Tag: Fahmi Fadzil

  • Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    Tiada arahan ‘gam’ artis condong pembangkang – Fahmi

    SUSULAN dakwaan seorang penyanyi era 90-an dikeluarkan daripada program raya televisyen kerajaan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menyekat artis cenderung menyokong pembangkang.

    “Tidak digam. Tiada arahan sedemikian,” katanya di Twitter.

    Mengulas isu sama, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Suhaimi Sulaiman turut menafikan dakwaan berkenaan.

    “Kita di RTM tidak ‘gam’ mana-mana penyanyi pun. Industri akan rugi kalau kita gam-menggam ini.

    “Yang elok kita semua cakap elok-elok dan tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Semalam media melaporkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Fahmi memberi penjelasan berhubung dakwaan pegawai RTM diarah menyekat persembahan artis tertentu daripada siaran televisyen atau radio RTM.

    Katanya, beliau menerima maklumat RTM diarah memeriksa latar belakang seseorang artis sebelum dijemput membuat persembahan.

    Terdahulu, tular ciapan Twitter seorang pemilik akaun @MacGorjes mendakwa seorang penyanyi 90-an “digam” atas kecenderungan politiknya yang sering menghentam kerajaan perpaduan.

    Namun, ciapan tersebut dipadam oleh pemilik berkenaan sejurus mendapat perhatian warganet.

    Menerusi ciapan itu, Dayangku Intan atau nama sebenarnya Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mendakwa dirinya “digam” melalui satu ciapan.

    “Siapakah saya ini, itu pun mereka koyak,” katanya.

  • Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    Video Aliff Syukri: IRAMA lapor polis, cadang hukuman berat dikenakan

    PERSATUAN Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) menggesa kerajaan meminda semula Akta 294 (a) dan (b) susulan isu video muzik lagu Cak Kun Cak Raya dendangan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang disifatkan keterlaluan.

    Presidennya, Ayob Abdul Majid berkata, pihaknya merancang bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

    Menurutnya, video muzik itu melanggar budaya dan tatasusila masyarakat Malaysia serta menghina kemuliaan bulan Ramadan.

    Sehubungan itu, Ayob ingin menggesa Fahmi membawa isu itu ke parlimen agar Akta 294 (a) dan (b) dapat digubal semula kerana disifatkan terlalu longgar sehingga tidak memberi kesan kepada pencipta kandungan.

    “Pegawai polis bertugas mencadangkan saya membawa kes ini kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kerana akta yang ada terlalu longgar.

    “Jadi, kami berharap KKD dapat membincangkan isu ini di parlimen, seterusnya denda tinggi dikenakan termasuk hukuman penjara bukan sahaja kepada Aliff tetapi kepada semua pencipta kandungan.

    “Jika hukuman berat tidak dikenakan, lebih banyak video tidak sensitif dihasilkan. Disebabkan itulah, hari ini kebanyakan penyanyi dan pencipta kandungan tidak takut dengan denda,” katanya, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Ayob berkata, beliau pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memberikan promosi percuma kepada usahawan itu.

    Namun katanya, disebabkan video muzik itu menggusarkan orang ramai sehingga timbul perbalahan dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial, maka tindakan terpaksa diambil.

    “Dari mula lagi banyak pihak meminta IRAMA membuat laporan polis, tetapi saya enggan memberikan promosi percuma.

    “Namun selepas didesak penggiat industri, saya akhirnya akur. Namun, objektif saya supaya menteri dapat menggubal akta berkenaan.

    “Saya tidak mahu objektif pada hari ini sia-sia, sama seperti tahun lalu. Tujuan saya datang hari ini kerana mahu video muzik seperti itu disekat dengan hukuman tinggi termasuk penjara dikenakan.

    “Kami bukan menyentuh peribadi Aliff atau lagu ini kerana ia sebuah karya bagus, tetapi video muzik memang tidak bersesuaian untuk tontonan terutama generasi muda,” katanya.

    Gelagat Aliff bersama lima penari yang berpakaian baju Melayu ala baju renang yang ketat serta menari terkinja-kinja dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum, selain merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.

    Bagaimanapun, usahawan kontroversi itu tidak melihat video muzik itu sebagai satu kesalahan kerana mendakwa tidak berbogel dan melakukan aksi ghairah.

    Aliff berpendapat video muzik itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar.

    Tahun lalu, Aliff turut menimbulkan isu sama apabila video muzik lagu Kelepok Raya nyanyiannya turut mengundang kontroversi sehingga mendapat kecaman ramai.

    Video muzik terbabit menampilkan sekumpulan penari lelaki berperwatakan lembut, selain wajah turut disolek.

    Disebabkan itu, Aliff dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung video muzik mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang, Wan Saiful jawab Fahmi

    Ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang, Wan Saiful jawab Fahmi

    AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan tampil membidas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung ketidakhadiran pemimpin utama pembangkang pada sidang Dewan Rakyat khususnya ketika sesi pertanyaan perdana menteri.

    Beliau yang mempertahankan ketidakhadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Wan Saiful berkata, sesi pertanyaan perdana menteri perlu ditambahbaik.

    “Untuk pengetahuan semua, sebenarnya semasa slot pertanyaan perdana menteri, hanya MP yang disebut oleh speaker saja boleh bertanya soalan. Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa.

    “Dan speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi.

    “Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. MP lain tak boleh.

    “Alangkah baiknya kalau sesi ini diperbaiki supaya jadi seperti PMQ Westminster yang mana ketua pembangkang wajib diberi slot untuk menyoal PM?” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Fahmi dalam hantaran Facebooknya menzahirkan rasa kecewa beliau dengan membayangkan pembangkang tidak mengambil peluang dalam waktu pertanyaan perdana menteri (PMQ).

    “Pagi ini YAB DS Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China; isu vape; dan isu doktor kontrak.

    “YAB DS Zahid Hamidi dan YAB DS Fadillah Yusof hadir sekali.

    “Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak menanyakan soalan,” tulisnya pagi ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful menyifatkan Fahmi telah memberi gambaran salah berhubung ketiadaan tiga pemimpin pembangkang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

    Selain mendakwa perdana menteri pada sesi itu juga turut mengelak menjawab soalan yang dikemukakan.

    “Jadi, janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot pertanyaan perdana menteri ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah.

    “Tambahan lagi, setakat saya lihat, perdana menteri banyak mengelak dari beri jawapan penuh atau perdana menteri tak tahu jawapan penuh. Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba.

    “Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada perdana menteri. Kalau kualiti jawapan perdana menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya lagi.

  • Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Fahmi dakwa tak pasti isu Sanusi dilarang ke majlis rasmi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mendakwa beliau kurang jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan Menteri Besar Kedah itu dihalang daripada menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan.

    Malah ketika ditanya sama ada terdapat keputusan rasmi untuk menghalang Muhammad Sanusi daripada menghadiri majlis kerajaan, Fahmi enggan mengulas perkara berkenaan.

    “Bagi saya tidak ada isu, contohnya saya menjemput semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota pentadbiran dalam atur cara saya melibatkan lawatan kerja rasmi Kementerian Komunikasi dan Digital ke negeri Kedah.

    “Malah ada wakil daripada pejabat Ahli Parlimen Padang Terap. Ini semangat yang sedikit berbeza untuk kita tampilkan, saya tak pasti apa yang beliau (Muhammad Sanusi) maksudkan namun bagi saya yang penting kerajaan Perpaduan ingin membuktikan bahawa kita sedia bekerjasama demi rakyat.

    “Sekarang ini cukup-cukuplah berpolitik dan kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Hab Gentian Optik Point of Presence (PoP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa perkara tersebut diputuskan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Sementara itu, Fahmi tidak lama kemudian melalui laman Facebook rasminya memuat naik status beserta gambar yang sekali lagi mengulas perkara berkenaan.

    “Pelancaran PoP Kementerian Komunikasi dan Digital di SMK Padang Terap hari ini. Semua saya jemput termasuk ADUN Suka Menanti dan wakil Ahli Parlimen Padang Terap.

    “Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Kedah juga dijemput tetapi mohon maaf tak dapat hadir. Tak ada siapa ‘panaih’ koyak ‘aih’,” katanya.

  • Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    Maklumat peribadi bocor: Sesetengah nombor akaun bank tidak sah

    SIASATAN Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mendapati, sesetengah maklumat nombor akaun Maybank yang bocor dan dipaparkan dalam sebuah laman sesawang didapati tidak sah atau tidak wujud.

    Ini berikutan tiada urusniaga boleh dilakukan dengan nombor akaun berkenaan.

    Menteri KKD, Fahmi Fadzil berkata, hasil siasatan awal susulan kebocoran maklumat peribadi didakwa membabitkan 13 juta pengguna di jaringan gelap atau ‘dark web’ itu mendapati potensi data yang didakwa bocor itu adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018.

    “Bagaimanapun, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

    “Manakala siasatan mengenai kebocoran data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Media sebelum ini melaporkan CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diarah menyiasat dakwaan berlaku kebocoran baharu maklumat peribadi membabitkan 13 juta pengguna di ‘dark web’ yang dikatakan membabitkan pengguna Astro, Maybank dan SPR.

    Arahan itu dibuat Fahmi susulan tular satu hantaran di Twitter yang memuat naik beberapa tangkap layar jaringan gelap, menunjukkan senarai ratusan daripada 13 juta maklumat individu yang didakwa diperoleh daripada SPR, Maybank dan Astro.

    Tangkap layar itu menunjukkan senarai berkenaan membabitkan nama penuh, alamat, nombor telefon dan nombor kad pengenalan pengguna dari pelbagai negeri.

    Dalam pada itu, Fahmi berkata, notis sekatan turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang berkenaan.

    “KKD melalui JPDP dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.

    “KKD memandang serius dakwaan kebocoran data yang dibuat sebuah laman sesawang pada 25 Disember 2022 yang lalu,” katanya.