Tag: DBKL

  • ‘Thai Hot Guy’: Bar tiada lesen hiburan, lesen restoran tamat tempoh

    ‘Thai Hot Guy’: Bar tiada lesen hiburan, lesen restoran tamat tempoh

    DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sebuah bar di ibu negara yang dijadual mengadakan program Thai Hot Guy dalam penganjuran pembukaan rasminya hujung bulan ini tidak mempunyai lesen hiburan atau permohonan menjalankan aktiviti hiburan.

    Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, siasatan DBKL itu juga mendapati, premis di Jalan Tun Razak itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd namun lesen tersebut telah tamat pada 4 Februari 2021.

    “Justeru itu, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro AWANI.

    Kelmarin, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho di sebuah bar di Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

    Tindakan tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai yang mengkritik tindakan tersebut sehingga memaksa penganjur menutup ruangan komen mereka di Facebook.

    Pemuda Pas sebagai pihak terawal menyuarakan bantahan terhadap penganjuran itu menggesa acara itu dibatalkan kerana mencemari bulan Ramadan.

  • Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    Pas gesa DBKL pertimbang semula acara pembukaan bar tampil ‘Thai Hot Guy’

    PAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menimbang semula kebenaran penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar yang menampilkan persembahan Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya yang mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas.

    Berikut adalah kenyataan penuh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung penganjuran acara tidak bermora itu:

    PAS amat kesal dan membantah keras penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah bar bernama Privacy Club Tun Razak pada 30 Mac ini bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur atas dasar ia adalah keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral, malah menjijikkan.

    Menurut makluman mengenainya di akaun Facebook bar berkenaan, acara yang dijadualkan bermula jam 6 ptg dan terhad kepada 250 pengunjung itu akan menampilkan persembahan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy, sebagai tarikan utamanya.

    Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

    PAS menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada Bulan Ramadhan.

    Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama. Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini.

    Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini.

    Dalam pada itu PAS juga kesal apabila nama bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar. Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara.

    Agensi pendaftaran syarikat juga perlulah lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenangwenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran.

  • Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    Garis panduan kelulusan konsert disemak semula

    KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

    Memetik laporan Harian Metro, Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semakan baharu perlu dibuat terhadap ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan bagi setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert.

    Katanya, ia bagi memastikan setiap konsert hiburan tidak melampaui batasan yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh tidak sihat terutama membabitkan golongan belia di negara ini.

    “Ada yang membuat aduan mengenai beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur tetapi dalam masa yang sama kita mahu ada kesan yang positif.

    “Jadi wilayah ini sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan),” katanya hari ini.

    Semakan itu menurut Shahidan turut membabitkan kelulusan permit konsert yang sudah dikeluarkan oleh DBKL namun masih belum berlangsung.

    Katanya, KWP tidak akan berkompromi sekalipun membabitkan artis terkenal seandainya konsert yang ingin dianjurkan itu mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat terutama belia.

    Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk penambahbaikan terhadap garis panduan itu belum diputuskan ketika ini dan hanya akan ditentukan sebaik menelitinya secara terperinci.

    Mengulas mengenai program HBN 2022, beliau berkata, belia di negara ini tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika dunia sedang bergerak pantas ke hadapan dalam pelbagai bidang.

    “Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” katanya.

  • Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

    PEMILIK Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan mana-mana premis di sekitar ibu negara ini.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai lalu, bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

    “Malah, kita juga mengambil keputusan untuk menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

    “Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

    Jalaluddin berkata, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

    “Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

    “Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

    “Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

    Jalaluddin dilaporkan berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

    Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

    Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

    Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

    Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.

  • Kelab lokasi komedi hina Islam dan Melayu tiada lesen hiburan

    Kelab lokasi komedi hina Islam dan Melayu tiada lesen hiburan

    SEBUAH kelab di Kuala Lumpur yang digantung sementara operasinya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 10 Julai lepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan.

    Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemilik premis tersebut hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

    Beliau berkata, setiap premis yang menjalankan perniagaan restoran dan operasi berbentuk hiburan perlu memiliki dua lesen iaitu lesen restoran dan hiburan.

    “Pemilik kelab memohon lesen hiburan tetapi tidak diluluskan kerana dalam lesen hiburan terdapat beberapa syarat tertentu dikenakan sebagai contoh laporan bomba, syarat aktiviti hiburan yang hendak diadakan, kita tidak boleh beri persetujuan menyeluruh kepada setiap hiburan.

    “Pihak kementerian tidak berkompromi terhadap penyalahgunaan lesen. Premis ini tidak mempunyai lesen hiburan, maka DBKL mengambil tindakan menggantung sementara operasi premis dan restoran ini kerana menyalahgunakan lesen diberikan,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita pada program korban bersempena Aidiladha bersama rakyat Parlimen Jelebu dan agensi kerajaan di Simpang Pertang, Jelebu hari ini.

    Jalaluddin berkata, pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan sebelum jawatankuasa pelesenan DBKL akan bersidang, meneliti serta menyiasat perkara itu dan penggantungan lesen itu boleh dilakukan hingga tempoh maksimum 30 hari sehingga keputusan dibuat.

    Menurutnya, DBKL tidak berkompromi dalam perkara melibatkan isu sensitif seperti agama, kaum dan bangsa di negara ini.

    Sementara itu, Jalaluddin berkata pihaknya turut menerima laporan berkaitan seorang individu yang didakwa sebagai pemilik premis itu yang mempermainkan serta memperlekehkan bangsa Melayu menerusi video tular persembahan di premis tersebut.

    “Saya sudah meminta pihak penguat kuasa supaya melakukan siasatan terperinci mengenai perkara ini, sekiranya benar, ia menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan, tidak mustahil pihak penguat kuasa pelesenan DBKL mengambil tindakan lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab,” katanya.

    Beliau meminta masyarakat supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

    Jalaluddin berkata mengikut rekod, premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017 bagaimanapun lesen diluluskan pada 2018 dan masih sah sehingga kini iaitu untuk operasi restoran dan minuman keras. – BERNAMA