Tag: dera

  • Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    Ibu disyaki dera bayi 10 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang wanita selepas dia disyaki mendera bayi lelakinya berusia 10 bulan di sebuah kediaman di Petaling Utama, di Petaling Jaya, kelmarin.

    Difahamkan kejadian itu terbongkar selepas suaminya berusia 20-an yang melihat kesan kecederaan itu membawa bayi berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

    Sebelum kejadian, pasangan suami isteri berkenaan dikatakan berselisih faham dan tidak bertegur beberapa hari sebelum suaminya mendapati ada kesan lebam pada anak mereka lalu membawa bayi itu ke hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.28 tengah malam.

    Bertindak atas maklumat itu katanya, pada 6.30 petang kelmarin, sepasukan polis menahan wanita berusia 26 tahun tersebut di kediamannya.

    “Mangsa mengalami kecederaan lebam di tubuh badan kini menerima rawatan di hospital.

    “Suspek dibenarkan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    Bapa simbah anak bongsu air panas dipenjara enam tahun

    SEORANG bapa yang mendera anak bongsunya dengan menyimbah air panas menggelegak kerana mengganggunya tidur, dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

    Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Yasin Halik, 41, yang mengaku bersalah menyimbah air panas daripada pemanas air ke atas kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hingga menyebabkan bahu kiri serta kanan dan kedua lutut mangsa melecur.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik sewa di Jalan Pudu di sini, pada 12 tengah hari, 1 Dis tahun lepas, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

    Norina memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 11 Dis 2022 selain mengarahkannya berkelakuan baik dengan bon jaminan  tanpa cagaran selama tiga tahun serta melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 180 jam dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

    Berdasarkan fakta kes, pada 7 malam, 1 Dis 2022, pengadu iaitu seorang wanita warga Indonesia bernama Suma pulang dari kerja dan melihat mangsa serta seorang lagi anaknya dalam keadaan bogel dengan kesan melecur pada badan dua anaknya itu.

    Wanita itu yang merupakan tukang masak di sebuah restoran telah bertanya kepada anak-anaknya dan mereka menjawab “bapa siram air panas sebab kakak dengan adik bising”.

    Pengadu hendak membawa mereka ke hospital tetapi dihalang oleh tertuduh dan pengadu telah membuat laporan polis pada 9 Dis 2022 selepas seorang daripada anaknya itu meninggal dunia.

    Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyiram air panas menggelegak ke atas badan mangsa kerana mengganggunya tidur.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana sebagai seorang bapa dia seharusnya melindungi kanak-kanak itu, bukan menyimbah air panas tanpa belas kasihan.

    Mohd Yasin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia mahu berjumpa ibu bapanya di Sabah.

    Pada 21 Dis tahun lepas, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak sulungnya berusia sembilan tahun, di lokasi sama pada 9 malam, 9 Dis 2022, sebelum mayat mangsa ditanam di kawasan riadah dekat sini.

    Di Mahkamah Majistret sama, Mohd Yasin dijatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas mengaku bersalah menyimbah air panas ke badan Suma sehingga menyebabkan mangsa melecur pada punggung kiri. – BERNAMA

  • Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di Kuala Terengganu, Rabu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan selepas diambil daripada pusat jagaan itu pada hari sama.

    Katanya bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala mangsa.

    Susulan kejadian itu, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut, semalam.

    “Ketiga-tiga suspek telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan. Tetapi masing-masing menafikan kejadian tersebut.

    “Bagaimanapun polis mendapati keterangan mereka agak meragukan. Justeru rampasan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

    Rohaimi berkata hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati selain dipukul di kepala, suspek juga telah menggoncang serta menghempas tubuh mangsa yang baru sahaja tiga hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

    “Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini. – BERNAMA

  • Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    Bapa, kekasih ditahan dera anak OKU

    SEPASANG kekasih ditahan selepas disyaki mendera  wanita Orang Kurang Upaya (OKU) masalah saraf di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita OKU berusia 31 tahun itu merupakan anak kepada seorang lelaki berumur 60 tahun yang ditahan bersama kekasihnya berumur 47 tahun pada 8.30 malam.

    “Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Ampang yang menerima pesakit iaitu mangsa yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh oleh ahli keluarganya pada 12 tengah hari.

    “Hasil rawatan mendapati ada beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan mangsa disyaki dipukul dan ditumbuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas.

    Beliau berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

    “Kedua-dua individu direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    Dera anak angkat, polis tahan wanita warga emas

    POLIS menahan seorang wanita warga emas tengah malam tadi kerana disyaki mendera anak angkatnya secara mengheret kanak-kanak itu dengan menarik rambutnya, di atas jalan berhadapan rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.10 tengah malam tadi selepas pihaknya menerima laporan orang awam, di samping mengesan klip video berdurasi 33 saat melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian itu.

    Beliau berkata video itu memaparkan suspek menarik rambut kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang memakai baju sekolah dengan tangan dan mengheretnya di atas jalan berhadapan rumahnya.

    “Suspek merupakan warga tempatan dan kanak-kanak itu adalah anak angkat berdaftar kepada suspek serta dipercayai tinggal bersamanya sejak kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya soal siasat mendapati kejadian berlaku kerana suspek dikatakan marah terhadap kanak-kanak itu kerana dipercayai beberapa kali telah mencuri wang suspek.

    Ahmad Ridhwan berkata kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan dan pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala. 

    “Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah  Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.- BERNAMA

  • Polis siasat insiden guru ‘pegang’ telinga murid OKU

    Polis siasat insiden guru ‘pegang’ telinga murid OKU

    POLIS Pulau Pinang mengesahkan tindakan seorang guru pendidikan khas memegang telinga seorang kanak-kanak perempuan golongan orang kurang upaya (OKU) hingga menyebabkan kecederaan seperti yang ditularkan baru-baru ini bertujuan menenangkan kanak-kanak itu daripada terus bertindak agresif.

    Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di sebuah sekolah pendidikan khas di Seberang Jaya dan ibu mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya pada 19 Julai lalu.

    Menurut beliau, siasatan lanjut polis kemudian mengesahkan bahawa mangsa merupakan seorang kanak-kanak autisme dan telah mengikuti kelas pendidikan khas di sekolah berkenaan.

    “Kanak-kanak perempuan itu dikatakan bertindak agresif di dalam kelas hingga menyebabkan murid yang lain takut serta menangis.

    “Akibatnya, seorang guru perempuan yang berusia lingkungan 30-an telah datang ke arah mangsa dan memegang kedua-dua belah telinga kanak-kanak itu dalam usaha untuk menenangkannya daripada terus bersikap agresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, kejadian itu tular di laman sosial selepas gambar kanak-kanak perempuan terbabit yang didakwa menjadi mangsa dera dimuat naik di laman Facebook milik Mona Din, baru-baru ini.

    Cheng San memberitahu, tindakan guru terbabit bagaimanapun menyebabkan mangsa mengalami lebam di kedua-dua belah telinga dan terpaksa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini untuk rawatan lanjut.

    “Susulan kejadian ini, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, ” kata beliau yang memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Dalam pada itu, Cheng San turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih kerana boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat.

  • Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera didera penjaga

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas disyaki didera penjaganya di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada 1 tengah hari yang terdengar tangisan mangsa di rumah tersebut dan melihat terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan kanak-kanak itu.

    “Mangsa kini dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata, pihaknya kini sedang mengesan penjaga mangsa iaitu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki mendera kanak-kanak itu.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek adalah penjaga sementara sejak Januari lepas kerana ibu dan bapa mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya di talian 03- 42892222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi menyalurkan sebaran maklumat untuk membantu siasatan,”katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak- Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara maksimum 10 tahun atau kedua- duanya, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

  • Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mendera dua beradik di Jalan Sungai Petani, dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Jalan Sungai Petani, manakala ibu kandung mereka yang berumur 31 tahun, ditahan kira-kira dua jam kemudian di sekitar Jalan Kolam Air, dekat sini.

    “Polis masih sedang menyiasat sama ada ibu dua beradik itu terlibat sama dalam kes berkenaan. Ibu dan bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan reman selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun yang disyaki mencederakan dua anak tirinya, masing-masing merupakan murid darjah satu dan tiga sebuah sekolah rendah di sini, dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif terhadap jenis methamphetamine.

    Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak berkenaan mengesahkan bahawa mereka mengalami kecederaan akibat dipukul, dan mereka kini ditempatkan di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan lanjut. – BERNAMA

  • Suami isteri ditahan kes dera, bunuh budak 3 tahun

    Suami isteri ditahan kes dera, bunuh budak 3 tahun

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, yang meninggal dunia di Hospital Jitra, semalam.

    Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kanak-kanak itu dibawa ke hospital berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam oleh ahli keluarganya selepas tidak sedarkan diri, dan hasil bedah siasat mendapati ada kesan lebam dan tekanan dipercayai dipijak pada anggota badan anak bongsu dari tiga adik beradik itu.

    “Pasangan suami isteri masing-masing berusia 22 dan 26 tahun dipercayai baru berkahwin dua hingga empat bulan lepas itu ditahan bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek mengaku memukul kanak-kanak itu, namun siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya kesan pukulan itu yang menyebabkan kematian,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau keadaan di Bukit Thorn di Bandar Baharu, yang merupakan lokasi pencarian tahanan Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dua hari lepas.

    Wan Hassan berkata, pasangan itu ditahan reman tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati wanita yang ditahan itu mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes curi. – BERNAMA

  • Budak perempuan didera ibu tiri warga Indonesia diselamatkan

    Budak perempuan didera ibu tiri warga Indonesia diselamatkan

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diselamatkan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis daripada terus menjadi mangsa dera ibu tiri di sebuah rumah di Sikamat, dekat Seremban, Isnin lepas.

    Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, mangsa kini sedang dirawat di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

    “Hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu cedera di bahagian muka kiri dan telinga kiri, mengalami kesan cubitan di bahagian tangan, lengan, bahu dan belakang badannya selain kesan rotan di belakang badan dan kaki kiri.

    “Kanak-kanak berkenaan turut mendakwa dia ditumbuk di bahagian perut dan kepala dan berasa sakit di beberapa bahagian badan selain berada dalam keadaan sangat lapar ketika diselamatkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Rosnah berkata, susulan itu satu perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 akan dipohon selepas keadaan kanak-kanak itu stabil.

    Beliau berkata, Pegawai Pelindung Daerah Seremban akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan penempatan tetap terbaik bagi kanak-kanak berkenaan selain syarat tambahan bersesuaian akan dica­dangkan kepada mahkamah demi kesejahteraan, kebajikan dan masa depannya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

    “Tangkapan dibuat terhadap seorang wanita warga Indonesia berusia 30 tahun yang merupakan ibu tiri mangsa pada Selasa lepas namun dijamin pada hari sama. Siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak pe­rempuan 10 tahun dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya yang mendakwa mahu ‘mengajar’ kanak-kanak itu kerana mencuri lolipop di sebuah premis sebelum berjaya diselamatkan hasil aduan jiran mangsa. – BERNAMA