Tag: ditipu

  • Dua wanita di Pahang rugi lebih RM380,000 ditipu Macau Scam

    Dua wanita di Pahang rugi lebih RM380,000 ditipu Macau Scam

    DUA wanita kerugian lebih RM380,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam dalam dua kejadian berasingan di Pahang.

    Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima dua kes penipuan yang berlaku di Maran dan Temerloh.

    “Dalam kes pertama, mangsa yang juga Penolong Pegawai Pertanian berusia 45 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insuran dan mengatakan mangsa ada membuat tiga tuntutan palsu, pada November tahun lalu.

    “Mangsa telah diminta membuat laporan polis dan talian disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

    Mengulas lanjut Ramli berkata, mangsa dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah.

    “Mangsa diminta membayar dana ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk menyelesaikan kes.

    “Dengan perasaan takut, mangsa dedahkan kesemua maklumat akaun perbankan sebelum mendapati wang simpanan sebanyak RM215,100 hilang.

    “Selepas membuat pemeriksaan dengan pihak bank mendapati wang simpanannya itu telah dipindahkan ke akaun bank lain melalui 33 transaksi,” katanya.

    Sementara itu, dalam kejadian lain, mangsa berusia 37 tahun dari Temerloh menerima panggilan telefon yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier pada 13 Januari lalu.

    “Suspek mengatakan mangsa menerima barangan terlarang seperti kad sim, kad ATM (Mesin Pengeluaran Automatik), buku cek token bank dan pendrive yang dihantar kepada penerima Tan Boon Hua.

    “Suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan bahawa maklumat peribadi pengadu diguna oleh individu lain untuk membuka akaun bank.

    “Kononnya individu berkenaan memberitahu kepada pihak polis bahawa mangsa memberi kebenaran menggunakan akaun bank miliknya untuk pengubahan wang haram,” katanya.

    Beliau berkata, suspek kemudiannya memberikan satu pautan kepada mangsa untuk mengisi maklumat perbankan selain diminta memindahkan semua wang daripada simpanan Tabung Haji ke akaun bank yang dibuka atas arahan suspek.

    “Pada Selasa lalu, mangsa dapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM165,090 dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan kali transaksi telah dibuat melalui akaun berkenaan,” katanya.

    Jelasnya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan aripada menjadi mangsa penipuan.

    “Sekiranya diminta memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan apa apa maklumat.

    “Pihak polis agak terkilan kerana sungguh pun kempen kesedaran diadakan secara berterusan, masih ada yang menjadi mangsa dengan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit,” katanya.

  • Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Nak pinjam RM10,000 peniaga rugi RM12,930 ditipu Puan Annie

    Oleh:MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG peniaga kerugian sebanyak RM12,930 akibat terperangkap dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian itu bermula pada 19 September lalu sebaik mangsa melihat satu iklan pinjaman wang tidak berlesen.

    Ekoran itu katanya, mangsa terus berurusan dengan wakil syarikat terbabit yang memperkenalkan diri sebagai puan Annie.

    Menurutnya, mangsa yang tinggal di Bandar Jengka, Maran itu bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.

    “Kemudian, mangsa menyerahkan maklumat diri kepada suspek sebelum diminta membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd Wazir, mangsa membuat pembayaran sebanyak 13 kali membabitkan akaun bank berbeza yang diberikan suspek.

    Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima wang sepertimana yang dipohon lalu dia tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran semalam setelah merasakan dia ditipu,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

  • Wanita rugi RM173,000 ditipu ‘Datuk Riduan’

    Wanita rugi RM173,000 ditipu ‘Datuk Riduan’

    MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita kerugian lebih RM173,000 akibat terpedaya dengan helah ‘Datuk Riduan’ sehingga sanggup mendedahkan maklumat bank dan jumlah wang simpanannya, sebelum wang miliknya lesap dikebas
    sindiket penipuan.

    Tindakan wanita berusia 51 tahun itu kerana dia dikatakan terlalu panik apabila dihubungi beberapa individu berkaitan kes tunggakan cukai disamping turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian malang itu bermula sebaik mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada 3 Ogos lalu berkaitan tunggakan cukai syarikat berjumlah RM30,400.

    Beliau berkata, selain itu mangsa juga ada menerima panggilan daripada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum diminta berurusan dengan ‘Datuk Riduan’ yang mengendalikan kes berkenaan.

    Beliau berkata, mangsa diberitahu namanya telah digunakan untuk mendaftar sebuah syarikat dan dia turut dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarah mendedahkan maklumat bank serta wang simpanan dimiliki untuk siasatan.

    Justeru katanya, kerana terlalu panik, mangsa akhirnya terpedaya sehingga dia mendedahkan semua maklumat lima akaun banknya membabitkan jumlah wang simpanan mencecah RM200,000.

    “Lebih malang, mangsa juga mangsa juga diarah memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan bagi siasatan lanjut mengenai sumber wang tersebut diperoleh.

    “Ekoran itu, mangsa yang akur membuat transaksi pemindahan wang sebanyak 30 kali melalui sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM173,050 bermula 6 Ogos lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, selepas wang dipindahkan, mangsa dihubungi Datuk Riduan dan dia diarahkan agar mengumpul semua resit transaksi dalam satu fail dan meletakkanya dalam tong sampah sebuah stesen minyak.

    Namun katanya, mangsa mula curiga dan tidak mengikut arahan itu, lalu dia menceritakan kejadian itu kepada adiknya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

    “Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

  • Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    Lelaki rugi lebih RM100,000 ditipu tawaran kerja pembantu pemasaran

    SEORANG lelaki kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

    Pemuda berusia 27 tahun dari Senawang itu mula terjebak dengan sindiket tersebut setelah selepas melihat satu iklan di media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan itu dengan seorang wanita dikenali Ainnie pada 29 Ogos lalu.

    Namun katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

    “Mangsa yang berminat kemudian membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat itu dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut Aibee berkata, bagaimanapun selepas membuat pembayaran, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam.

    Tambah beliau, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Wanita hilang RM70,000 ditipu individu mengaku polis

    Wanita hilang RM70,000 ditipu individu mengaku polis

    SEORANG pekerja swasta wanita berusia 49 tahun di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis.

    Mangsa mula terjerat dengan sindiket itu selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil syarikat Telekom Malaysia baru-baru ini.

    NOORZAINY MOHD. NOOR

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, individu terbabit mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM1,188.

    Menurut beliau, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan yang memaklumkan mangsa terlibat pula dengan kes pengubahan wang haram.

    “Takut dan panik dengan dakwaan itu, wanita berkenaan kemudian mengikut arahan suspek supaya menyerahkan maklumat akaun dan kod kebenaran transaksi (TAC) atau kata laluan sekali guna (OTP) kononnya bagi siasatan lanjut.

    “Malah, mangsa juga diingatkan supaya tidak memberitahu sesiapa berkenaan panggilan yang diterimanya itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Noorzainy, sebaik sahaja menyerahkan nombor TAC dan OTP seperti diarahkan, mangsa mendapati wang di dalam akaun bank miliknya berkurangan.

    Selain itu katanya, mangsa juga telah memindahkan sebahagian wang simpanannya ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek kerana mempercayai bagi tujuan siasatan.

    “Selepas mendapati wang simpanannya sebanyak RM70,000 telah lesap, mangsa akhirnya menyedari dia telah ditipu dan membuat laporan polis semalam.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, Noorzainy mrngingatkan orang ramai sulaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mendakwa kononnya dari mana-mana pihak berkuasa terutama anggota polis.

    Ini kerana jelasnya, pihak polis tidak berurusan dengan orang awam melalui telefon apatah lagi meminta maklumat perbankan kononnya untuk melengkapkan siasatan.