Tag: DUN Melaka

  • Isytihar darurat langkah terbaik selesai krisis politik di Melaka

    Isytihar darurat langkah terbaik selesai krisis politik di Melaka

    PENGISYTIHARAN darurat di Melaka supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat ditangguhkan sehingga situasi kesihatan awam mengizinkan dilihat jalan terbaik dalam mendepani krisis politik di negeri itu ketika ini.

    Sehubungan itu, veteran politik UMNO di Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

    Jelas beliau yang juga Presiden Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), situasi semasa akibat pandemik Covid-19 tidak dilihat tidak sesuai untuk PRN Melaka diadakan yang mana turut menghalang calon dan parti politik untuk berkempen.

    Malah ujar beliau, orang ramai juga khuatir tentang soal keselamatan mereka untuk mengundi dan kerajaan tidak wajar mempertaruhkan nyawa rakyat demi kepentingan politik.

    “Sememangnya pembubaran DUN Melaka dilihat sebagai langkah terbaik bagi mengatasi kemelut politik di negeri itu ekoran berlaku tindak melompat parti untuk menjatuhkan kerajaan negeri” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd. Yussof, pengisytiharan darurat bukan perkara baharu kerana  pernah berlaku di Kelantan ketika krisis kepimpinan sesama pemimpin Pas iaitu antara Datuk Mohd. Asri dan Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir yang mengakibatkan berlakunya usul undi tidak  percaya.

    Ekoran itu katanya, Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang juga Sultan Kelantan mengisytiharkan darurat di Kelantan pada 8 November 1977.

    “Tempoh darurat selama lima bulan itu telah mengekalkan Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar tetapi dengan kuasa terhad kerana kuasa eksekutif tertinggi telah terletak pada Pengarah Pentadbiran Kerajaan mewakili Kerajaan Pusat yang dilantik oleh Perdana Menteri di bawah Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977,” katanya.

    Dalam pada itu mengulas pembubaran DUN Melaka, Mohd. Yussof berkata, langkah itu dapat memberhentikan tindakan wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dengan menjadikan tindakam melompat sebagai senjata atau ugutan terhadap sesebuah kerajaan.

    “Rakyat telah memberi peluang sekali sahaja kepada pembentukan kerajaan hasil tindakan melompat parti ini, tetapi jika  mahu dijadikan berulang kali, maka eloklah DUN sesebuah negeri itu dibubarkan sahaja dan kuasa pemilihan dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.

    Tegasnya, budaya melompat parti adalah jelas tindakan tidak sihat di dalam politik dan Melaka telah menunjukkan bukti budaya itu dapat membunuh parti sendiri.

  • DUN Melaka bubar, beri laluan PRN diadakan – Speaker

    DUN Melaka bubar, beri laluan PRN diadakan – Speaker

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Okt, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

    Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali semalam.

    Ab Rauf berkata sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

    “Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Okt 2021 (Isnin),” katanya dalam sidang media khas di Seri Negeri di sini hari ini.

    Ab Rauf berkata Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada hari ini.

    Pada sidang media itu, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

    Ditanya mengenai PRN ketika pandemik COVID-19, Ab Rauf berkata SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

    Beliau berkata buat masa ini, kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan.

    Semalam, empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

    Sebelum ini, Kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah). – BERNAMA

    Baca juga:

    Kemelut politik semakin ‘panas’, DUN Melaka bubar petang ini?

  • DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    DUN Melaka bersidang 6 September – Speaker

    SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual berlangsung pada 6 hingga 10 September ini selepas selepas mendapat izin daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

    Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, persidangan DUN Melaka selama lima hari itu akan membawa semua usul untuk dimuktamadkan.

    “Kita akan bangkitkan semua sekali (isu) yang memerlukan perhatian kerajaan untuk kebaikan dan keharmonian rakyat dalam menangani wabak COVID-19,” katanya, hari ini.

    Sebelum ini sidang DUN Melaka dijangka dilaksanakan pada pertengahan Julai sebelum kali terkahir bersidang pada awal Disember tahun lalu.

    Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, UMNO Melaka menyokong penuh keputusan dibuat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

    “Semalam keputusan bersama telah dimuktamadkan dan Perhubungan UMNO Negeri menyokong keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam menangani isu politik hari ini.

    “Kedudukan Melaka juga masih sama memandangkan tiada mana-mana wakil rakyat yang bergabung dengan UMNO mengumumkan menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan ini maknanya kita (kerajaan) masih seperti dahulu,” tambahnya.

    Untuk rekod, pada Mac tahun lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tumbang selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan itu dan membentuk kerajaan negeri baharu.

    Daripada 28 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) Melaka mempunyai 14 kerusi, Bersatu (2 kerusi), PH (11 kerusi) dan Bebas (1 kerusi).

    Semalam, MKT UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.