Tag: Chaah

  • Banjir di Johor ragut nyawa 2 warga emas berjiran

    Banjir di Johor ragut nyawa 2 warga emas berjiran

    BANJIR di Johor terus menelan korban. Terbaharu dua warga emas ditemukan maut di dua rumah berasingan di Jalan Kwongsai, Chaah di Segamat pagi tadi.

    Kedua-dua mangsa, Lee Amo Yee, 78, dan Tan Sue Ke, 74, ditemukan terperangkap di kediaman masing-masing oleh waris mereka kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sejurus selepas menerima maklumat daripada anak mangsa, pasukan penyelamat bertindak melakukan pemeriksaan di kawasan rumah berkenaan.

    “Akibat bencana banjir ini, setakat ini kita telah kehilangan dua nyawa iaitu satu lelaki dan perempuan yang terperangkap di rumah masing-masing.

    “Awalnya kami menerima makluman daripada ahli keluarga dan apabila kawasan Chaah pulih daripada banjir sepenuhnya, kita periksa kedua-dua rumah mangsa dan mendapati mereka ditemui terperangkap dalam bencana banjir itu,” katanya hari ini, lapor Astro AWANI.

    Mengulas lanjut Ahmad Zamry berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila air naik mendadak setinggi dua meter dan mencecah paras bumbung di kediaman mangsa yang terletak berhampiran Balai Polis Chaah.

    Katanya, kedua-dua mangsa yang tinggal berseorangan merupakan jiran dan jarak rumah mereka hanya kira-kira 400 meter.

    “Kawasan rumah ini berada di kawasan pekan Chaah, Segamat iaitu di belakang Balai Polis Chaah dan dipercayai kedua-dua mangsa gagal keluar menyelamatkan diri apabila air naik dengan pantas.

    “Kedua-dua mangsa ini dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.

  • Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    Tunku Idris terbangkan sendiri helikopter hantar bantuan mangsa banjir

    TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim hari ini menggerakkan misi bantuan mangsa banjir dengan menerbangkan sendiri helikopter dari Johor Bahru ke Chaah, Segamat.

    Dalam misi itu, Tunku Idris turut membawa bekalan makanan serta barangan kebersihan diri untuk agihan mangsa banjir di kawasan itu.

    Menerusi perkongsian di Facebook The Royal Johor, helikopter kendaliannya berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    Helikopter kendaliannya yang berlepas dari Istana Bukit Serene, Johor Bahru pagi tadi sebelum mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali.

    “Sejurus mendarat, Tunku Idris turut membantu memunggah barangan tersebut daripada helikopter berkenaan.

    “Pengagihan bekalan makanan dan barangan kebersihan diri kemudian dilakukan pegawai serta sukarelawan dari Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

    Chaah antara kawasan yang terjejas teruk dengan lebih 2,100 terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selepas penempatan mereka dinaiki air.

  • Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    Jalan Labis-Chaah terputus, BBP Yong Peng ambil alih usaha menyelamat

    USAHA menyelamatkan mangsa banjir di sekitar Chaah oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Labis terjejas apabila Jalan Labis-Chaah, dekat Segamat, terputus hubungan akibat dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Bagaimanapun, Ketua BBP Labis Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata operasi menyelamat mangsa di kawasan itu diambil alih oleh pasukan BBP Yong Peng dan pasukan Bomba Sukarela Chaah.

    “Misi menyelamat di sekitar Chaah dilapor berjalan lancar dengan sokongan dari BBP Yong Peng dan pasukan sukarela Chaah.

    “Hujan lebat telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dan jumlah mangsa yang terperangkap akibat banjir dijangka terus meningkat. Kerja-kerja memindahkan mangsa banjir masih berjalan dan beberapa kawasan terputus hubungan seperti di Kampung Tenang, Pekan Air Panas dan Kampung Juaseh,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

    Beliau berkata BBP Labis kemudiannya menumpukan perhatian pada misi menyelamat di sekitar Labis yang dijalankan oleh dua pasukan. 

    Muhammad Hafifi berkata situasi banjir di pekan Labis dan sekitarnya serta beberapa perumahan, dinaiki air sedalam satu meter dengan paras air paling dalam dikenal pasti di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, dekat sini.

    “Antara aset yang digunakan adalah Jentera Scania J1-30, Ambulans J2-18, lori 3 tan, hilux, kembara, bot getah dan bot fiber.

    “Hujan lebat masih berterusan dan dijangka berlarutan sehingga esok. Seawal 4 pagi tadi, kami dah pindahkan 209 keluarga melibatkan 746 mangsa ke enam PPS di sekitar Labis,” kata beliau.

    Sementara itu, seramai 6,694 mangsa banjir dipindahkan ke 63 pusat pemindahan sementara di tujuh daerah terjejas banjir setakat 2 petang ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. – BERNAMA