Tag: dos ketiga

  • Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri, kata Timbalan Pengarahnya, Dr. Rosemawai Ariffin.

    Menurut beliau, pemberian itu dilakukan menerusi proses janji temu kepada golongan yang layak.

    “Suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

    “Pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

    “Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

    Sementara dos penggalak pula katanya, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

    “Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

    “Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

  • Perak kaji keperluan vaksin dos ketiga

    Perak kaji keperluan vaksin dos ketiga

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Perak sedang mengkaji keperluan pemberian vaksin dos ketiga atau dos penggalak Covid-19 kepada rakyatnya.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Perak, Mohd. Akmal Kamarudin, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

    “Ketika ini kerajaan negeri sedang memberi fokus kepada program pemberian vaksin remaja yang bermula sejak 20 September lalu.

    “Perkara ini (dos penggalak) masih lagi dalam kajian. Kita tunggu arahan daripada pihak kementerian sahaja. JKN menunggu arahan daripada KKM. Belum ada apa-apa keputusan,” katanya.

    Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembukaan hari pertama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Silverlakes Brand Village Outlet di Batu Gaja, hari ini.

    Semalam, Sarawak dilaporkan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bermula bulan depan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program suntikan dos ketiga itu.

  • Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak.

    Jelas beliau, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan datang.

    “Di sini saya ingin maklumkan bahawa ada perbezaan antara dos ketiga dengan dos penggalak,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya, hari ini.