Tag: DUN Perak

  • Bersatu belum buat keputusan calon bertanding DUN Perak

    Bersatu belum buat keputusan calon bertanding DUN Perak

    BERSATU belum membuat sebarang keputusan meletakkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu pada peringkat tertinggi parti sebelum sebarang keputusan dibuat.

    Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah itu susulan tindakan Kerajaan Perak membubarkan DUN mereka berkuat kuasa hari ini.

    “Belum lagi…,” katanya ringkas ketika diajukan soalan oleh media, lapor Berita Harian, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Perak membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran dilakukan selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

    Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

    Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Jeli, Kelantan, beliau mengambil sikap mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan.

    Pada PRU-14, Mustapa memenangi kerusi Parlimen Jeli mewakili Barisan Nasional (BN).

    Bagaimanapun, beliau kemudiannya melompat parti menyertai BERSATU dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

  • Kerajaan Perak belanja RM40 juta bagi kebajikan awam dan keperluan kesihatan

    Kerajaan Perak belanja RM40 juta bagi kebajikan awam dan keperluan kesihatan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Ipoh, hari ini bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM40 juta bagi tujuan kebajikan awam dan keperluan kesihatan.

    Jelas beliau, jumlah tersebut bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Kata Saarani, lebih 30 inisiatif dilaksanakan bagi sektor kebajikan dan kesihatan melibatkan bantuan kotak makanan, pengecualian sewa rumah serta penubuhan Pusat Penempatan Gelandangan.

    “Dana ini juga disalurkan untuk membantu petugas barisan hadapan melaksanakan program saringan dan sanitasi Covid-19 selain dibelanjakan bagi penyediaan kelengkapan, peralatan perubatan tambahan, pemberian bantuan one-off dan makanan.

    “Kerajaan juga telah menyediakan dana kepada semua 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan pengurusan Covid-19 di kawasan masing-masing.

    “Setiap pusat khidmat ADUN menerima RM40,000 dan tambahan RM20,000 lagi sekiranya kawasan mereka terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) ketika sesi soalan lisan dalam sidang DUN Perak.

    Selain itu katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada beberapa sektor lain antaranya RM14.8 juta kepada golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan merangkumi bantuan khas one-off kepada 41,750 penjaja serta peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beberapa inisiatif lain.

    Menurutnya, bagi sektor pendidikan pula, sejumlah RM8.7 juta disalurkan kepada mahasiswa menerusi bantuan sara diri, pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani dan sebagainya.

  • ADUN Perak mesti pamer semangat politik matang

    ADUN Perak mesti pamer semangat politik matang

    SULTAN PERAK, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama, saling menghormati serta membantu usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

    Merujuk titah baginda semasa berlangsungnya Istiadat Pelantikan ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak pada Disember tahun lalu, Sultan Nazrin bertitah, baginda menzahirkan titah agar kerajaan negeri Perak merintis jalan untuk meminimumkan perselisihan politik.

    “‘Menyahut titah berkenaan, Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 orang ahli Dewan Negeri tanpa sebarang diskriminasi, sama ada ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

    “‘Langkah yang dirintis oleh Menteri Besar adalah langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

    “Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya,” titah Sultan Nazrin pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-14, di Ipoh, hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah, setiap ADUN juga hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu itu dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat.

    Baginda seterusnya bertitah, semua ADUN hendaklah sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

    Sultan Nazrin bertitah lagi, Dewan Negeri Perak adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli-ahli Dewan yang sudah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa pilihan raya.

    “‘Dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan-demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi, juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri,” titah Sultan Nazrin.

    Titah Sultan Nazrin, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

    Baginda menegaskan, keadaan keselamatan makanan dunia semakin kritikal berdasarkan amaran Program Makanan Sedunia bahawa daripada 27 juta penduduk yang diancam risiko kebuluran pada 2019, kini meningkat kepada 41 juta di 43 negara.

    “Peningkatan risiko kebuluran didorong oleh kenaikan harga barang makanan penting, ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi, diburukkan lagi oleh pandemik,” titah baginda.

    Baginda bertitah, setiap negara wajib memikirkan langkah strategik untuk menghadapi segala kemungkinan dalam suasana wabak terus merebak.

    “Sektor pertanian, ternakan dan perikanan sangat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu, menyuntik kaedah dan mekanisme moden agar produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

    “Program melahirkan petani, penternak dan nelayan moden wajib diberikan keutamaan,” titah baginda.

    Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, hasrat untuk membangunkan negeri dengan lebih pesat bergantung kepada kekuatan sumber kewangan kerajaan.

    Di Perak, titah baginda, dianggarkan terkandung 1.7 juta tan sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan sumber itu adalah mineral terpenting pada masa kini serta masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, industri perubatan dan industri pertahanan.

    Baginda bertitah, pengalaman kerosakan muka bumi yang ditinggalkan dan harga yang perlu dibayar oleh negeri dan rakyat pasca aktiviti perlombongan bijih timah wajib dijadikan sebesar-besar pengajaran.

    “Faktor kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan.

    “‘Pada masa yang sama, negeri Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah, sebaliknya pengeluaran bahan mentah hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran.

    “Ia agar bahan mentah yang dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah yang dapat memberikan pulangan hasil yang lebih bermakna dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan,” titah baginda.

  • Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Tiga ADUN Perak tidak dibenarkan hadiri persidangan DUN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula Rabu ini atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ini berikutan status tiga ADUN tersebut iaitu positif COVID-19, kontak rapat dan belum menerima vaksin.

    “Saya telah maklumkan secara peribadi mengenai nasihat yang kami terima daripada MKN dan KKM kepada mereka akan perkara ini. Yang positif itu baru mendapat keputusannya semalam, yang kontak rapat itu perlu kuarantin kendiri di rumah dan seorang lagi belum divaksin.

    “Jadi ketiga-tiga ini tidak dibenarkan menghadiri sidang DUN. Kita perlu mengambil langkah sewajarnya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya pada sidang media hari ini dan menambah, maklumat lanjut mengenai ketiga-tiga ADUN itu akan dimaklumkan kemudian.

    Mohammad Zahir berkata, selain itu, setiausaha dan penolong dewan juga digantikan dengan orang lain kerana mereka perlu kuarantin kendiri ekoran dua orang petugas yang terlibat dengan persidangan itu telah didapati positif Covid-19.

    Sementara itu, Mohammad Zahir berkata selain sesi perbahasan titah Diraja dan sesi soalan lisan, persidangan juga dijangka membahaskan usul-usul melantik keanggotaan Ahli-Ahli Jawatankuasa Kira-Kira, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak.

    Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam Persidangan DUN Perak yang bermula pada 25 Ogos ini dan pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri itu serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

    Konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

    Bagi meminimumkan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang

    Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, telah berkenan untuk berangkat merasmikan istiadat pembukaan pada hari pertama persidangan.

  • Persidangan DUN Perak guna Konsep Gelembung

    Persidangan DUN Perak guna Konsep Gelembung

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Perak akan menggunaka pakai Konsep Gelembung apabila bersidang bermula pada 25 Ogos ini.

    Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri itu serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

    Menurut beliau, konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

    “Konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri ini telah diperjelaskan kepada semua Ahli-ahli Dewan Negeri agar persediaan yang sewajarnya dapat dilakukan dengan segera.

    “Sesi libat urus bersama Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan telah diadakan dan mendapat reaksi positif daripada kedua-dua pihak.

    “Dengan pelaksanaan itu akan menjadikan Perak sebagai negeri pertama memperkenalkan konsep Gelembung persidangan DUN yang akan melibatkan Yang Dipertua Dewan Negeri, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, bagi meminimakan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang.

    Katanya, fasiliti saringan secara harian disediakan dan semua diwajibkan menjalani saringan menggunakan Salixium Covid-19 Rapid AntigenTest Kit pada setiap pagi hari persidangan.