Tag: Dihukum gantung sampai mati

  • Pengutip besi buruk dihukum gantung sampai mati

    Pengutip besi buruk dihukum gantung sampai mati

    SEORANG pengutip besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini selepas didapati bersalah membunuh pengawal keselamatan, lapan tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman itu terhadap R Saravanan, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K Gobi Nathan, 44, di belakang sebuah restoran, Laluan Klebang Restu 2, Medan Klebang Restu, Chemor antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 5 Julai 2015.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, T Vijayandran.

    Seramai tujuh saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung sejak Disember 2021.

    Saravanan dilihat mengalir air mata menoleh ke belakang memandang wajah ahli keluarganya sebaik hukuman ditetapkan dan sempat memeluk ahli keluarganya sebelum dibawa keluar ke lokap.

    Media melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui mati dengan kesan tujuh tetakan di kepala dan kedua-dua belah tangan akibat diserang dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah lorong dekat Laluan Klebang Restu di Ipoh.

    Mangsa dikatakan datang ke kawasan itu untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai, sebelum dikejar seorang daripada suspek itu hingga ke lorong berkenaan.

    Siasatan awal mendapati mangsa berusaha melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah berikutan polis menemui kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.

  • Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Edar dadah: Anggota polis berdepan hukuman gantung sampai mati

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan terlibat mengedar dadah pada 23 September lalu.

    Tertuduh, C. Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan P. Darshan, 19, yang bekerja sebagai pemandu sambilan mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Suhaila Shafi’uddin namun tiada pengakuan direkodkan.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama telah mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram.

    Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey, Johor Bahru pada jam 9.45 malam, 23 September lalu.

    Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit bersalah, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim.

    Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin manakala Harethaess tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 5 Disember untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.