Tag: Edar ganja

  • Pemilik bengkel kenderaan dituduh edar ganjar 35.5 kg

    Pemilik bengkel kenderaan dituduh edar ganjar 35.5 kg

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG pemilik bengkel berdepan hukuman mati apabila dituduh mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5 kilogram di Mahkamah Majistret Jitra, Kubang Pasu di Kedah, hari ini.

    Tertuduh, Lee Chee Thiam, 50, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan hadapan Majistret, Nurul Huda Idris dengan tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

    Mengikut kertas pertuduhan, Chee Tiam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel kereta di Changlun pada 4 Disember lalu, kira-kira pukul 3.30 petang.

    Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Karthy Gasedev manakala tertuduh diwakili peguam dari Ravi Shankar Gandhi & Associates.

    Majistret menetapkan 29 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menanti laporan kimia.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Mac depan sementara menanti laporan kimia.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dengan dia dibawa ke Penjara Alor Setar untuk ditahan.

    Media sebelum ini melaporkan mengenai serbuan dijalankan kastam terhadap sebuah bengkel membaiki kenderaan di Pekan Changlun pada 4 Disember lalu.

    Difahamkan dadah tersebut ditemukan disimpan dalam empat kotak putih yang disimpan dalam sebuah kenderaan jenis ‘pick up’ bernombor pendaftaran negara jiran.

  • Edar ganja, dua beranak ditahan

    Edar ganja, dua beranak ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan dua beranak serta merampas sembilan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja bernilai RM22,500 di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani Isnin lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, bapa berusia 75 tahun serta anak lelakinya berusia 57 tahun itu diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira jam 2 petang.

    “Pasukan terbabit bertindak menahan sebuah kereta Proton Saga yang berhenti di tepi jalan di kampung berkenaan, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 8,990 gram.

    “Nilai keseluruhan rampasan dadah RM22,500. Hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek pertama (bapa) positif dadah jenis THC manakala suspek kedua (anaknya) negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin

    Mohd. Taufik berkata, ekoran tangkapan suspek dan rampasan dadah, jabatan berkenaan telah menyita harta dua beranak terbabit iaitu wang tunai berjumlah RM 1,012.

    Katanya, dua beranak ini sudah ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Berdasarkan rekod kedua-dua suspek tiada kesalahan lampau.

    “Kejayaan ini adalah hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis.