Tag: dokumen

  • Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    Tuduhan seleweng dana: SPRM minta pihak ada bukti, dokumen, tampil serah bukti

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut, berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara RM600 bilion.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan, diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat itu.

    “Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

    Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

    Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

    Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

    Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat, susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini.

  • 3 bidang keutamaan RMK-12 kukuh perkhidmatan awam

    3 bidang keutamaan RMK-12 kukuh perkhidmatan awam

    TIGA bidang keutamaan iaitu Membangunkan Perkhidmatan Awam yang Berprestasi Tinggi, Meningkatkan Pendekatan Keseluruhan Kerajaan serta Memantapkan Pengurusan Belanjawan dan Projek merupakan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan sektor awam.

    Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, pengurusan sumber manusia akan ditambah baik, penerimaan teknologi digital diperluas untuk memastikan penjawat awam celik digital, selain kapasiti agensi pusat termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan diperkasa.

    Selain itu, golongan Orang Kurang Upaya akan diberi keutamaan dalam pengambilan beberapa kategori pekerjaan selaras dengan dasar kerajaan menyediakan peluang adil kepada semua.

    Sistem MyPerformance yang merangkumi penilaian 360 darjah diperluas ke seluruh sektor awam dengan sistem itu menjadi asas bagi kenaikan pangkat serta pelantikan ke beberapa jawatan khusus yang memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam bidang kritikal.

    Menerusi bidang Meningkatkan Pendekatan Keseluruhan Kerajaan, antara yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan akta perkhidmatan awam bagi semak dan imbang antara kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman dan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelaras dan mengelakkan pertindihan struktur antara kementerian dan agensi.

    Dalam usaha memperkukuh tadbir urus data terbuka, rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta dan ia meliputi dasar, garis panduan, perundangan dan pelaburan.

    Menurut dokumen RMK-12, Rang Undang-undang baharu berkaitan Ombudsman Malaysia akan diperkenalkan bagi meningkatkan integriti dan tadbir urus institusi awam.

    Suruhanjaya Pilihan Raya turut diperkukuhkan bagi memastikan proses pengundian adil, bebas dan telus, selain pendigitalan pengurusan pilihan raya dimantapkan melalui pengintegrasian sistem yang lebih sistematik dan pembangunan aplikasi baharu.

    Melalui usaha itu, pelaksanaan kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

    Berkaitan bidang keutamaan ketiga iaitu Memantapkan Pengurusan Belanjawan dan Projek, Penyata Pra-Bajet dan Laporan Semakan Setengah Tahun akan diterbitkan untuk menambah baik ketelusan belanjawan.

    Selain itu, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan akan diperuntukkan kepada enam negeri yang kurang membangun iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk memastikan pertumbuhan wilayah yang seimbang serta mengurangkan jurang pembangunan.

    Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) akan diperkenalkan dalam RMK-12 bagi meningkatkan displin fiskal serta memperkukuhkan tadbir urus dan ketelusan fiskal. – BERNAMA

  • Biden tandatangani perintah eksekutif mengenai dokumen 9/11

    Biden tandatangani perintah eksekutif mengenai dokumen 9/11

    PRESIDEN Joe Biden pada Jumaat menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap serangan pengganas 11 September 2001. 

    Di bawah arahan itu Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum, dalam tempoh enam bulan, lapor Agensi Berita Xinhua.

    “Kita tidak boleh melupakan penderitaan keluarga yang kehilangan orang terasayang, 2,977 orang menjadi mangsa akibat serangan pengganas terhadap Amerika, terburuk dalam sejarah negara kita,” kata Biden dalam satu kenyataan.

    Ketua Jawatankuasa Perisikan, Adam Schiff, berkata pihaknya akan memantau bagi memastikan semua agensi mematuhi arahan presiden untuk menerapkan tahap ketelusan maksimum yang dibenarkan undang-undang ketika melakukan kajian tersebut.

    Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu kepada umum.- BERNAMA

  • Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    Sindiket pemalsuan dokumen perjalanan didalangi warga Pakistan tumpas

    JABATAN Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor dalam satu operasi khas pada 16 dan 17 Ogos hasil risikan selama tiga bulan.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket pemalsuan dokumen perjalanan seperti visa dan pasport negara asing menggunakan aplikasi media sosial sebagai medium mencari pelanggan, menetapkan pertemuan serta transaksi lain.

    JIM menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta menahan tiga warga Pakistan yang mendalanginya di Setapak, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini. Foto JIM

    Beliau berkata dua daripada mereka ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan dokumen palsu di dalam sebuah kereta di Setapak, yang membawa kepada penahanan seorang lagi warga Pakistan disyaki sebagai pembuat dokumen palsu untuk sindiket itu di sebuah kawasan perumahan mewah di Taman Mesra, Seri Kembangan pada 17 Ogos.

    Mereka yang ditahan berumur lingkungan 32 hingga 56 tahun dengan dua adalah pemegang Pas Lawatan Sosial yang telah tamat tempoh manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang disyaki palsu, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata seorang daripada mereka juga pernah diusir dari Kanada pada 2008 atas kesalahan imigresen.

    Khairul Dzaimee berkata sindiket itu berkemahiran menghasilkan pelbagai dokumen palsu negara asing seperti pasport, visa serta lesen memandu dan dokumen tersebut akan digunakan sebagai satu kelebihan dalam sejarah perjalanan pemegang pasport semasa memohon visa untuk perjalanan ke negara ketiga.

    “Sindiket ini memberi fokus kepada negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun kerana visa negara-negara ini mempunyai nilai yang tinggi dan boleh meyakinkan negara ketiga yang ingin dilawati bahawa pemegang pasport adalah pengembara yang kerap melakukan perjalanan ke negara-negara maju di atas,” katanya.

    Beliau berkata sindiket itu turut dipercayai menjalankan kegiatan memalsukan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak dua tahun lepas dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada pendatang tanpa izin warga Pakistan, Myanmar dan Bangladesh yang bekerja sebagai buruh binaan serta pekerja kedai.

    “Sindiket menggunakan aplikasi WhatsApp serta In My Opinion (IMO) sebagai medium untuk mencari pelanggan dan akan berjumpa dengan pelanggan bagi tujuan transaksi,” katanya.

    Khairul Dzaimee berkata kadar bayaran yang dikenakan sindiket kepada pelanggan ialah antara RM100 dan RM300 bagi sekeping pelekat PLKS palsu manakala bayaran bagi dokumen negara asing seperti visa, lesen memandu, kad pelarian dan pasport ialah antara RM100 hingga RM1,000.

    Turut ditemukan dalam operasi itu ialah 2,320 keping dokumen yang disyaki palsu, dua set komputer meja, dua unit mesin pencetak, satu unit mesin lamina, satu unit pembaca pasport, lima keping plat plat mengecap pelbagai negara, 20 unit pemidang saring sutera pelbagai negara dan satu unit meja pencetak saring sutera.

    Beliau berkata pihak kedutaan negara terbabit mengesahkan bahawa dokumen yang dirampas adalah palsu.

    Katanya mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(D) Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat, memalsukan atau meminda suatu pengendorsan atau suatu dokumen untuk digunakan sebagai suatu visa, permit, pas atau kelayakan di bawah akta.- BERNAMA