Tag: dos

  • PICK sumbang penurunan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima

    PICK sumbang penurunan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima

    KEBERKESANAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Melaka mula menunjukkan kejayaan apabila peratusan pesakit membabitkan Kategori 3 hingga 5 menurun kepada 2.1 peratus, bulan lepas berbanding 17.8 peratus pada Mac.

    Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata perubahan itu berlaku selepas 74 peratus rakyat di negeri berkenaan menerima dua dos lengkap vaksin sehingga 15 Sept lepas.

    “Dapat dilihat di sini bahawa PICK sangat berkesan dalam menurunkan bilangan kes yang teruk atau tahap keterukan kes, berbanding bilangan kes yang dilaporkan.

    “Dalam aspek pengurusan pandemik COVID-19, penurunan bilangan kes yang teruk iaitu kategori tiga hingga lima lebih penting berbanding penurunan bilanagn kes,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Md Rawi Mahmud (BN-Tanjung Bidara) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

    Rahmad berkata ketika program vaksinasi baharu bermula, sebanyak 17.8 pesakit dikesan bagi kategori tersebut, dan menurun kepada 8 peratus pada April, Mei (6.5 peratus), Jun (10.2 peratus), Julai (2.3 peratus) dan Ogos (2.1 peratus).

    Beliau berkata penurunan itu adalah selari dengan pemberian vaksin, apabila sebanyak 2.1 peratus rakyat lengkap dua dos bagi April, 5.7 peratus (Mei), 7.1 peratus (Jun), 25.2 peratus (Julai), 58.1 peratus (Ogos) dan 58.1 peratus (sehingga 15 Sept).

    Terdahulu, Md Rawi ingin mengetahui keberkesanan PICK yang dilaksanakan di negeri itu memandangkan kes positif harian yang dilaporkan di Melaka dan negara ketika ini masih tinggi.

    Rahmad berkata perkembangan positif pelaksanaan PICK juga dapat dilihat melalui penggunaan katil di Hospital Medan, Hospital Kementerian Kesihatan (KKM), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan PKRC Swasta di negeri itu.

    Beliau berkata sehingga semalam, kadar penggunaan katil di Hospital KKM ialah sebanyak 43 peratus, PKRC MITC (47.6 peratus) dan PKRC Swasta (48 peratus).

    “Hospital Medan pula, hanya dua pesakit yang ditempatkan daripada 75 katil yang disediakan di hospital itu. Alhamdulillah bersama-sama kita berdoa agar kes positif di Melaka akan kembali ke angka kosong seperti yang berlaku pada tahun lepas,” katanya.

    Menjawab soalan Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) berkaitan masa lama bagi pengurusan jenazah Muslim dan bukan Muslim meninggal dunia akibat COVID-19 di hospital kerana terdapat isu kelewatan sehingga jenazah lewat dikebumikan, Rahmad berkata ia disebabkan kes kematian yang tinggi di Hospital Melaka.

    “Memang betul berlaku kelewatan itu beberapa bulan lepas kerana kes kematian yang tinggi di hospital, sehari sehingga 15 hingga 18 kes. Amat menyedihkan sehingga pernah peti mayat hampir penuh digunakan setiap hari.

    “Pengurusan agak lewat ketika itu kerana kita perlu mengikut peraturan atau prosedur. Pengesahan perlu dilakukan menerusi ujian calitan sebelum boleh dikebumikan, bagi memastikan atau mengisytiharkan jenazah berkenaan mati atau meninggal akibat COVID-19,” katanya.

    Katanya isu itu diatasi dengan mengadakan pengebumian berpusat di Tanah Perkuburan Bidadari Ayer Keroh bagi jenazah Muslim, meningkatkan kapasiti pengendali jenaah dengan melibatkan swasta dan badan bukan kerajaan serta meningkatkan tempoh operasi pusat krematorium bagi pengurusan jenazah bukan Islam.- BERNAMA

  • Lebih 14 juta populasi dewasa lengkap divaksinasi – JKJAV

    Lebih 14 juta populasi dewasa lengkap divaksinasi – JKJAV

    SERAMAI 14,648,590 individu atau 62.6 peratus daripada populasi dewasa negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan, seramai 19,389,392 individu atau 82.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 34,027,548  dos.

    Menurut JKJAV, 59.4 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, manakala 44.9 peratus telah melengkapkan vaksinasi.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 302,804 dos dengan 142,186 merupakan dos pertama dan 160,618 adalah dos kedua.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • 61.9 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin

    61.9 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksin

    SEBANYAK 61.9 peratus atau 14,487,972 individu daripada populasi dewasa negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    JKJAV menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan seramai 19,241,946 individu atau 82.2 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 33,724,744  dos.

    Menurut JKJAV, 58.9 peratus daripada jumlah populasi keseluruhan negara mendapat dos pertama manakala 44.4 peratus melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam pula merekodkan sebanyak 336,642 dos dengan 190,010 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 146,632 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • 41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    41.6 peratus populasi negara lengkap dua dos vaksin

    SEBANYAK 41.6 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,580,934 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). 

    Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,631,593 individu atau 57.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,212,527 dos.

    Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 58.0 peratus setakat semalam berbanding 56.9 peratus, pada Isnin. 

    Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan peningkatan kepada 420,164 dos berbanding 396,576 dos pada Isnin, dengan 265,160 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 155,004 adalah dos pertama.

    PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.- BERNAMA

  • Hampir 30 juta dos vaksin Covid-19 diberikan

    Hampir 30 juta dos vaksin Covid-19 diberikan

    SEBANYAK 29,886,548 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam.

    Mengikut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, sebanyak, 12,079,978 atau 37 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos kedua vaksin Covid-19 dalam tempoh itu.

    Infografik pemberian vaksin di seluruh negara setakat semalam. Foto Warta Rakyat

    Menurutnya, sebanyak 17,806,570 orang atau 54.5 peratus daripada populasi negara pula telah menerima dos pertama vaksin.

    “Mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 76.1 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 51.6 peratus penerima, lengkap divaksin,” katanya hari ini.

    Sementara itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian, sebanyak 517,692 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 180,810 dos pertama diberikan manakala 336,882 lagi melibatkan dos kedua.

  • 4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    4 kematian babitkan penerima dua dos vaksin Covid-19 – Dr Noor Hisham

    SEBANYAK empat kes atau 0.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di seluruh negara akibat Covid-19 adalah membabitkan individu yang menerima dua dos vaksin Covid-19.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, angka itu berdasarkan analisis data klinikal yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Menurutnya, analisis itu membabitkan 12,993 kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di seluruh negara sejak penularan pandemik dalam negara dilaporkan tahun lalu.

    “Selain itu, sebanyak 80 kes atau 0.6 peratus kematian membabitkan individu yang hanya menerima satu dos vaksin Covid-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

    Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak memperincikan tempoh masa jangkitan Covid-19 membabitkan penerima vaksin dan jenis vaksin yang diterima mereka.

    Sebanyak 19,631 kes Covid-19 direkodkan semalam membabitkan 293 kematian menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu di negara ini sebanyak 1,444,270 kes.