Tag: Dr Afif Bahardin

  • ‘PH tuduh, PH siasat tuduhan sendiri’ – Afif

    ‘PH tuduh, PH siasat tuduhan sendiri’ – Afif

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mesti menghentikan sebarang campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan wujud penyelewengan ke atas dana RM600 bilion.

    Menurut Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin, kenyataan Saifuddin bahawa beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berhubung dakwaan itu seolah-olah memperlihatkan tindakan mahu campur tangan.

    “Kami mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan politik yang jelas oleh menteri, dalam mengarahkan polis tentang cara menjalankan tugasnya. Ini dendam politik dalam bentuk yang paling jelek dan tidak sepatutnya berlaku di mana-mana negara.

    “Pemimpin Pakatan Harapan (PH), yang mendakwa memperjuangkan reformasi demokrasi, tadbir urus baik dan kebebasan institusi, kini secara terbuka mengakui membincangkan perkara penyiasatan membabitkan lawan politik mereka dengan polis, satu yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut, Dr Afif berkata, sungguhpun Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyidin Yassin, mengalu-alukan sebarang penyiasatan ke atas pakej bantuan berjumlah RM530 bilion ketika pandemik COVID-19 lalu, Saifuddin tidak perlu membincangkan secara spesifik sebarang siasatan dengan Ketua Polis Negara.

    “Itu adalah bidang kuasa polis, dan tidak boleh ada campur tangan politik atau menteri. Sungguh mengerikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipanggil Perdana Menteri reformis, pada minggu pertamanya memegang jawatan, membuat tuduhan sedemikian tanpa sebarang bukti untuk menyokongnya.

    “Lebih memalukan apabila Menteri Dalam Negerinya, pada hari kedua memegang jawatan, (seolah-olah) merancang untuk terbabit dalam menjalankan siasatan,” katanya.

    Katanya, tanggungjawab Menteri Dalam Negeri adalah untuk memberi arahan dasar yang sesuai kepada badan penyiasat dan menjamin keselamatan negara, bukan untuk campur tangan dalam mana-mana siasatan.

    “Perdana Menteri membuat tuduhan setiap hari terhadap Pengerusi PN, lawan politiknya dan Menteri Dalam Negeri membincangkan siasatan atas tuduhan yang sama dengan Ketua Polis Negara. Pendek kata, PH tuduh dan kemudian PH siasat tuduhan sendiri.

    “Walaupun ini mungkin biasa di negara-negara seperti Korea Utara, ia adalah menjijikkan di Malaysia yang sepatutnya menjadi negara demokrasi,” katanya.

    Saifuddin pada sidang media semalam berkata akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Acryl berkenaan isu dana RM600 bilion didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

    Saifuddin berkata, beliau akan mendapatkan pandangan daripada Ketua Polis Negara itu mengenai isu dibangkitkan Anwar dalam sidang medianya semalam.

  • PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    PRU-15: Agensi dengan peranan bertindan wajar disatukan

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr Afif Bahardin mencadangkan beberapa dasar perlu dilihat dan diperkemas semula dalam usaha melahirkan syarikat-syarikat tempatan yang mampu mencapai status ‘unicorn’.

    Menurut beliau, agensi-agensi kerajaan yang mempunyai peranan bertindan wajar disatukan supaya sumber dapat disepadukan untuk tujuan tersebut.

    Beliau berkata, selagi mana dasar-dasar berkaitan tidak diubah, kita tidak akan dapat mencapai matlamat untuk menghasilkan lebih banyak usahawan yang hebat-hebat di masa mendatang.

    “Kerana itu agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan beberapa agensi lain yang mungkin bertindan peranannya supaya dapat digabungkan.

    “Saya lihat perlu ada penyusunan semula, bersesuaian dengan perubahan global, dengan norma baharu yang kita hadapi selepas COVID-19,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

    Afif sehubungan itu menegaskan, perlunya kepimpinan yang jelas, progresif dan sudi mendengar pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya mereka di peringkat bawahan.

    Ia katanya, telah ditunjukkan oleh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin waima ketika beliau menjadi Perdana Menteri tempoh hari di mana Majlis Ekonomi Negara bersidang hampir setiap minggu bersama teknokrat, ahli korporat, pakar-pakar dan peniaga di akar umbi.

    “Usaha tersebut telah Tan Sri Muhyiddin Yassin teruskan dalam Majlis Pemulihan Negara yang dipengerusikan beliau dan saya lihat itulah contoh kepimpinan yang perlu ada hari ini,” katanya.

  • Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    Dr Afif mahu bawa kejayaan tangani banjir di Seberang Jaya ke Shah Alam

    CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam, Dr. Afif Bahardin mahu dinding pemisah antara agensi-agensi kerajaan dan rakyat perlu diruntuhkan supaya segala permasalahan dapat diselesaikan secara bersama.

    Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal itu berkata, setiap agensi kerajaan tidak boleh bekerja dalam kepompong sendiri dan harus saling melengkapi supaya masalah ditangani dengan cekap.

    Menurutnya, apabila bercakap tentang Shah Alam, masalahnya tidak lain ialah bekalan air dan banjir.

    “Sepanjang 10 tahun saya berkhidmat di sana, saya telah bekerja dengan semua agensi untuk mencari solusi bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan saya antaranya di Permatang Rawa dan Seberang Jaya.

    “Ia bukan soal peruntukan atau projek, tetapi setiap agensi baik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), kerajaan negeri dan Persekutuan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), NGO, pihak swasta serta masyarakat perlu duduk sekali bincang bagaimana kita mencari solusi,” katanya.

    Bercakap dalam program Agenda AWANI Khas Malaysia Memilih pada Sabtu, Dr. Afif memaklumkan bahawa pihaknya sudah mula berjumpa dengan JPS dan dimaklumkan tentang beberapa fasa perancangan naik taraf Sungai Damansara dan penyelesaian banjir di Sri Muda dan Kota Raja.

    Namun kata beliau, walaupun sudah ada peruntukan untuk projek-projek tersebut dilaksanakan, perlunya komiten kerajaan dan beliau akan memastikan bajet itu benar-benar disalurkan untuk projek tersebut.

    Pada masa sama, Dr. Afif juga mahu memberi tumpuan untuk menjadikan Shah Alam bandar yang kalis masa depan, yang diumumkan dalam manifestonya untuk dinilai pengundi kawasan ini.

    “Jadi ini memerlukan kerjasama semua pihak, sebab itu tema yang saya bawa ini sebenarnya adalah inklusiviti.

    “Saya nak ajak semua warga Shah Alam berhubung dengan saya, jadikan saya sebagai platform untuk saya berhubung dengan agensi dan kerajaan untuk kita dapatkan maklumat, peruntukan dan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi warga Shah Alam,” katanya lpaor Astro Awani.