MOHD LAZIM ENDUT

SEORANG wanita kerugian lebih RM173,000 akibat terpedaya dengan helah ‘Datuk Riduan’ sehingga sanggup mendedahkan maklumat bank dan jumlah wang simpanannya, sebelum wang miliknya lesap dikebas
sindiket penipuan.

Tindakan wanita berusia 51 tahun itu kerana dia dikatakan terlalu panik apabila dihubungi beberapa individu berkaitan kes tunggakan cukai disamping turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian malang itu bermula sebaik mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada 3 Ogos lalu berkaitan tunggakan cukai syarikat berjumlah RM30,400.

Beliau berkata, selain itu mangsa juga ada menerima panggilan daripada pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sebelum diminta berurusan dengan ‘Datuk Riduan’ yang mengendalikan kes berkenaan.

Beliau berkata, mangsa diberitahu namanya telah digunakan untuk mendaftar sebuah syarikat dan dia turut dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum diarah mendedahkan maklumat bank serta wang simpanan dimiliki untuk siasatan.

Justeru katanya, kerana terlalu panik, mangsa akhirnya terpedaya sehingga dia mendedahkan semua maklumat lima akaun banknya membabitkan jumlah wang simpanan mencecah RM200,000.

“Lebih malang, mangsa juga mangsa juga diarah memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan bagi siasatan lanjut mengenai sumber wang tersebut diperoleh.

“Ekoran itu, mangsa yang akur membuat transaksi pemindahan wang sebanyak 30 kali melalui sembilan akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM173,050 bermula 6 Ogos lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir memberitahu, selepas wang dipindahkan, mangsa dihubungi Datuk Riduan dan dia diarahkan agar mengumpul semua resit transaksi dalam satu fail dan meletakkanya dalam tong sampah sebuah stesen minyak.

Namun katanya, mangsa mula curiga dan tidak mengikut arahan itu, lalu dia menceritakan kejadian itu kepada adiknya sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.

“Mangsa akhirnya membuat laporan di Balai Polis Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here