Tag: Dewan Rakyat

  • MP PN tuduh Anwar kelirukan Dewan Rakyat isu ketirisan diesel subsidi

    MP PN tuduh Anwar kelirukan Dewan Rakyat isu ketirisan diesel subsidi

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai menteri kewangan, dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat kenyataan mengelirukan di dalam Dewan Rakyat berhubung isu ketirisan diesel bersubsidi.

    Memetik laporan Free Maaysia Today, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menekankan bahawa, Anwar semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 memberitahu negara kerugian RM10 bilion setahun akibat ketirisan diesel bersubsidi.

    Bagaimanapun katanya, mengikut data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hanya diesel bersubsidi diseludup bernilai RM18.7 juta dirampas dari 2018 hingga 2022.

    Beliau turut mempersoalkan Anwar berhubung angkanya, mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini berkata kementerian itu baru mula mengumpul data mengenai isu itu.

    “Sebab itu, saya memohon Dewan untuk merujuk kes ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

    Pada Februari, Salahuddin berkata, pasukan petugas khas akan dibentuk untuk menyelesaikan isu ketirisan diesel bersubsidi diesel, sambil menambah bahawa kementeriannya akan “meneliti semula data”.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Kerajaan hanya bertindak terhadap pembangkang – Ahmad Fadhli

    Kerajaan hanya bertindak terhadap pembangkang – Ahmad Fadhli

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan adakah kerajaan benar-benar serius untuk mengambil tindakan terhadap proses tata kelola yang dikatakan tidak telus seperti yang dibangkitkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menegaskan, ini kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat hanya memfokuskan tindakan terhadap pembangkang.

    Menurutnya, banyak persoalan tata kelola dibangkitkan sebelum PRU15, termasuk perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang membabitkan kos berbilion.

    “Rakyat sudah tentu mahu mengetahui perkara yang perlu disiasat oleh kerajaan hari ini. Tak boleh kita bercakap tentang perolehan projek semata-mata tanpa bertindak terhadap proses sebelum itu.

    “Bilakah tindakan akan diambil terhadap proses tata kelola yang telah disebut sebelum PRU15. Soalan ini dijawab oleh kerajaan bahawa tindakan pendakwaan telah diambil, namun tindakan itu sebenarnya dibuat sebelum PRU15 dan YB (Yang Berhormat) Tambun dan pimpinan lain menyatakan bahawa pendakwaan itu tidak cukup dan perlu ada tindakan susulan,” katanya lapor Harakhdaily.

    Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya mengakui bahawa pendakwaan peringkat awal kes LCS tidak mencukupi berikutan ia adalah skandal besar dan jelas wujud berlaku ketirisan.

    Menurutnya, perkata itu sudah dinyatakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan dipersetujui pendakwaan peringkat kedua akan teruskan.

    “Namun, itu bukan urusan saya untuk mendalami dan bertanya lebih, nanti jika saya buat begitu akan ada tuduhan (yang menyatakan) wujud pendakwaan terpilih.

    “Saya tegaskan siasatan LCS ini mesti diteruskan dan tindakan sebelum ini tidak cukup membongkar dan bertindak kepada orang yang lebih utama dikatakan yang terbabit. Biar siasatan diteruskan,” katanya.

  • Ahli Parlimen cadang naikkan pencen pesara GLC RM500 sebulan

    Ahli Parlimen cadang naikkan pencen pesara GLC RM500 sebulan

    SEORANG ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan menaikkan kadar pencen pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak kurang daripada RM500 sebulan.

    Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkata, ada dalam kalangan pesara GLC seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Telekom Malaysia Berhad dan Pos Malaysia hanya menerima pencen kurang RM200 sebulan.

    “Saya ingin merujuk isu berkait kadar pencen rendah pesara agensi kerajaan yang diswastakan pada tahun 80-an dan 90-an. Pesara syarikat GLC seperti TNB, Telekom, Pos, KTMB dan lain-lain menerima bayaran pencen rendah.

    “Ramai dalam kalangan mereka hanya menerima jumlah pencen amat sedikit iaitu bawah RM200 sebulan. Saya pohon kerajaan pertimbangkan untuk menambah kadar bayaran pencen bulanan mereka kepada sekurangnya RM500 sebulan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, lapor Free Malaysia Today.

    Hassan berkata, ada pesara GLC terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan kerana bayaran pencen diterima tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

  • Cukupkah kakitangan SPRM siasat kes rasuah?

    Cukupkah kakitangan SPRM siasat kes rasuah?

    KEUPAYAAN Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berikutan pertambahan kes rasuah dipersoalkan seorang ahli Parlimen.

    Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, mengikut maklumat, SPRM hanya mempunyai kira-kira 3,000 kakitangan di seluruh negara.

    Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berkata, daripada jumlah itu, hanya 30 peratus atau 900 orang bertugas di Bahagian Siasatan.

    “Adakah jumlah itu sudah mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa SPRM dalam mencegah dan menyiasat kes rasuah yang kelihatan semakin banyak ketika ini?,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ahmad Fadhli juga meminta kerajaan menjelaskan perancangan untuk memenuhi janji dalam manifesto bahawa pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang anggotanya dwipartisan.

    “Sampai hari ini, kita tidak dapat melihat lagi apakah `roadmap’ ke arah itu supaya orang melihat pendakwaan yang dibuat oleh SPRM bukan bermotifkan politik.

    “Kes-kes yang lapuk dibiarkan, tetapi kes baharu disiasat begitu cepat dan didakwa di mahkamah, sedangkan kes yang disebut-sebut sebelum Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15) nampaknya sudah disapu ke bawah karpet,” katanya.

  • Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 pada 1 Julai ini dikhuatiri masih tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan pendapatan rakyat, namun tidak berguna jika harga barang turut meningkat.

    “Justeru itu, apakah tindakan kerajaan agar perkara sama tidak berulang? Walaupun naik gaji minimum, tetapi harga barang semakin naik, jadi kuasa pembeli semakin berkurangan.

    “Apakah perancangan jangka masa panjang, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk kita mencari punca supaya perkara ini dapat diselesaikan, khususnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, situasi berkenaan diyakini dapat diselesaikan jika nilai mata wang Malaysia kembali meningkat dan stabil.

    “Apabila nilai mata wang meningkat, kita juga mengawal harga barang walaupun kita tidak boleh kawal semuanya,” katanya.

    Bagi jangka masa panjang pula, kata Fuziah, ia memerlukan peranan daripada kementerian-kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dalam inisiatif pendapatan rakyat.

  • MP BN pertikai peranan J-KOM

    MP BN pertikai peranan J-KOM

    SEORANG ahli Parlimen kerajaan hari ini mempersoalkan peranan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri sama ada sebagai lidah kerajaan atau parti politik.

    Menurut Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), agensi itu sepatutnya menjadi lidah rasmi kepada kerajaan dan bukan parti.

    “Saya mencadangkan adalah lebih baik kerajaan melantik semula bekas-bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan sebelum ini.

    “Mereka mempunyai banyak pengalaman dan itu perlu diambil kira bagi mengisi jawatan J-KOM yang ditubuh kerajaan Malaysia Madani sekarang,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian pada perbahasan peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    J-KOM ketika ini diketuai bekas pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Muhamad Agus Yusoff, manakala kalangan pegawainya difahamkan termasuk aktivis Pakatan Harapan (PH).

    Menyentuh isu sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, penubuhan J-KOM tidak dapat dinafikan lagi adalah bagi tujuan politik.

  • Isu surat RoS: Shahidan mahu bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat

    Isu surat RoS: Shahidan mahu bawa usul tergempar ke Dewan Rakyat

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, esok berhubung kewujudan surat yang dikatakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai pemilihan UMNO.

    Memetik laporan Berita Harian, Shahidan (PN-Arau) berkata, usul tergempar itu akan dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai ketulenan surat berkenaan.

    Menurut bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu usul tergempar itu juga menuntut KDN menjelaskan mengenai pengecualian yang diberikan kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

    “Insya-Allah saya akan bawa (usul tergempar). Perkara ini harus dibawa dalam Parlimen… saya rasa ia wajar untuk saya bawa mengikut Perkara 18(1) untuk usul ini disegerakan.

    “Kita nak supaya rakyat memahami dengan betul-betul tujuan menteri berbuat demikian (memberi pengecualian kepada UMNO).

    “Usul ini akan dibawa secara tergempar kerana ia membabitkan kepentingan awam, dan atas dasar apa pengecualian diberikan. Kami juga nak penjelasan, adakah surat ini benar dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

    Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO, menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, sebagai tidak sah.

    Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan berkenaan tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

    Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

    Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966, yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

    Seksyen 13(1)(c)(iv) akta berkenaan pula memperuntukkan Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan berdaftar yang didapati melanggar secara sengaja mana-mana peruntukan atau peraturan dalam akta itu.

    Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO yang dikatakan dipetik dalam surat RoS yang dibacakan Takiyuddin, memperuntukkan semua jawatan tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, perlu dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

    Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS berhubung ketetapan PAU 2022 untuk tidak mempertandingkan dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

  • Muhyiddin bawa pandangan NGO Melayu, Islam ke Dewan Rakyat

    Muhyiddin bawa pandangan NGO Melayu, Islam ke Dewan Rakyat

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedia membawa pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam ke Dewan Rakyat jika bersesuaian.

    Presiden Bersatu itu berkata, beliau terlebih dahulu akan meneliti dan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pandangan yang dikemukakan mereka khasnya melibatkan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan Islam.

    “Insya-Allah saya akan meneliti dan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pandangan yang dikemukakan dan akan membawa ke sidang Dewan Rakyat sekiranya bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.

    Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama sebahagian pemimpin NGO Melayu Islam hari ini.

    Muhyiddin terdahulu mengadakan pertemuan bersama pimpinan-pimpinan NGO Melayu dan Islam bagi bertukar-tukar pandangan berkenaan isu-isu semasa politik, sosioekonomi dan hal-hal yang melibatkan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan umat Islam.

    Antara yang hadir ialah pimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID).

    Yang turut hadir ialah Pertubuhan Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Pertubuhan Gagasan Bangsa dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

    Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau percaya perbincangan dengan NGO Melayu Islam itu melambangkan keprihatinan dan komitmen mereka untuk menjaga kepentingan ekonomi, syiar agama dan perpaduan.

    “Saya percaya perbincangan tadi melambangkan keprihatinan dan komitmen para pimpinan NGO-NGO Melayu Islam terhadap usaha mereka untuk menjaga kepentingan ekonomi kaum Melayu dan Bumiputera, meningkatkan syiar Islam dan menyatupadukan ummah,” tambahnya.

  • Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    Bantuan rakyat mana akan dipotong tahun ini? tanya Radzi

    BEKAS Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin meminta kerajaan menjelaskan bahagian subsidi atau bantuan rakyat mana satu yang akan dipotong tahun ini.

    Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Radzi (PN-Putrajaya) berkata, jumlah yang diperuntukkan kerajaan melalui Belanjawan 2023 untuk subsidi dan bantuan rakyat tahun ini hanya RM64 bilion berbanding kira-kira RM80 bilion pada tahun lalu.

    “Ini satu pengurangan yang amat signifikan, minta kerajaan jelaskan komponen subsidi atau bantuan rakyat manakah yang akan dipotong pada tahun 2023,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Parlimen.

    Radzi yang juga pemegang portfolio Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi PN berkata, subsidi atau bantuan rakyat juga merupakan komponen utama dalam perbelanjaan mengurus.

    Katanya, pengurangan subsidi atau bantuan rakyat secara tidak cermat akan memberi kesan besar kepada rakyat, termasuk kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

    “Jika lihat secara keseluruhan, tidak jelas bagaimana kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit 3.2 peratus pada tahun 2025,” katanya.

    Radzi turut membangkitkan isu kebajikan peneroka FELDA yang menurutnya langsung tidak disentuh dalam Belanjawan 2023.

    Katanya, sikap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbeza dengan pelbagai usaha yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang membantu menghapuskan hutang peneroka semasa menjadi Perdana Menteri.

  • Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    Dewan Rakyat gamat kerana kenyataan ‘perangai macam kera’

    PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas perang mulut tercetus antara Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kenyataan ‘perangai macam kera’.

    Kekecohan itu berlaku ketika Shahidan mengakhiri perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 dan berkata: “Saya kesal dengan Hulu Langat yang perangai lebih teruk daripada kera di hutan,” katanya merujuk Sany yang kerap mengganggu perbahasannya.

    Lapor Malaysiakini, Ahli Parlimen Amanah itu yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.

    “Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik), minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” katanya.

    Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) tampil mempertahankan Shahidan dengan berkata, sikap Sany yang sebenarnya menimbulkan masalah.

    Kedua-duanya terus berbalah dengan Misbahul berulang kali meminta Sany mengubah perangainya.

    Melihatkan keadaan tidak terkawal, Johari masuk campur dan bertanyakan Shahidan adakah beliau menggelar Sany “kera”.

    “Tidak. Saya hanya cakap jangan berperangai seperti kera di hutan. Ini dibenarkan (di Parlimen),” kata Shahidan.

    Johari bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan Wetrom Bahanda (KDM-Kota Marudu) membahaskan belanjawan itu.