Tag: DNB

  • Harapan besar Sabah untuk DNB dibenar beroperasi

    Harapan besar Sabah untuk DNB dibenar beroperasi

    Oleh JONNEYBONE J KURUM

    DASAWARSA ini, Sabah bukan sahaja terpisah dengan Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan. Sabah turut dipisahkan oleh jurang digital yang besar. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kualiti rangkaian 4G bagi bandar-bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bharu adalah sekitar 84 peratus berbanding hanya 44 peratus bagi kawasan pedalaman di Sabah.

    Pandemik Covid-19 yang mewabak menyebabkan desakan untuk menjalankan urusan di atas talian semakin mustahak. Kisah Veveonah Mosibin dari Kampung Sapatalang, Pitas hanya satu daripada ribuan kisah lain berkenaan kesukaran anak Sabah mendapatkan akses internet. Kajian Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mendapati 52 peratus pelajar sekolah rendah dan menengah di Sabah tidak mempunyai akses internet atau peranti mudah alih yang bersesuaian untuk mengikuti sesi pembelajaran atas talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

    Jurang Digital

    Masalah jurang digital berlaku disebabkan penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang terlalu berorientasikan keuntungan. ISP lebih memfokuskan pembinaan infrastruktur jalur lebar di kawasan-kawasan komersil berbanding kawasan luar bandar. Rakyat negeri Sabah terpaksa membayar harga yang sama untuk mendapatkan akses internet yang jauh lebih lemah berbanding penduduk di Semenanjung Malaysia.

    Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan persekutuan telah mewujudkan satu kenderaan berfungsi khusus iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan spektrum 5G di seluruh negara. DNB diberikan autoriti sebagai Rangkaian Borong Tunggal (SWN) dalam merevolusikan perkhidmatan internet di Malaysia.

    Lesen ekslusif yang diberikan kepada DNB dilihat sebagai pilihan yang tepat berbanding sekiranya kerajaan membenarkan syarikat telekomunikasi untuk membida lesen spektrum 5G. Pembangunan spektrum 2G sehinggalah 4G yang dipelopori oleh syarikat telekomunikasi telah menyebabkan jurang digital melebar berikutan tindakan ISP yang mengabaikan Sabah kerana terlalu obses mengisi poket masing-masing.

    Semakan harga mendapati Maxis mengenakan bayaran antara RM35 hingga RM60 untuk perkhidmatan internet tanpa had dengan kelajuan jalur lebar antara 5Mbps dan 24Mbps. Digi pula mengecaj pengguna antara RM45 dan RM105 untuk data internet berkapasiti antara 25GB dan 100GB sebulan. Celcom menawarkan pakej internet bulanan antara RM38 hingga RM58 untuk kelajuan sehingga 6Mbps sahaja.

    Disebabkan pembangunan fasiliti yang tidak seimbang, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan jalur lebar setakat 5Mbps sahaja meskipun mereka melanggan pelan yang paling mahal di pasaran.

    Kestabilan Geopolitik

    Menjelang 2024, Indonesia akan memindahkan ibu negara mereka dari Jakarta ke Kalimantan Timur. Penganalisis ekonomi Universiti Malaysia Sabah, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur percaya bahawa kedatangan pelabur secara besar-besaran ke kepulauan Borneo perlu diambil peluang oleh Sabah. Sabah mesti hadir sebagai destinasi yang mesra pelabur dan lengkap dengan kemapanan ekonomi digital yang dikehendaki masa kini.

    Ekonomi digital melibatkan segenap aspek urus tadbir kerajaan tempatan, perkhidmatan awam, penjanaan tenaga dan komuniti setempat. Tindakan memilih Kota Kinabalu untuk dibangunkan sebagai salah satu Bandar Pintar di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah pilihan yang tepat untuk membudayakan ekonomi digital.

    Bagi menyokong aspirasi ini, kerajaan negeri telah menggagaskan teras ketiga Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. Walau bagaimanapun, transformasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar memerlukan usaha menyeluruh yang melibatkan kesemua pemegang taruh termasuklah kerajaan persekutuan dan DNB.

    DNB sebagai pemain utama JENDELA perlu membangunkan infrastruktur 5G secara lebih inklusif dan holistik. Alasan bentuk muka bumi Sabah yang tidak bersesuaian yang mangli digunapakai syarikat telekomunikasi sudah lapuk dan hanya diberikan bagi menutup niat sebenar mereka yang sekadar mahu mengaut keuntungan di kawasan-kawasan yang lebih komersial. Sabah tidak mahu ketinggalan dengan negara jiran sepertimana rakan-rakan di Semenanjung dengan Singapura.

    Literasi Digital

    Tatacara bermasyarakat telah berevolusi dengan pantas seiring perkembangan teknologi. Urusan seharian seperti mesyuarat, memesan makanan dan pembayaran bil mula mengambil tempat dalam talian.

    Baru-baru ini Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) melancarkan E-Jariah Sabah, aplikasi yang pertama yang dibangunkan dengan kerjasama TM One untuk memudahkan urusan pengguna tanpa perlu ke pejabat. Aplikasi seumpama ini akan terbatas sekiranya literasi digital dalam kalangan penduduk Sabah masih rendah.

    Di Kinabatangan, etnik Sungai terpaksa menempuh perjalanan sejauh 300 km ke Kota Kinabalu bagi menjual hasil kraftangan mereka seperti tikar mengkuang, tudung saji dan gabbang kayu. Akses serta literasi internet yang rendah menyebabkan urusan jual beli dalam talian masih asing bagi sebilangan besar penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

    Pembinaan infrastruktur jalur lebar adalah keperluan yang mesti digerakkan seiring dengan kefahaman masyarakat setempat terhadap internet. DNB harus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan termasuklah kolej komuniti, GIATMARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh Sabah untuk menyediakan modul asas literasi internet khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

    Penutup

    Bagi menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disokong kesemua ahli Parlimen dari Sabah merentas identiti politik, Sabah memerlukan pembelaan setelah sekian lama dianaktirikan oleh syarikat telekomunikasi. Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang diterajui DNB dilihat mengambil kira kepentingan Sabah.

    Namun pelan ini tidak sewajarnya pegun di atas kertas tanpa diterjemahkan di bumi bertuah Sabah. Kerajaan persekutuan perlu bertegas untuk kekal dengan DNB dalam membangunkan infrastruktur 5G dan tidak tunduk kepada desakan syarikat telekomunikasi yang sudah terbukti gagal.

    Spektrum 5G dan DNB adalah harapan Sabah untuk membangun sebagai rakan kongsi Malaysia seperti yang diperjuangkan bapa-bapa kami 59 tahun lalu. Semoga manfaat menggunung pembangunan 5G di Malaysia turut mengalir ke hulu dan dinikmati bersama warga Negeri di Bawah Bayu.

    Penulis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid dan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

  • DNB tak sama dengan 1MDB, jangan hina kebijaksanaan rakyat

    DNB tak sama dengan 1MDB, jangan hina kebijaksanaan rakyat

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hairan apabila pihak tertentu yang selama ini mempertahankan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini ingin menyamakannya dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

    Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Bersatu meminta pihak terbabit supaya jangan menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia dan mempolitikkan isu DNB.

    “Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahankan skandal 1MDB sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB. Tolonglah. Kat mana kepala otak dia ni?

    “Don’t insult the intelligence of Malaysians. 1MDB adalah satu skim penipuan terbesar dalam sejarah dunia dengan wang puluhan bilion ringgit dipindahkan ke akaun syarikat luar pesisir yang diragui dan lesap entah ke mana.

    “Lebih malang sejumlah RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun “Malaysian Official 1”. DNB sebaliknya ada struktur tadbir urus yang jelas, diurus oleh mereka yang profesional, dana digunakan untuk pembinaan projek infrastruktur oleh syarikat-syarikat yang berwibawa dan Perdana Menteri tidak menjadi penasihat yang berkuasa besar dalam DNB,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhyiddin berharap agar jangan ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan roll out 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB.

    Beliau juga berharap kerajaan akan meneruskan pelaksanaan 5G berdasarkan model Single Wholesale Network seperti yang telah diputuskan.

    “Kerajaan tidak boleh terganggu dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan pelaksanaan sebuah projek strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara dan bakal menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih murah kepada rakyat.

    “Selain itu, pelaksanaan projek ini akan turut memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera di mana 60 peratus daripada perbelanjaan infrastruktur rangkaian akan diberikan kepada mereka.

    “Pada masa yang sama, sejajar dengan prinsip tadbir urus yang baik, aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan DNB juga perlu diberikan perhatian oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah DNB yang dilantik mewakili kepentingan kerajaan,” jelasnya.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menambah, dalam merangsang pertumbuhan ekonomi masa depan, terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kerajaan wajar mempercepatkan pelan digitalisasi negara termasuk pelaksanaan jaringan 5G yang menyeluruh di negara ini.

    Menurut beliau, Malaysia agak terlewat dalam melaksanakan 5G kerana syarikat-syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza.

    “Atas pertimbangan keuntungan, mereka hanya berminat untuk menyediakan perkhidmatan 5G di kawasan-kawasan berpenduduk padat dengan permintaan yang tinggi. Ini bermakna, roll out 5G di kawasan-kawasan luar bandar bandar dengan jumlah penduduk yang rendah dan permintaan yang rendah akan terbantut.

    “Kerana itu kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan untuk mempercepatkan roll out 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang murah kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.