Tag: Datuk Rosol Wahid

  • MP PN tuduh Anwar kelirukan Dewan Rakyat isu ketirisan diesel subsidi

    MP PN tuduh Anwar kelirukan Dewan Rakyat isu ketirisan diesel subsidi

    SEORANG Ahli Parlimen pembangkang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai menteri kewangan, dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat kenyataan mengelirukan di dalam Dewan Rakyat berhubung isu ketirisan diesel bersubsidi.

    Memetik laporan Free Maaysia Today, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) menekankan bahawa, Anwar semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 memberitahu negara kerugian RM10 bilion setahun akibat ketirisan diesel bersubsidi.

    Bagaimanapun katanya, mengikut data Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, hanya diesel bersubsidi diseludup bernilai RM18.7 juta dirampas dari 2018 hingga 2022.

    Beliau turut mempersoalkan Anwar berhubung angkanya, mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub baru-baru ini berkata kementerian itu baru mula mengumpul data mengenai isu itu.

    “Sebab itu, saya memohon Dewan untuk merujuk kes ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

    Pada Februari, Salahuddin berkata, pasukan petugas khas akan dibentuk untuk menyelesaikan isu ketirisan diesel bersubsidi diesel, sambil menambah bahawa kementeriannya akan “meneliti semula data”.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Op Cakna: KPDNHEP keluar 262 notis kepada peniaga

    Op Cakna: KPDNHEP keluar 262 notis kepada peniaga

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 262 Notis Pengesahan Maklumat Barangan melalui Op Cakna yang dijalankan sejak 1 Jan lepas.

    Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata ia adalah hasil pemantauan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan harga dan bekalan terhadap 891 barangan.

    “Tujuan Op Cakna adalah untuk mengelakkan berlakunya aktiviti mengambil untung yang tinggi oleh peniaga ketika permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tertentu meningkat, selepas banjir.

    “Fokus barangan ialah seperti peralatan elektrik, perabot, pakaian, alat ganti kenderaan dan bengkel kenderaan yang harganya tidak dikawal oleh kerajaan, kita tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dan taklimat pemberian insentif bulanan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah bagi daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, hari ini.

    Notis Pengesahan Maklumat Barangan itu dikeluarkan kepada peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

    Peniaga yang menerima notis tersebut perlu mengemukakan maklum balas dan maklumat terperinci harga jualan dan kos barangan, bagi memudahkan siasatan.

    Selain itu, Rosol berkata, KPDNHEP juga menerima 167 aduan harga barangan mahal pascabanjir sejak pertengahan Disember lepas iaitu 98 aduan berkaitan harga makanan, minuman (27), perkhidmatan (25), alat ganti kenderaan (10) dan sayur (tujuh).

    “Pengguna dinasihatkan agar mengambil tahu dan berpuas hati dengan harga yang akan dikenakan ke atas setiap perkhidmatan yang dilakukan, seperti caj dan upah membaiki kenderaan atau barang elektrik serta kos alat ganti, sebelum bersetuju dengan perkhidmatan tersebut.

    “Ini bagi mengelakkan berlakunya penipuan atau penindasan kepada pengguna memandangkan harga alat ganti kenderaan dan peralatan elektrik tidak dikawal oleh kerajaan,” katanya.

    Tambahnya, pengguna juga digalakkan mendapatkan perkhidmatan di bengkel kenderaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan dilakukan jika terdapat sebarang aduan. – BERNAMA

  • Saluran aduan khas isu perkhidmatan hantar makanan

    Saluran aduan khas isu perkhidmatan hantar makanan

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan saluran aduan khas untuk peniaga dan pengguna mengemukakan sebarang isu serta masalah berkaitan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

    Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata mereka boleh mengemukakan aduan melalui e-mel kepada [email protected] bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya.

    Beliau berkata KPDNHEP serius dalam memastikan pemain industri itu menambah baik perkhidmatan dan merangka penyelesaian secara komprehensif untuk mewujudkan ekosistem perniagaan secara menang-menang untuk semua pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna.

    “Ada peniaga memberitahu bahawa apa yang mereka dapat (bayaran) bercanggah atau berkurangan daripada yang sepatutnya. Tetapi apabila mereka (peniaga) mengadu kepada syarikat p-hailing yang berkenaan, syarikat tersebut mendakwa tersalah kira dan sebagainya.

    “Jadi kita wujudkan saluran aduan khas tersebut supaya bukan sahaja peniaga malah pengguna yang mempunyai sebarang masalah boleh mengemukakan aduan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) di Koperasi Felda Bukit Bading Terengganu (KOBADING) Berhad di Felda Bukit Bading di Kuala Berang, hari ini.

    Dalam pada itu, Rosol berkata KPDNHEP menerima 1,903 aduan mengenai perkhidmatan syarikat p-hailing Food Panda Malaysia Sdn Bhd (Food Panda) sepanjang tahun lepas manakala 946 aduan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

    “Pada 2020 KPDNHEP menerima 30 aduan mengenai GrabFood dan 43 aduan diterima mengenai syarikat p-hailing tersebut sejak Januari hingga Ogos tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata susulan pelbagai isu dibangkitkan pengguna mengenai khidmat p-hailing, kementerian mengambil langkah proaktif dengan giat mengadakan libat urus termasuk pertemuan dengan dua pemain utama industri itu khususnya Food Panda dan GrabFood bagi menyelesaikan segala isu berbangkit termasuk kelewatan pembayaran jualan makanan kepada peniaga dan caj komisen yang tinggi.

    “Ada syarikat p-hailing mendakwa kelewatan pembayaran tersebut disebabkan masalah sistem mereka. Jadi apabila kita buat libat urus dengan pihak p-hailing, mereka berjanji untuk menambah baik sistem mereka. Ada juga syarikat (p-hailing) yang hendak menurunkan kadar komisen mereka,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Rosol berkata Kementerian Kewangan setakat ini dilihat menyambut baik cadangan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam yang berhadapan dengan masalah kenaikan kos operasi dan harga dedak ayam.

    Menurutnya pinjaman mudah dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun itu dilihat dapat membantu golongan penternak menstabilkan kos operasi dan pengeluaran ayam seterusnya membantu menstabilkan kembali harga ayam di pasaran.

    “Ketika ini fokus kementerian adalah meneliti semua cadangan bagi mengatasi isu kenaikan harga ayam untuk jangka masa panjang kerana tidak mahu isu harga ini berulang pada masa depan,” katanya. – BERNAMA

  • Saya akan terus jaga kepentingan pengguna-Rosol

    Saya akan terus jaga kepentingan pengguna-Rosol

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berikrar untuk meneruskan usaha bagi menjaga hak dan kepentingan 32 juta pengguna di negara ini.

    Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Saberi Yaakob kerana melantik semula beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rosol berjanji peluang tersebut akan dimanfaat sebaik mungkin.

    “Sudah pasti saya akan terus berusaha untuk terus memacu pemulihan dan pertumbuhan sektor perdagangan dalam negeri yang terjejas ekoran kesan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

    “Terima kasih Datuk Sri Ismail Sabri atas kepercayaan dan keyakinan diberikan kepada saya untuk kembali meneruskan khidmat di KPDNHEP.

    “Insya-Allah, sama-sama kita menggembleng usaha dan tenaga supaya semua akan dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada hari ini.

    Menurut Rosol, kepercayaan yang diberikan itu membolehkan beliau dapat meneruskan pelbagai perancangan yang sudah dirangka sebelum ini untuk dimanfaatkan rakyat.

    Pada masa sama, Rosol turut merakamkan penghargaan buat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai Timbalan Menteri KPDNHEP sebelum ini dan di bawah Perdana Menteri baharu.

    “Jawatan ini bukan kebanggaan tetapi ia merupakan tanggungjawab untuk agama bangsa dan negara,” jelas beliau.