Tag: duit raya

  • Kedah beri duit raya RM1,000 kepada penjawat awam

    Kedah beri duit raya RM1,000 kepada penjawat awam

    Oleh BADLISHAH MAT

    KERAJAAN negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta untuk memberi Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 5,100 penjawat awam negeri itu.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengumumkan berita gembira itu berkata, keputusan berkenaan dibuat pada Mesyuarat Mingguan Exco hari ini.

    Katanya, pembayaran tersebut akan dilakukan pada 18 April ini.

    “Bantuan khas kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri ini diberikan RM1,000 seorang melibatkan peruntukan RM5.1 juta untuk 5,100 penjawat awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri turut menjenamakan semula pelantikan ketua kampung yang kini dikenali sebagai Majlis Ketua Kampung (MKK).

    “Pelantikan ketua kampung ini dinamakan sebagai Majlis Ketua Kampung untuk menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.

    “Pelantikan ini akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM13.8 juta untuk pembayaran elaun kepada mereka,” katanya.

  • PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PM umum ‘duit raya’ buat Rela, sukarelawan APM, polis, bomba

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pasukan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba turut menerima ‘duit raya’ apabila kerajaan bersetuju memberikan sagu hati sebanyak RM300.

    “Saya sebut tadi ada kategori tidak dapat manfaat sama, kategori ini ialah sukarelawan… Ia berbeza daripada pekerja tetap, polis bantuan itu tidak termasuk, tapi kategori sukarelawan ini 200,000 orang, sehubungan itu menjelang Aidilfitri ini maka saya setuju beri sagu hati kepada mereka RM300,” kata beliau.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

    Beliau mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antara lain melibatkan bantuan Aidilfitri, melanjutkan pelepasan cukai individu dan berkaitan peruntukan kredit perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

  • [VIDEO] Untunglah anak Neelofa, dapat duit raya RM14,020

    [VIDEO] Untunglah anak Neelofa, dapat duit raya RM14,020

    ANAK sulung pasangan selebriti Neelofa dan Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz menerima duit raya berjumlah RM14,020.

    Jumlah yang diterima Muhammad Bilal itu dikongsi oleh Neelofa melalui hantaran video dalam aplikasi TikTok.

    Video tersebut memaparkan Neelofa dan suaminya mengira duit raya yang diterima anak mereka.

    Duit raya yang diterima Muhammad Bilal kebanyakannya dalam not RM100 dan RM50.

    Malah, ada sekeping not 1,000 dirham yang terselit dalam longgokan duit raya tersebut.

    PU Riz turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi duit raya kepada anaknya.

    Rakaman video dalam TikTok yang menunjukkan Neelofa dan PU Riz mengira duit raya anak mereka.

    Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang menontonnya.