TAN Sri Muhyiddin Yassin hairan apabila pihak tertentu yang selama ini mempertahankan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini ingin menyamakannya dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Bersatu meminta pihak terbabit supaya jangan menghina kebijaksanaan rakyat Malaysia dan mempolitikkan isu DNB.

“Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahankan skandal 1MDB sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB. Tolonglah. Kat mana kepala otak dia ni?

“Don’t insult the intelligence of Malaysians. 1MDB adalah satu skim penipuan terbesar dalam sejarah dunia dengan wang puluhan bilion ringgit dipindahkan ke akaun syarikat luar pesisir yang diragui dan lesap entah ke mana.

“Lebih malang sejumlah RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun “Malaysian Official 1”. DNB sebaliknya ada struktur tadbir urus yang jelas, diurus oleh mereka yang profesional, dana digunakan untuk pembinaan projek infrastruktur oleh syarikat-syarikat yang berwibawa dan Perdana Menteri tidak menjadi penasihat yang berkuasa besar dalam DNB,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin berharap agar jangan ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan roll out 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB.

Beliau juga berharap kerajaan akan meneruskan pelaksanaan 5G berdasarkan model Single Wholesale Network seperti yang telah diputuskan.

“Kerajaan tidak boleh terganggu dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan pelaksanaan sebuah projek strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara dan bakal menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih murah kepada rakyat.

“Selain itu, pelaksanaan projek ini akan turut memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera di mana 60 peratus daripada perbelanjaan infrastruktur rangkaian akan diberikan kepada mereka.

“Pada masa yang sama, sejajar dengan prinsip tadbir urus yang baik, aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan DNB juga perlu diberikan perhatian oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah DNB yang dilantik mewakili kepentingan kerajaan,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu menambah, dalam merangsang pertumbuhan ekonomi masa depan, terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kerajaan wajar mempercepatkan pelan digitalisasi negara termasuk pelaksanaan jaringan 5G yang menyeluruh di negara ini.

Menurut beliau, Malaysia agak terlewat dalam melaksanakan 5G kerana syarikat-syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza.

“Atas pertimbangan keuntungan, mereka hanya berminat untuk menyediakan perkhidmatan 5G di kawasan-kawasan berpenduduk padat dengan permintaan yang tinggi. Ini bermakna, roll out 5G di kawasan-kawasan luar bandar bandar dengan jumlah penduduk yang rendah dan permintaan yang rendah akan terbantut.

“Kerana itu kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan untuk mempercepatkan roll out 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang murah kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here