Tag: Datuk Masidi Manjun

  • Sistem rentas zon ganti rentas daerah di Sabah

    Sistem rentas zon ganti rentas daerah di Sabah

    SABAH akan melaksanakan semula sistem rentas zon bermula Jumaat ini, bagi menggantikan sekatan rentas daerah yang dilaksanakan seluruh negeri ketika ini.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sistem itu membolehkan penduduk sesuatu daerah merentas ke daerah lain dalam zon yang sama, tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

    Bagaimanapun, katanya, sistem rentas zon kali ini hanya membabitkan daerah yang sudah mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin terhadap Covid-19.

    “Kerajaan bercadang untuk beralih ke sistem rentas zon sebagai peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon bermula 1 Oktober 2021.

    “Pelaksanaannya bagaimanapun tertakluk kepada syarat kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa di setiap daerah sudah mencapai 60 peratus.

    “Maknanya, daerah di sesuatu zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi dengan sendirinya terkeluar daripada zon berkenaan, sehinggalah nilai ambang 60 peratus itu dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, penduduk di daerah yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 60 peratus akan kekal dengan prosedur operasi standard (SOP) tidak boleh merentas ke daerah lain.

    Ketika ini, difahamkan beberapa daerah khususnya di kawasan pedalaman dan pantai timur Sabah belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

    Secara keseluruhan, Sabah mencapai tahap 60 peratus penduduk lengkap vaksin sejak 22 September lalu dan meningkat kepada 61.5 peratus setakat kelmarin.

    Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, sebelum ini mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan semula sistem rentas zon ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu lalu.

    Berdasarkan sistem zon sebelum ini, Sabah dibahagikan kepada enam zon dengan setiap zon mengandungi antara tiga hingga tujuh daerah, iaitu penduduk di setiap daerah dalam zon yang sama dibenarkan merentas tanpa sekatan.

  • Covid:Gagal patuhi arahan kuarantin cetus kluster 41 kes

    Covid:Gagal patuhi arahan kuarantin cetus kluster 41 kes

    KEGAGALAN seorang wanita berusia 32 tahun mematuhi arahan kuarantin mencetus Kluster Paka Kawiyan di Ranau yang baharu direkodkan hari ini melibatkan 41 kes positif COVID-19, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

    Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata wanita kes indeks itu disahkan positif hasil saringan rentas negeri dan didapati berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses talian internet.

    “Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga 14 Ogos, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks. Daripada 132 orang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif termasuk 13 kes baharu hari ini,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

    Masidi berkata dua lagi kluster yang direkodkan hari ini ialah Kluster Tangkuyan di Kinabatangan iaitu kluster komuniti yang merekodkan 129 kes positif COVID-19, dan Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu sebuah kluster tempat kerja melibatkan 18 kes.

    “Kluster Tangkuyan dicetus kerani wanita berusia 27 tahun di ladang sawit Beluran yang menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan di Kuamut, manakala Kluster Segama Batu Satu dicetus lelaki 40 tahun di syarikat perusahaan tayar,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah ialah 1,665 kes menjadikan jumlah kumulatif 105,102 kes, manakala jumlah pesakit sembuh hari ini 1,220 menjadikan jumlah kumulatif 88,196 orang dan 5,268 pesakit sedang menerima rawatan.

    “Sehingga semalam (14 Ogos), 45.4 peratus atau lebih 1.25 juta penduduk dewasa Sabah telah memperolehi satu dos vaksin dan 21.7 peratus atau 599,823 melengkapkan dua dos. Peratusan penerima dua dos lengkap dijangka bertambah minggu hadapan apabila lebih ramai penduduk memperolehi dos kedua,” katanya.- BERNAMA

  • Jumlah penduduk Sabah lengkap divaksin masih rendah

    Jumlah penduduk Sabah lengkap divaksin masih rendah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SABAH hanya mencatatkan 17.6 peratus atau 485,880 penduduk dewasa di Sabah yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

    Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah itu rendah usaha terus dibuat kerajaan negeri untuk menambah kapasiti penyuntikan sambil memastikan bekalan vaksin yang cukup sentiasa ada.

    “Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi berkaitan juga sedang berusaha memberi vaksin kepada rakyat dalam kadar yang cepat.

    “Sehingga semalam, sebanyak 1,126,645 dos pertama sudah pun diberi dan ini bermakna 40.8 peratus penduduk dewasa di negeri pun sudah menerima sekurang kurangnya satu dos vaksin,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

    Sementara itu, Masidi berkata, kes baharu akan terus berada dalam angka yang tinggi di negeri ini sehingga lebih ramai penduduk menerima vaksin.

    “Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya.

    Semalam, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak empat angka iaitu 1,383 kes ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 96,465 kes.

    Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu semalam mencatatkan kes tertinggi iaitu (326) kes, hampir 24 peratus daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah semalam.

    Selain itu, Tawau pula mencatatkan 168 kes , Sandakan (138); Tuaran (92); Penampang (80);Keningau (79); Kota Belud (66); Beaufort (65); Kinabatangan (49); Kota Marudu (41); Papar (39); Beluran (33); Tenom dan Putatan masing-masing 30 kes.