Tag: curi

  • 2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    DUA remaja antara tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri dan menceroboh kediaman milik kerabat diraja Johor, di Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru ACP Raub Selamat berkata ketiga-tiga mereka yang berusia 16, 19 dan 47 tahun itu ditahan pada 11.40 pagi di lokasi kejadian susulan laporan mengenainya dibuat pada 10 pagi.

    Bagaimanapun, beliau berkata dua individu berjaya melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

    “Polis turut merampas dua kereta, satu unit mesin gergaji, empat helai sarung tangan kain, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu kunci kereta dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM150.

    “Hasil semakan dan saringan air kencing terhadap ketiga-tiga individu itu mendapati mereka tiada rekod jenayah selain negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – BERNAMA

  • 3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    3 lelaki curi kabel RM20,000 dicekup polis

    POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki mencuri kabel tembaga bernilai RM20,000 di  sebuah pusat komersial di Pandan Indah, Ampang minggu lepas. 

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki pertama ditahan di Batu 6 Jalan Gombak, kira-kira jam 10.30 pagi semalam manakala dua lagi rakannya ditahan di Jalan Air Jerneh Setapak pada hari sama.

    “Semakan mendapati suspek pertama memiliki tujuh rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah selain positif dadah jenis syabu, manakala dua lagi tiada rekod jenayah dan negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohamad Farouk berkata pihaknya turut merampas pakaian dan sebuah lori yang diguna semasa kejadian dipercayai dilakukan 16 Sept lepas, selain turut menemui satu salinan resit bayaran penjualan kabel.

    Menurutnya modus operandi individu berkenaan adalah dengan menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kesemua lelaki berusia berusia di antara 24 tahun hingga 34 tahun itu direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

  • Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    Lelaki ‘larikan’ 13 tong roro majikan ditahan

    SEORANG lelaki sanggup mencuri tong sampah pukal (roro) milik majikannya sebelum menjualnya pada harga serendah RM2,500 setiap satu.

    Namun perbuatan lelaki berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan di Taman Jasmin, di Kajang, pada 10 Ogos lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus syarikat sewa tong sampah roro itu yang mendakwa 13 tong berkenaan hilang dari simpanan di Balakong.

    Katanya, sebanyak lima tong bersaiz 60 sentimeter dan lapan tong bersaiz 121 sentimeter bernilai RM58,500 dilaporkan dicuri dalam kejadian itu.

    “Susulan itu, kami menahan seorang lelaki yang juga pekerja di premis berkenaan di sekitar daerah ini pada 10 Ogos lalu bagi membantu siasatan.

    “Turut ditahan adalah empat lelaki tempatan yang mengaku membeli tong roro terbabit secara dalam talian menerusi beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada 12 hingga 14 Ogos lalu,” katanya.

    Mohd Zaid berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek adalah pekerja syarikat itu sendiri dan disyaki bertindak mengeluarkan tong roro terbabit dari tempat simpanan.

    “Suspek juga mengaku mengiklankan penjualan tong roro berkenaan menerusi aplikasi mymudah.com sejak Mei hingga Julai lalu dan sudah menjual 13 tong di sekitar Selangor dan Perak.

    “Lelaki terbabit dipercayai menjual tong terbabit dengan pada harga antara RM2,500 hingga RM5,000 bergantung kepada jenis dan saiz,” katanya.

    Katanya, pihak polis masih mengesan beberapa individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

  • Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    Lelaki ditahan sehari selepas curi barang kemas

    POLIS menahan seorang lelaki tidak sampai 24 jam selepas dia disyaki melarikan barang kemas bermilai RM35,000 dari sebuah kedai emas di Teluk Intan dua hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan perumahan di Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh pada pukul 5 petang semalam.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 4.30 petang Khamis lepas, lelaki itu dikatakan memeriksa beberapa utas rantai tangan kononnya untuk dibeli, namun sebaliknya suspek terus melarikan barang kemas itu dengan menaiki sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai berkenaan.

    Katanya, polis turut merampas barang kemas iaitu dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher yang dianggarkan bernilai RM35,000 daripada suspek yang didapati positi dadah jenis Methamphetamine itu.

    Ahmad Adnan berkata, suspek yang memiliki empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    Lima ditahan curi kereta jual sebagai besi buruk

    LIMA individu termasuk seorang wanita ditahan dalam dua operasi Ahad lepas kerana disyaki mencuri sejumlah kereta lama untuk dijual sebagai besi buruk.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, susulan penahanan itu polis turut menemukan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu lepas di Bandar Baru Ampang.

    “Sabtu lepas (18 Jun) kira-kira 8 pagi, seorang lelaki berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pemandu van mendapati kereta jenis Mitsubishi Tredia dan Mitsubishi Galant miliknya yang diletakkan di bahu jalan Bandar Baru Ampang hilang dipercayai dicuri.

    “Susulan itu, polis pada keesokan harinya menahan seorang lelaki berumur 42 tahun di sekitar Ampang dan suspek kemudian membawa polis ke sebuah premis menjual besi buruk lalu menemukan sebuah lori dan dua kereta yang dilaporkan hilang pada Sabtu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Farouk berkata polis seterusnya menahan empat lagi individu berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk seorang wanita di sekitar Jinjang, Wangsa Maju dan Ampang.

    Tiga daripada mereka termasuk wanita itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka direman hingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 379A Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

  • Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    Wanita warga asing disyaki curi barang kemas majikan RM15,000

    POLIS menahan seorang wanita warga asing semalam kerana disyaki mencuri barang kemas milik majikannya, yang dianggarkan bernilai RM15,000.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 35 tahun itu, ditahan kira-kira 2 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh di Ipoh.

    Katanya, penahanan itu dibuat susulan laporan polis diterima daripada seorang wanita pada 3 petang Sabtu lepas, apabila mengesyaki barang kemas miliknya dicuri oleh suspek yang datang menjalankan kerja-kerja pembersihan di rumahnya, di Taman Rapat Setia Baru di Ipoh.

    “Dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas laporan polis diterima, polis berjaya menahan suspek yang baharu sahaja bekerja di rumah mangsa sejak sebulan lalu, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan sebanyak tiga kali seminggu.

    “Polis turut merampas pelbagai barang kes disyaki milik mangsa bernilai kira-kira RM13,000 dan resit-resit pajak gadai semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. – BERNAMA

  • Wanita curi barang kemas ibu dipenjara 4 bulan

    Wanita curi barang kemas ibu dipenjara 4 bulan

    AKIBAT mencuri barang kemas milik ibunya bernilai RM14,000, seorang wanita dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

    Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Bathma Abdullah, 36, yang mengaku bersalah mencuri sepasang loket emas, tiga utas rantai leher emas, tiga bentuk cincin emas, dua loket batu emas dan seutas rantai tangan emas milik ibunya, R. Devi Segar, 57.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Manjalara, Kepong pada 10 pagi, 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu serius, namun Bathma yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja. – BERNAMA

  • 8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    8 lelaki ditahan pecah masuk kedai telefon bimbit

    POLIS menahan lapan lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual telefon bimbit di Taman Kemuning dekat Kulim, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Mohd Redzuan Salleh berkata, kesemua yang berusia 18 hingga 28 tahun ditahan di Kulim dan Simpang Empat, Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

    “Polis menerima panggilan daripada orang awam pada 5.40 pagi pada hari kejadian yang memaklumkan ternampak tiga lelaki sedang mengheret sebuah peti besi di kawasan perumahan itu.

    “Pemilik premis telah membuat laporan polis pada 9 pagi hari sama selepas mendapati pintu belakang kedainya telah dipecahkan dan premis itu dalam keadaan berselerak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Redzuan berkata, pemilik premis turut memaklumkan 30 telefon bimbit dan sebuah peti besi telah hilang.

    Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek dan berjaya menahan tiga daripadanya di sekitar Kulim manakala lima lagi di Simpang Empat.

    Menurutnya, polis menemukan sebuah peti besi, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, tiga jam tangan, 23 kad prabayar, pelbagai aksesori telefon bimbit serta dua album mengandungi koleksi mata wang asing.

    “Turut dirampas, satu kuku kambing dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis itu, dua motosikal serta sebuah kereta yang disewa,” katanya.

    Mohd Redzuan berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Rumah dipecah masuk, ejen insurans rugi RM100,000

    Rumah dipecah masuk, ejen insurans rugi RM100,000

    SEORANG ejen insurans mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya di Bandar Baru Tambun di Ipoh dipecah masuk.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang daripada bercuti petang semalam.

    “Mangsa bersama ibu serta adik perempuan dan anaknya meninggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira 12.30 tengah hari Selasa lepas.

    “Bagaimanapun, semasa mangsa pulang ke rumahnya kira-kira 5 petang semalam mendapati pintu gelangsar dan jeriji dalam keadaan terbuka dan mempunyai kesan umpil serta kunci mangga juga telah dirosakkan di pintu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Anuar berkata, antara barangan yang hilang ialah cincin berlian, anting-anting berlian, jam tangan berjenama Rolex, wang tunai mata wang asing serta pasport antarabangsa milik pengadu dan anaknya dianggarkan kerugian bernilai RM100,500.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik polis menemukan sembilan kesan cap jari dan rumah ejen insurans tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.

    “Cap jari yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk tujuan perbandingan dan asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – BERNAMA

  • Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    Lelaki menyamar jadi polis curi motosikal

    POLIS menahan seorang lelaki di sekitar Mutiara Damansara semalam, yang disyaki mencuri motosikal Yamaha RXZ di sebuah pangsapuri bersama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas selepas menyamar sebagai anggota polis, Rabu lepas.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berumur 31 tahun yang ditahan pada pukul 11.50 malam itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A/170 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, hasil soal siasat, lelaki berkenaan mendakwa dia bersama dengan seorang kawannya yang dikenali sebagai ‘Mamat Mulong’ mengangkut motosikal itu dengan menggunakan sebuah lori yang dipandunya.

    “Suspek mendedahkan bahawa dia ditawar oleh ‘Mamat Mulong’ untuk melakukan kerja sambilan iaitu mengambil sebuah motosikal dengan bayaran upah RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya susulan penahanan itu polis merampas sebuah lori, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang spanar berbentuk ‘T’ yang telah diubah suai.

    Mohamad Fakhrudin, berkata polis sedang berusaha mengesan dua individu termasuk ‘Mamat Mulong’ bagi membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Azizi Bajan dengan menelefon 010-5882574.

    Semalam, tular satu video berdurasi 39 saat di Facebok yang dimuat naik pemilik akaun ‘Kaki Restor’ memaparkan dua lelaki yang mendakwa mereka anggota polis sedang mengangkut sebuah motosikal Yamaha RXZ berwarna biru ke dalam sebuah lori.

    Motosikal berkenaan disedari hilang oleh pemiliknya kira-kira pukul 5.20 petang Rabu lepas dan menurut menurutnya pemilik motosikal itu, suspek memasuki pangsapurinya dengan mengaku sebagai anggota polis kepada pengawal keselamatan serta mendaftar nama dan nombor kad pengenalan di pondok pengawal. – BERNAMA