Tag: doktor kontrak

  • MP PN gesa kerajaan pertimbang tuntutan doktor kontrak

    MP PN gesa kerajaan pertimbang tuntutan doktor kontrak

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang berharap kerajaan melihat tuntutan doktor kontrak yang melakukan mogok terlebih dahulu supaya apa yang disuarakan mendapat pertimbangan.

    Menurut Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), kebajikan doktor kontrak yang melancarkan mogok selama tiga hari bermula hari ini perlu diberi perhatian.

    Jelasnya di Dewan Rakyat, isu itu berlaku ketika jumlah doktor di hospital kerajaan masih kurang berbanding jumlah sepatutnya.

    Sementara itu, beliau menyifatkan keputusan kerajaan mengeluarkan cecair vape dari Jadual Pertama Akta Racun 1952 sebagai tindakan yang gopoh.

    “Ia bukan isu mengapa dikeluarkan, tetapi isu pokok ialah kenapa dikeluarkan dalam keadaan tergesa gesa.

    “Apakah mekanisme kerajaan untuk mengawal produk vape di pasaran yang saban tahun lamanya, industri ini berleluasa dalam negara kita tanpa mekanisme pengawalan yang spesifik,” katanya, menurut laporan Harakahdaily.

    Beliau menyatakannya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2023, di Parlimen hari ini.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, satu-satunya mekanisme kawalan yang ada ialah melalui Akta Racun 1992

    “Itu pun hanya terhad kepada vape yang mempunyai kandungan nikotin. Sekarang yang satu (mekanisme) ini pun dibuang, jadi apa mekanisme yang tinggal?” katanya.

  • Gaji, elaun doktor kontrak setara lantikan tetap

    Gaji, elaun doktor kontrak setara lantikan tetap

    PEGAWAI perubatan kerajaan yang berkhidmat secara kontrak turut menerima gaji dan elaun yang sama dengan doktor lantikan tetap.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kemudahan lain seperti kemudahan cuti, perubatan, kuarters, pinjaman kenderaan dan komputer diberi berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

    “Selain itu, pegawai perubatan lantikan kontrak turut mendapat kemudahan cuti seperti Cuti Rehat, Cuti Sakit, Cuti Haji, Cuti Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Isteri Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Kematian Ahli Keluarga Terdekatdan Cuti Tanpa Rekod Perayaan.

    “Pegawai Perubatan lantikan kontrak juga telah dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa mulai tahun 2016,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan lisan Rosnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor kontrak di negara ini.

    Khairy menambah, pada 14 Julai lalu, kerajaan juga telah bersetuju dengan pemanjangan Cuti Tugas Khas Perubatan (Hazard Leave), Cuti Tibi serta Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan lantikan kontrak.

    Beliau memberitahu, kerajaan juga bersetuju supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun dilanjutkan tempoh kontrak untuk dua tahun lagi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai membuat persediaan bagi menyambung pengajian kepakaran.

    “Selain itu, dalam tempoh dua tahun lanjutan kontrak ini, sekiranya pegawai ditawarkan pengajian kepakaran maka pegawai akan ditawarkan kontrak lanjutan selama empat tahun lagi untuk melengkapkan pengajian kepakaran.

    “Kerajaan juga bersetuju agar Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan menyediakan satu pelan komprehensif yang merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu doktor kontrak ini. Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada 20 Ogos 2021,” jelasnya.

    Khairy berkata, jawatankuasa itu akan memberi keutamaan kepada enam perkara termasuk pemberian Hadiah Latihan Persekutuan kepada pegawai perubatan dan pergigian kontrak mengikuti pengajian kepakaran; mewujudkan perjawatan tetap tambahan mengikut keperluan fasiliti kepada Agensi Pusat selain akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan dalam perkhidmatan kesihatan.

    Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, peningkatan mendadak graduan perubatan sejak 2016 telah menyebabkan wujud tekanan untuk melantik mereka dengan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

    Khairy berkata, antara tahun 2009 hingga 2015, keluaran graduan perubatan hanya sekitar 3,000 setahun, namun bermula tahun 2016, jumlah graduan perubatan adalah antara 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun.

    “Berdasarkan perkembangan ini, kerajaan pada 13 Oktober 2016 telah memutuskan supaya graduan perubatan ditawarkan pelantikan secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan melengkapkan khidmat wajib selaras dengan obligasi di bawah Akta Perubatan 1971.

    “Selepas melengkapkan latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan mengharapkan supaya mereka diserap sebagai pegawai perubatan lantikan tetap.

    “Bagaimanapun, berikutan pelaksanaan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam dan kawalan perbelanjaan kewangan secara berhemah, bukan semua graduan perubatan yang melengkapkan latihan siswazah dapat dilantik secara tetap disebabkan perjawatan yang terhad,” katanya.