penganjurannya dan berlangsung secara tertutup (tanpa penonton) antara yang akan dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.

Ahmad Faisal berkata, beliau akan bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan lanjut mengenai perkara itu.

Katanya, banyak isu lain berkaitan Sukma Johor 2020 yang akan dibincangkan termasuk gelembung atlet memandangkan berusia bawah 17 tahun yang belum menerima vaksin.

“Kita kena tahu, penganjuran Sukma ini akan membabitkan atlet kemungkinan usia bawah 17 tahun. Jadi, ini antara perkara yang perlu kita fikirkan.

“Penganjuran Sukma Johor 2020 adalah fokus utama KBS dan berikan kami sediki masa untuk mengatur jadual temasya tersebut,” katanya.

Semalam, Onn Hafiz memberitahu bahawa Johor bersedia menjadi tuan rumah Sukma pada tahun hadapan selepas ditangguhkan dua kali sebelum ini akibat wabak Covid-19 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Onn Hafiz berkata, semua venue Sukma di negeri ini juga sudah siap 100 peratus dan kerajaan Johor turut memperuntukkan RM4.2 juta bagi menyelenggara kemudahan dan lokasi acara Sukma di negeri ini.

Tambahnya, Johor masih menunggu keputusan sama ada Sukma Johor 2020 boleh dianjurkan pada tahun hadapan yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here