Tag: dera

  • Bella bagi tahu ‘mommy’ dia dicili, dijirus air panas, diikat

    Bella bagi tahu ‘mommy’ dia dicili, dijirus air panas, diikat

    RAKAN baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella ada menceritakan kepadanya bahawa dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat.

    Pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin, 39, berkata, Bella memaklumkan kejadian itu ketika mereka berada di dalam ambulans untuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan remaja berkenaan dilihat berada dalam keadaan trauma.

    “Semasa berada dalam ambulans ke HKL, saya bertanya kepada Bella apa yang terjadi. Bella yang memanggil saya ‘mommy’ mengatakan dia dicili, dijirus dengan air panas dan diikat,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pada perbicaraan kes Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu.

    Saksi pendakwaan pertama itu yang mengenali Siti Bainun sejak 2015 berkata, sebaik tiba di hospital, remaja itu dilihat tidak mampu berjalan dengan baik dan sukar bergerak kerana kakinya sakit.

    “Saya nampak Bella macam tidak larat dan dia kata kakinya sakit, tapi saya tak boleh pegang sebab saya bimbang Bella mungkin dijangkiti COVID-19. Bella juga merujuk beberapa nama individu yang melakukan perbuatan itu terhadapnya,” kata saksi itu yang dilihat sebak semasa memberi keterangan.

    Menurut Zuriaty, semasa beliau berada di hospital itu, Siti Bainun tidak pernah bertanyakan keadaan remaja tersebut sebaliknya mempersoalkan mengapa anak-anak di bawah jagaannya dibawa ke pusat kuarantin di MAEPS, Serdang.

    Saksi itu berkata, Bella adalah orang kurang upaya (OKU) yang diambil oleh rakannya itu untuk dijadikan anak angkat pada Julai 2020 dan sejak itu, dia tinggal bersama Siti Bainun dan remaja itu berada di bawah tanggungjawab wanita berkenaan.

    Terdahulu ketika membacakan laporan polis yang dibuatnya pada 24 Jun 2021, Zuriaty berkata remaja berkenaan mengalami kecederaan seperti melecur di bahagian tangan, dada, paha dan beberapa bahagian lain serta kesan luka lama terdapat pada tubuh badannya.

    Kepada soalan Zilfinaz, saksi berkenaan menjelaskan bahawa laporan polis itu dibuat berhubung kecederaan dan penderaan yang terdapat pada tubuh badan remaja perempuan itu.

    Memberikan gambaran terperinci berkaitan Bella, saksi itu berkata, meskipun dia seorang remaja sindrom Down, dia seorang yang sangat manja, rajin, baik dan berdikari serta boleh menguruskan diri sendiri seperti solat dan sangat pembersih.

    Ditanya mengenai hubungan Siti Bainun dan remaja berkenaan, Zuriaty memberitahu bahawa pada mulanya hubungan mereka sangat baik apabila Siti Bainun dilihat sangat sayang kepada Bella dan sentiasa cuba mengambil hati remaja itu dengan membeli barang-barang yang dia suka.

    “Bella suka mekap, bekas air kerana Bella suka minum air dan baju baharu namun pada Ogos 2020, saya mula lihat mereka tidak berapa mesra selepas Siti Bainun enggan membawa Bella berjalan ke Kuala Selangor untuk ke rumah abang ipar Siti Bainun,” kata saksi itu.

    Zuriaty berkata, disebabkan keengganan Siti Bainun membawa Bella, beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengapa dia bertindak sedemikian dan Siti Bainun memberitahu dia enggan membawa Bella kerana remaja itu suka buat perangai dan degil.

    Saksi itu menjelaskan bahawa beliau membawa Bella menaiki keretanya ke Kuala Selangor selepas Siti Bainun enggan membawa remaja itu bersamanya.

    “Sepanjang berada di sana (Kuala Selangor), Siti Bainun tidak mengendahkan Bella dan tidak bertanya sama ada remaja itu sudah makan atau tidak. Pemerhatian saya mendapati Bella tidak buat perangai dan tidak degil malah jika dia hendak minum air dia akan mengambilnya sendiri,” kata saksi itu yang turut memaklumkan beliau turut berada di Kuala Selangor bersama Siti Bainun pada hari berkenaan.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. – BERNAMA

  • [VIDEO] Dera anak asuhan, wanita Indonesia dipenjara dua tahun

    [VIDEO] Dera anak asuhan, wanita Indonesia dipenjara dua tahun

    SEORANG wanita warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini, kerana mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di bawah jagaannya tahun lepas.

    Ellis Andreyani, 47, yang berkahwin dengan seorang warga tempatan dan telah menetap di negara ini selama tujuh tahun, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Menurut kertas pertuduhan, Ellis, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki itu telah menganiayanya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada November 2021, antara jam 10 pagi sehingga 3 petang, di sebuah rumah di Persiaran Minden Height, Gelugor.

    Wanita berkenaan didakwa di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala Ellis tidak diwakili peguam.

    Rabu lepas, media melaporkan bahawa polis telah melengkapkan siasatan berhubung seorang wanita warga asing yang dikatakan mendera kanak-kanak dalam paparan video yang tular di media sosial.

    https://youtu.be/eXbmCUGFZeQ
    Kredit video: Malaysia Gazette

    Video berdurasi 15 saat itu memaparkan seorang wanita, dipercayai pengasuh, menampar muka seorang bayi yang sedang menangis berulang kali selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata polis telah menahan wanita itu pada 8 Dis lepas iaitu sehari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita. – BERNAMA

  • Budak lelaki 5 tahun mati disyaki didera ibu sendiri

    Budak lelaki 5 tahun mati disyaki didera ibu sendiri

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan maut disyaki akibat didera ibu kandung sendiri, di Iskandar Puteri, Johor semalam.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu pihaknya menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama suspek iaitu ibu kandung dan kekasih ibunya yang juga bapa angkat mangsa, serta seorang adik dan kakak.

    “Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.

    “Ibu kandung mangsa berusia 35 tahun ditahan di HSA, manakala kekasihnya yang berusia 32 tahun ditahan di kediaman di Nusa Bistari.

    “Semasa ditahan kedua suspek negatif ujian saringan dadah.

    “Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor telah menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa dan kesan darah di rumah suspek.

    “Pemeriksaan awal oleh pihak HSA mendapati mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Menurut Dzulkhairi, bedah siasat akan dijalankan hari ini selepas keputusan swab test COVID-19 mangsa diperoleh.

    Kedua-dua suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau.

    “Pemeriksaan rekod lampau terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

  • Pengasuh ditahan bantu siasatan kes dera dua beradik

    Pengasuh ditahan bantu siasatan kes dera dua beradik

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan melibatkan dua beradik berusia enam dan 11 tahun di Taman Selesa Jaya, Skudai baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua mereka yang ditahan itu merupakan pengasuh kepada dua beradik berkenaan.

    “Kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 32 tahun itu dikenakan tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.

    “Sementara dua daripada tiga individu yang ditahan polis sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam iaitu B. Mariamah, 60, dan anak perempuannya, R. Deeba, 37.

    “Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya, hari ini.

    Semalam, dua beradik itu dilaporkan didera dengan cara dipukul dengan rotan getah paip, disimbah dengan air panas selain dicucuh dengan puntung rokok dipercayai perbuatan pengasuh mereka.

    Kes penderaan kedua-dua beradik tersebut menjadi perhatian orang ramai selepas tular dalam media sosial.

    Dzulkhairi berkata, kedua-dua suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan kemudian dikenakan jaminan RM15,000 masing-masing, namun kerana gagal membayar, mereka ditahan dalam lokap di sini.

    Katanya, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

    “Seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu teman lelaki Deeba yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dibebaskan dengan bon jaminan serta akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.

    Sementara itu, beliau memberitahu, kedua-dua beradik mangsa dera itu kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Ibu kepada kanak-kanak tersebut, M. Vikneswari, 30, sebelum ini memberitahu, dia yang sudah kematian suami meninggalkan anaknya dalam jagaan pengasuh itu yang dikenali melalui seorang kenalannya.

    Dia dilaporkan berkata, anak-anaknya ditinggalkan bersama pengasuh berkenaan sejak April lalu dengan upah RM800 sebulan.

    “Sejak April lalu saya hanya bertemu dengan anak-anak sebanyak tiga kali sahaja kerana sibuk bekerja selain pengasuh memberi pelbagai alasan untuk menghalang saya bertemu mereka termasuk dikenakan kuarantin,” katanya.

  • Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    Bapa tiri, ibu kandung didakwa dera anak

    SEPASANG suami isteri yang juga bapa tiri dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan mendera kanak-kanak itu, bulan lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia, 23, dan isterinya berusia 17 tahun, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Afiq yang bekerja sebagai juruwang di sebuah stesen minyak dan isterinya didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak wanita itu sehingga mangsa mengalami kecederaan di kepala, mata, badan dan tapak kaki.

    Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor Aks, Ayer Kuning Selatan, Tampin, pada 3 hingga 25 Ogos lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

    Mahkamah membenarkan Muhammad Afiq diikat jamin RM10,000 manakala isterinya RM6,000 berserta syarat tambahan yakni perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis terdekat dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Sept depan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Anak Mawan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.- BERNAMA

  • Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    Ibu kandung, teman lelaki mengaku cederakan anak berusia lima tahun

    SEORANG wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, dua minggu lepas.

    Tertuduh, Tan Meei Yun, 30, yang merupakan ibu kandung kepada mangsa dan teman lelakinya, Chua Wai Hon, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

    Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh bagi menunggu fakta kes dan menetapkan 29 Sept depan sebagai tarikh jatuh hukum.

    Mengikut kertas pertuduhan, Tan yang tidak bekerja dan Chua yang merupakan pengawal keselamatan didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkan cedera di sebuah rumah di Champhor Garden City, Bandar Hilir di sini, pada jam 11.30 pagi, 14 Ogos lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya  Anis Wahida Mohamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mangsa kini ditempatkan di bawah penjagaan sementara keluarga saudaranya dengan dipantau oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.- BERNAMA

  • Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    Polis Melaka selamatkan kanak-kanak perempuan mangsa dera

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diselamatkan polis daripada menjadi mangsa dera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di rumahnya di Banda Hilir di sini malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak berkenaan disyaki didera menggunakan tangan dan tali pinggang sebelum diselamatkan pada jam 10.45 malam hasil maklumat orang awam sejam 20 minit sebelum itu.

    Pemeriksaan awal polis ke atas tubuh anak sulung suspek wanita itu mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai didera dan mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, wanita dan teman lelakinya itu mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia setahun namun tiada unsur penderaan ditemui pada tubuh kanak-kanak tersebut.

    Mohd Sukri berkata susulan itu, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya di Bandar Hilir pada 12.45 tengah malam tadi, iaitu kira-kira 30 minit selepas teman lelakinya berusia 38 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Banda Hilir.

    Beliau berkata kedua-dua suspek  direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.- BERNAMA