Tag: daging

  • Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    Isu loji sembelihan Australia tak jejas bekalan daging Aidiladha

    ISU penggantungan kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia tidak akan menjejaskan bekalan daging lembu khususnya untuk sambutan Aidiladha.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ia kerana permintaan tinggi bagi aktiviti korban sempena perayaan itu adalah khusus terhadap lembu hidup.

    “Masalah (terjejas) bekalan tidak timbul kerana selalunya kalau (daging) permintaan tinggi pada musim perayaan Aidilfitri, (manakala) Aidiladha orang tunggu lembu hidup.

    “Jadi insya-Allah tidak ada isu dan (bekalan daging terjejas) pun ditampung oleh tempat lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2022 di Johor Bahru malam tadi.

    Beliau diminta mengulas mengenai sama ada penggantungan kelulusan loji sembelihan itu akan menjejaskan bekalan daging ketika Aidiladha atau sebaliknya.

    Mengenai status penggantungan itu, Idris berkata, perkara itu masih dalam proses siasatan.

    Pada 14 Mei lepas, dilaporkan bahawa kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

    Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu ‘Department of Agriculture, Water and the Environment’ (DAWE) pada 13 Mei lepas. – BERNAMA

  • Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Daging kerbau India negatif Covid-19 – JPV

    Oleh: Bernama

    JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa sampel daging kerbau yang diimport dari India dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, didapati bebas daripada virus COVID-19.

    Menurut JPV, jabatan itu telah melaksanakan program pemantauan dan pengawasan sejak pandemik COVID-19 menular dalam negara, bermula tahun lepas.

    “Sejak Januari hingga Julai, sebanyak 455 sampel haiwan dan produk berasaskan haiwan keluaran tempatan dan import, termasuk daging kerbau dari India, telah dikumpul dan didapati negatif daripada virus itu.

    “Setelah tiada virus COVID-19 dikesan pada daging kerbau yang diimport dari India, JPV tidak akan mengenakan sekatan import untuk daging kerbau sejuk beku,” menurut JPV kepada Bernama menerusi e-mel, semalam.

    JPV juga mempunyai sistem yang teratur mengenai prosedur kelulusan pengimportan daging sejuk beku yang turut melibatkan daging kerbau India yang akan dibawa masuk ke negara ini.

    Justeru jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan keselamatan daging kerbau sejuk beku yang diimport, kerana daging tersebut diperoleh dari rumah sembelihan yang telah mendapat kelulusan kerajaan Malaysia selain pusat pengeluaran daging dipantau rapi oleh pihak berkuasa negara pengeksport produk tersebut. – BERNAMA