Tag: Dr Ahmad Samsuri Mohktar

  • 8 anak syarikat kerajaan negeri Terengganu tutup

    8 anak syarikat kerajaan negeri Terengganu tutup

    SEBANYAK lapan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu terpaksa menutup operasi sepanjang tahun ini kerana berhadapan dengan masalah kerugian.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, langkah itu dibuat memandangkan ada di antara anak syarikat tersebut tidak mempunyai pekerja dan tidak menjalankan sebarang aktiviti sejak tahun 2011 hingga 2016. 

    Menurut beliau, secara umumnya syarikat tersebut mempunyai pelbagai justifikasi tertentu.

    Katanya antara syarikat yang bakal ditutup ialah TI Offshore Service Sdn. Bhd., Suterasemai Sdn. Bhd., Terengganu Marine Work Sdn. Bhd. dan TI Merchandile Sdn. Bhd.

    “TI Offshore Service Sdn. Bhd. berstatus tidak aktif sejak 2016 tanpa menjalankan sebarang aktiviti.

    “Manakala Suterasemai Sdn Bhd. Pula sejak 2011 lagi tidak beroperasi, tetapi kos pentadbirannya masih ditanggung setiap tahun,” ujanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sabri Mohd Noor (BN-Langkap)  pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

    Menurut Dr Ahmad Samsuri, penutupan Terengganu Marine Works Sdn. Bhd. dibuat kerana tidak beroperasi sejak diambil alih daripada GLC Terengganu pada 2014.

    “Selain itu katanya, TI Merchandise Sdn Bhd., tidak beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2014, kemudian diaktifkan pada 2018 sebagai syarikat menjual cenderamata, tetapi terpaksa dihentikan bagi mengelak persaingan dengan peniaga tempatan, ” terang beliau.

    Lain-lain syarikat yang mengalami situasi sama ialah Pemika Terengganu Sdn Bhd., TI Global Food Management Limited (Labuan), TI Overseas Resources Limited, dan TI Overseas Limited.

  • Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    Krisis air:Terengganu beri air percuma dua bulan

    KERAJAAN negeri Terengganu bersetuju untuk memberikan air percuma selama dua bulan kepada penduduk daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang mengalami gangguan bekalan air sejak Isnin lalu.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, pengecualian itu berkuat kuasa selepas kerja baik pulih paip yang pecah di dasar Sungai Terengganu selesai.

    “Sebagai menghargai kesabaran penduduk yang terjejas, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan air percuma kepada semua pemegang akaun terlibat selama dua bulan setelah kerja baik pulih selesai.

    “Sepanjang tempoh krisis, kerajaan negeri juga sedang menguruskan bekalan air minuman bersih sampai kepada semua penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

    Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban ditanggung penduduk termasuk membekalkan mereka dengan air bersih.

    Katanya, ketika ini, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) sedang berusaha membaiki paip di dasar sungai berkenaan.

    “Bersama kita doakan agar kerja pembaikan berjalan mengikut jadual sekali gus dapat menamatkan segera krisis air ini,” tambahnya.

    Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 akaun pengguna SATU di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian Dun Seberang Takir.