Tag: Dikompaun

  • 5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    5 bengkel tumpuan mat rempit ubah suai motosikal di Georgetown dikompaun

    MESKIPUN pernah diserbu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan dikenakan saman tahun lalu, namun pemilik sebuah bengkel motosikal di pusat bandar Georgetown tidak pernah serik menawarkan servis mengubah suai motosikal kepada mat rempit dipercayai untuk tujuan lumba haram.

    Bengkel motosikal itu antara lima buah bengkel yang diserbu JPJ Pulau Pinang dalam Ops Bengkel yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 1 tengah hari, hari ini.

    Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, bengkel di pusat bandar itu antara bengkel yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

    Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu ialah mengubah tayar standard kepada tayar ‘sotong’; mengubah ekzos; memasang alat mengawal kelajuan; mengubah sistem enjin, mengubah ‘swing arm’ dan banyak lagi.

    ”Kita mendapati pengubahsuaian yang dilakukan di bengkel motosikal ini mungkin untuk meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram.

    “Pemilik bengkel ini juga menjual aksesori motosikal yang diimport yang mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai motosikal secara haram.

    ”Harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai pula sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai ketika serbuan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bengkel itu hari ni.

    Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhan, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut sepanjang Ops Bengkel itu.

    Katanya, Ops Bengkel itu turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

    ”Pemilik bengkel motosikal diberikan peluang untuk memperbetulkan semula motosikal yang diubah suai dalam tempoh 10 hari.

    ”Kita juga arahkan pemilik bengkel menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan aktiviti lumba haram tidak berlaku,” katanya.

  • Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    Pemilik kebun dikompaun RM2,000 lakukan pembakaran terbuka

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pemerhatian JAS Pulau Pinang mendapati pembakaran terbuka itu melibatkan sebahagian kawasan kebunnya yang tidak diselia dan berpotensi merebak ke kawasan lain.

    JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,000 kepada seorang pemilik kebun di Balik Pulau hari ini selepas dikesan melakukan pembakaran terbuka di kebun miliknya.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan selepas menerima aduan orang awam berhubung berlakunya pencemaran udara ekoran aktiviti pembakaran terbuka di kebun tersebut.

    Katanya, mengikut seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Kompaun minimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah terbakar terutama ketika cuaca panas dan kering.

    “Ini kerana selain mencemar dan mengganggu masyarakat sekeliling, aktiviti pembakaran terbuka juga mudah merebak ke kawasan belukar atau hutan,” katanya.

    Sementara itu beliau menambah, JAS Pulau Pinang merekodkan sebanyak 547 aduan rasmi aktiviti pembakaran terbuka  sepanjang tahun ini setakat hari ini.

    Katanya, orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat tentang pencemaran ke talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 atau email [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

  • 17 dikompaun ‘dine-in’ di restoran lebih masa

    17 dikompaun ‘dine-in’ di restoran lebih masa

    Oleh WARTAWAN WARTARAKYAT

    KESERONOKAN 16 lelaki makan di dalam restoran atau ‘dine-in’ sehingga melebihi masa seperti ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka dikompaun masing-masing RM2,000.

    Turut dikompaun adalah wanita pengusaha restoran terbabit sebanyak RM10,000 kerana membenarkan pelanggannya ‘dine-in’ melebihi masa ditetapkan.

    Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran di Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kira-kira pukul 11.30 malam semalam selepas sepasukan polis melakukan serbuan dan pemeriksaan di restoran terbabit.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad, dalam pemeriksaan itu polis mendapati pihak berkenaan menjalankan dan terlibat dalam aktiviti tidak dibenarkan iaitu ‘dine-in’ melebihi masa yang ditetapkan.

    “Seramai 16 pengunjung lelaki dan seorang wanita pengusaha premis ditahan kerana melanggar SOP.

    “Pengunjung berkenaan masing-masing dikompaun RM2,000, manakala pengusaha premis dikompaun RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Shafee, mereka didapati melakukan kesalahan aktiviti terlarang di bawah Peraturan 26 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPBB) (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (PPN) SOP Fasa 2 2021.

    Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0 dalam usaha bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

    Ini kerana tegasnya, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pengusaha premis makanan dan orang ramai yang melanggar SOP.