Tag: endemik

  • Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    TIADA lagi saman dikeluarkan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam susulan pengumuman baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

    “Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

    “Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

    “Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian pada sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) yang turut dihadiri Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad di sini hari ini.

    Dr. Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

    Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

    Menurutnya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

    “Kita memasuki fasa peralihan ke endemik sebelum ini disebabkan masih ada kes COVID-19 yang dilaporkan dan ada perkara kita masih kena jaga dan kawal,” katanya.- BERNAMA

  • Taklimat putuskan tarikh fasa endemik minggu depan

    Taklimat putuskan tarikh fasa endemik minggu depan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM), Kementerian Luar Negeri (MOFA) dan beberapa pihak yang berkaitan akan menyampaikan taklimat dalam mesyuarat kuartet COVID-19 minggu depan sebelum sebarang ketetapan mengenai pengisytiharan “Peralihan ke Endemik” diputuskan.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, taklimat itu melibatkan laporan situasi semasa banjir dan jangkitan varian Omicron daripada pihak-pihak berkenaan, yang telah ditangguhkan sebelum ini.

    “Kita tangguh (sebelum ini) sebab saya nak terima laporan kesan daripada banjir, varian Omicron COVID-19 dan pengembara yang kembali ke tanah air, khususnya dari Arab Saudi terlebih dahulu.

    “Pada Mesyuarat kuartet minggu depan saya akan menerima taklimat daripada KKM, MOFA dan pihak-pihak lain untuk kita bentang pada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebelum keputusan tarikh sebenar kita beralih ke fasa endemik ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis amanat kementeriannya hari ini.

    Katanya, keputusan fasa peralihan ke endemik tidak akan dilakukan secara semberono dan penangguhan fasa itu melibatkan tempoh dua hingga tiga minggu dari tarikh asal, iaitu minggu pertama Januari.

    Sebelum ini, Hishammuddin dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan menangguh sementara pengumuman fasa itu berikutan peningkatan penularan kes varian Omicron COVID-19 dalam negara.

    Sementara itu, berhubung kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam situasi pandemik yang masih melanda negara, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pandangan KKM perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan berkaitan PRN negeri dibuat.

    Selain itu katanya, PRN di Sabah, Melaka dan Sarawak perlu dijadikan sandaran dan iktibar agar PRN Johor berjalan dengan selamat, sekiranya ia benar-benar diadakan.

    “Bukan untuk saya tentukan. Apabila ia diputuskan nanti, tugas kita di kuartet sebagai menteri yang mengkoordinasikan COVID-19 antara kementerian, saya terpaksa untuk bawa bersama kepimpinan negeri Johor untuk apa jua keputusan,” katanya.

    Desas-desus mengenai kemungkinan PRN di Johor telah kedengaran sejak minggu lepas.

    Kerajaan Johor ketika ini memiliki majoriti tipis satu kerusi dengan memiliki 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 27 di blok pembangkang, dan kedudukannya dianggap ‘goyah’ selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas Allahyarham Datuk Osman Sapian. – BERNAMA

  • Sarawak beralih ke peringkat endemik – Abang Johari

    Sarawak beralih ke peringkat endemik – Abang Johari

    KEADAAN pandemik di Sarawak kini telah beralih menjadi endemik apabila hampir semua kes COVID-19 yang dilaporkan melibatkan yang tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.

    Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata program vaksinasi COVID-19 yang dijalankan di Sarawak sejak Februari lepas berjaya meningkatkan sistem ketahanan badan dan mengurangkan kesan serius akibat penyakit itu.

    “Menurut pakar (kesihatan) keadaannya sama dengan kolera, SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan Swine flu yang apabila (virus COVID) dapat dilawan, akan membawa ke peringkat disebut endemik, di mana kita hidup dengan virus tetapi kita ada sistem pertahanan dalam tubuh (untuk melindungi) kita.

    “Kalaulah tidak ada vaksinasi mungkin keadaannya berlainan. Apabila seseorang itu sudah divaksinasi, dia akan mempunyai sistem daya tahan diri untuk melawan virus COVID-19,” katanya selepas meninjau pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 untuk remaja berumur 16 dan 17 tahun di Kampung Telaga Air, kira-kira 25 km dari sini.

    Beliau berkata setakat ini Sarawak telah mencapai 88.9 peratus liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi golongan dewasa yang layak atau 65.1 daripada keseluruhan populasi Sarawak dan peratusan ini akan terus bertambah memandangkan program vaksinasi masih berjalan.- BERNAMA

  • MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MKN mula bincang SOP, kelonggaran fasa endemik

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) akan memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, selain beliau, tiga lagi menteri iaitu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan dilibatkan dalam perbincangan itu.

    Beliau juga akan memanggil ketiga-tiga mereka dalam masa terdekat.

    “Pada masa yang sama, saya juga telah mengarahkan MKN untuk terus mengemas kini SOP-SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini agar ia lebih mudah difahami,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hishammuddin menambah, sebagai persediaan ke arah fasa endemik, kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian termasuk rentas negeri bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.

    Namun pada masa yang sama, beliau yang mengetuai MKN memberitahu, kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

    “Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.

    “Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” jelasnya.