Tag: DUN Pahang

  • Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    Pembangkang Pahang setuju RUU Antilompat Parti dibentang di DUN

    PEMBANGKANG di Pahang bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Mei ini.

    Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.

    “Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.

    “Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, iaitu dengan Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt lepas.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Ahli DUN Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.

    Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.

    Ia berikutan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU itu diluluskan.

    Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH). – BERNAMA

  • Felda bukan lagi ‘simpanan tetap BN’

    Felda bukan lagi ‘simpanan tetap BN’

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pahang dalam keadaan tergantung apabila tiada satu pun parti dapat kerajaan selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan BN buat pertama kali gagal membentuk kerajaan di negeri tersebut.

    Situasi ini berlaku disebabkan penolakan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) terutama warga Felda yang kini bukan lagi dianggap sebagai “simpanan tetap BN”.

    Berdasarkan keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi semalam, BN memperoleh 16 kerusi DUN, ketinggalan satu kerusi di belakang Perikatan Nasional (PN), yang mendapat 17 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) hanya menang di lapan kerusi.

    Pahang mempunyai 42 kerusi, namun pada PRU15, proses pengundian DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini, ekoran kematian calon PN kerusi itu Md Yunus Ramli, 61, Sabtu lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

    Keputusan PRU-15 menyaksikan BN, yang berjaya membentuk kerajaan negeri pada tahun 2018 dengan memperoleh 25 kerusi DUN, hilang lapan kerusi iaitu di Bukit Ibam, Kuala Sentul, Pulau Tawar, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar dan Sungai Lembing.

    Semua kerusi tersebut dimenangi PN.

    Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ‘peralihan’ sokongan golongan peneroka kepada PN kerana usaha gabungan itu menjaga peneroka ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

    Katanya, antara sumbangan beliau kepada peneroka ialah melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka, mengambil balik 82% saham Felda Global Venture (FGV) dan meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion, bagi menambah baik model perniagaan Felda.

    “Mereka (peneroka) masih ingat apa yang dilakukan oleh Muhyiddin tetapi yang lebih daripada itu ialah PN menonjolkan parti mereka sebagai gabungan yang bersih dan tidak bermasalah, serta lebih memberi keutamaan kepada aspek integriti.

    “Ini menyebabkan pengundi melihat PN sebagai parti yang lebih selamat, untuk dijadikan alternatif kepada BN untuk terus menjaga kepentingan Melayu dan Islam, berbanding PH,” lapor Bernama.

    Faktor itu juga menyebabkan pertembungan sebenar PRU15 di Pahang ialah antara BN-PN, berbanding PH yang akhirnya terpaksa menerima hakikat 16 calon parti pimpinan Anwar Ibrahim hilang deposit.

    Mohd Izani yang juga profesor madya di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, BN Pahang turut ‘menanggung kesan’ permasalahan parti yang berlaku di peringkat Pusat seperti pimpinan parti yang terpalit pelbagai isu, sehingga berlakunya ‘swing vote’ kali ini.

    “Pemilihan calon juga boleh menjadi faktor kepada kekalahan BN membentuk kerajaan negeri. Mereka memandang rendah kekuatan calon yang diletakkan, sedangkan calon boleh menang yang lazimnya ialah orang lama sudah mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri,” katanya.

    Sebagai contoh, apabila bekas penyandang kerusi Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib, membuat kejutan ‘bersama PAS’ selepas digugurkan daripada terus mewakili BN di situ, berjaya menewaskan calon BN Shahaniza Shamsuddin dengan dengan majoriti 1,821 undi.

    Penganalisis politik Dr Ainul Adzellie Hasnul pula berpandangan, BN Pahang kini mempunyai tugasan berat mendapatkan semula kepercayaan rakyat, yang harus bermula dengan melakukan pembersihan bukan hanya di peringkat negeri, malah perlu dilakukan oleh pimpinan pusat.

    Sehubungan itu, pemilihan Umno selaku salah satu komponen parti BN, yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya semalam, menjadi medan terbaik untuk membuat pembersihan dalam parti, dengan menukar kepimpinan yang menjadi ‘beban’, selain mengetengahkan orang muda.

    “Beri mereka peluang untuk memimpin dan jangan letakkan mereka di keadaan tidak selamat seperti pada pilihan raya semalam, ada ramai muka baru dipertaruhkan di kawasan kelabu atau hitam, ini seperti melepaskan batuk di tangga dalam usaha Umno meremajakan parti,” katanya.

    Beliau juga berpendapat, gelombang penolakan pengundi Melayu terhadap BN yang berlaku di peringkat Pusat, turut menyebabkan berlakunya ‘domino effect’ dari utara ke selatan dan Pahang di pantai timur.

    “Gerakan penolakan ini berlaku secara senyap. Jika dilihat dari kempen, BN seolah-olah menjadi pilihan di Pahang sedangkan pengundi itu sendiri sudah tahu siapa yang hendak mereka pilih, yang akhirnya ditunjukkan menerusi keputusan PRU15,” katanya.

  • Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    Wakil rakyat perlu amal politik matang, jujur, ikhlas – Tengku Hasanal

    PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihatkan wakil rakyat negeri ini agar mengamalkan politik lebih matang, jujur dan ikhlas untuk membantu rakyat serta memajukan negara. 

    Baginda bertitah rakyat dan negara tidak wajar dibebani dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan menaruh harapan tinggi kepada wakil rakyat.   

    “Suka saya ingatkan kepada semua ini bukan masanya untuk kita bersengketa dan bukan masanya untuk kita banyak bicara tanpa berbuat apa-apa. Sebaliknya ini masanya untuk kita semua bersama demi negara, negeri dan rakyat jelata. 

    “Saya menyeru agar semua Yang Berhormat untuk berbahas secara rasional dan berpengang kepada prinsip mendahulukan kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri,” titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini.

    Tengku Hassanal juga menitahkan semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang supaya sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang. 

    Dalam titah itu, Tengku Hassanal turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri kesembilan dan menasihatkan beliau supaya menjalankan amanah tersebut sebaik-baiknya. 

    Selain itu, Tengku Hassanal juga menzahirkan hasrat supaya kerajaan Pahang menjadi contoh dalam amalan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), dengan berharap prinsip tersebut dijadikan panduan dalam setiap perkara agar tidak bersifat retorik semata-mata.

    Kerajaan Pahang yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga dititahkan supaya menambah keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang kini yang berjumlah 1.59 juta hektar supaya negeri ini kekal signifikan sebagai ‘green lung’ atau kawasan hijau Semenanjung Malaysia. 

    Titah baginda, Pahang dengan keluasan hampir 3.6 juta hektar mempunyai peratusan kawasan hutan yang masih tinggi iaitu 57 peratus dari keluasan negeri yang dilihat menjadi penyumbang oksigen utama selain habitat bagi hidupan liar, flora dan fauna di Semenanjung Malaysia. 

    “Saya menyokong usaha kerajaan saya bertindak tegas dalam aktiviti penguatkuasaan seperti operasi membanteras penerokaan tanah secara haram dan berharap, ia diteruskan tanpa gentar atau pilih kasih demi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan dan alam sekitar berkekalan,” titah baginda.

    Menyentuh mengenai situasi ekonomi Pahang, Tengku Hassanal bertitah berlaku penyusutan akibat impak COVID-19 dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM54.9 bilion pada 2020 berbanding RM58.4 bilion pada tahun sebelumnya. 

    Sektor pertanian, titah Tengku Hassanal masih mengekalkan sumbangan besar kepada pembangunan negeri seperti contoh, 624,000 tan produk makanan pelbagai jenis termasuk buah, sayur dan tanaman kontan bernilai RM2.9 bilion dikeluarkan pada tahun lepas. 

    “Saya berharap kerajaan saya akan terus memberikan lebih penekanan kepada sektor pertanian di samping sektor lain dengan konsep pertanian konvensional perlu diubah kepada pertanian moden dan berteknologi tinggi yang tidak memerlukan tanah yang luas untuk menggandakan hasil dan keuntungan. 

    “Kerajaan perlu menarik lebih ramai usahawan tani terutamanya golongan muda yang perlu membuang jauh pemikiran skeptikal bidang pertanian tidak menjamin masa depan atau berpendapatan rendah manakala kerajaan perlu menyediakan pelbagai bentuk kemudahan termasuk geran, dana pinjaman dan khidmat nasihat untuk mereka,” titah baginda. 

    Tengku Hassanal mengalu-alukan pelabur luar dan tempatan melabur di Pahang yang telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM6.8 bilion pada tahun lepas. 

    Dalam menarik usaha lebih ramai pelabur, Tengku Hassanal mengingatkan kerajaan negeri agar melihat potensi pelaburan yang bersesuaian dengan keutamaan diberikan kepada pelaburan yang selari dengan konsep alam sekitar dan dilaksanakan dengan berintegriti.

    Tengku Hassanal juga menzahirkan rasa puas hati dengan kutipan hasil pada tahun lepas yang berjumlah RM850 juta berbanding sasaran asal RM744 juta iaitu pencapaian sebanyak 115 peratus dan berhasrat melihat prestasi tahun ini lebih baik dan digunakan untuk melaksanakan projek yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat. – BERNAMA