Tag: ceroboh

  • Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    Lelaki turun landasan LRT ambil fon telinga ditahan, didakwa di mahkamah

    PERBUATAN seorang lelaki turun ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di stesen Taman Paramount, Petaling Jaya untuk mengambil fon telinganya yang terjatuh hanya mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 9.28 pagi.

    Katanya, laporan itu berkaitan tangkapan lelaki terbabit oleh Polis Bantuan Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

    “Kejadian berlaku pada pukul 8.09 pagi selepas penggera landasan berbunyi dan didapati terdapat seorang lelaki tempatan berada di landasan platform 1 (northbound).

    “Lelaki itu dikesan mengambil earphone di landasan terbabit hingga menyebabkan tren tergendala selama tiga minit,” katanya, hari ini lapor Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, lelaki tempatan berusia 23 tahun itu kemudian ditahan kerana menceroboh landasan kereta api.

    Katanya, lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Selasa di bawah Seksyen 62 Akta Keretapi 1991.

    Tegasnya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perbuatan jenayah.

  • Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    Lagi warga asing ceroboh Puncak Menara Merdeka 118

    SELEPAS diceroboh pasangan dari Rusia, puncak menara tertinggi di Malaysia yang masih dalam pembinaan, Merdeka 118, sekali lagi menjadi sasaran pencerobohan warga asing.

    Terbaharu puncak menara terbabit diceroboh kumpulan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots, yang berkongsi video ‘pencerobohan’ mereka yang didakwa dilakukan pada 30 Disember lalu bagi menarik perhatian peminat.

    Dalam rakaman selama 7 minit 18 saat itu memaparkan kumpulan terbabit, terdiri daripada sekurang-kurangnya empat individu, termasuk dua daripada mereka dikaburkan muka, menyelinap ke tapak bangunan itu dengan memakai jaket seperti pekerja binaan.

    Mereka kemudian memotong jaring keselamatan yang digunakan untuk menutup laluan masuk ke puncak menara, sebelum memanjat bangunan itu menuju ke puncak.

    Video itu juga memuatkan adegan mereka “meraikan” kejayaan selepas menawan Menara 118 di bilik hotel mereka.

    Dalam penerangan video itu, kumpulan itu berkata bahawa pendakian berkenaan “memakan masa, sukar dan penuh dengan cabaran.”

    “Beberapa percubaan telah berakhir dengan ada individu dipenjarakan, jadi kami sedar yang kami berdepan risiko besar.

    “Ini berakhir dengan jayanya. Ia adalah satu hadiah untuk mengakhiri tahun 2022 dengan menunjukkan rakaman tersebut,” dakwa kumpulan itu. lapor Berita Harian.

    Mereka mendakwa tindakan memanjat menara itu hanyalah ‘luahan artistik kebebasan yang dilakukan demi cinta”, dan bukan untuk menggalakkan sesiapa meniru semula tindakan yang dipaparkan.

    Bulan lalu, pasangan Rusia Angela Nikolau dan Ivan Beerkus, menceroboh dan menawan puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.

  • Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    Pasangan Rusia ceroboh panjat Menara Merdeka 118 disiasat

    POLIS akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di ibu negara, baru-baru ini.

    Jelas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, pihaknya akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan.

    “Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

    Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

    Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.

    Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.

    “Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya.

    Pasangan itu sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.

  • Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    Kubur di Sibu diceroboh, dirosak

    SEBANYAK 11 kubur di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim, Jalan Tun Abang Haji Openg di Sibu, diceroboh dan dirosakkan disyaki dilakukan seorang lelaki kurang siuman semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan awal mendapati batu nisan pada 11 kubur berkenaan dicabut kemudian dipercayai dihempas sehingga pecah dan patah manakala empat daripadanya mengalami kerosakan pada jubin lot kubur dipercayai akibat dihempas batu nisan.

    Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1.58 tengah hari di Balai Polis Pusat Sibu semalam dan siasatan dijalankan sejurus selepas itu.

    “Tiada sebarang senjata atau peralatan mencurigakan dijumpai di tempat kejadian. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

    Zulkipli turut menasihatkan masyarakat Islam agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sebaliknya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada polis atau tampil ke balai-balai polis berdekatan atau terus menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Hakimi Abd. Azid (01131873715).

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • 2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    2 remaja antara 3 ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

    DUA remaja antara tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri dan menceroboh kediaman milik kerabat diraja Johor, di Johor Bahru, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru ACP Raub Selamat berkata ketiga-tiga mereka yang berusia 16, 19 dan 47 tahun itu ditahan pada 11.40 pagi di lokasi kejadian susulan laporan mengenainya dibuat pada 10 pagi.

    Bagaimanapun, beliau berkata dua individu berjaya melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

    “Polis turut merampas dua kereta, satu unit mesin gergaji, empat helai sarung tangan kain, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu kunci kereta dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM150.

    “Hasil semakan dan saringan air kencing terhadap ketiga-tiga individu itu mendapati mereka tiada rekod jenayah selain negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – BERNAMA

  • Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    Lelaki ceroboh kubur, cabut nisan direman

    POLIS menahan reman seorang lelaki kerana disyaki menceroboh dan melakukan khianat di kawasan tanah perkuburan di Kampung Jawa, Semanggol di Bagan Serai yang videonya tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mazuki Mat berkata, lelaki berumur 36 tahun itu ditahan hasil maklumat awam kira-kira pukul 9 pagi pada 9 Jun lepas dan direman bermula 10 hingga 15 Jun ini.

    “Berdasarkan rakaman video berdurasi 1 minit 21 saat itu yang dimuat naik dalam media sosial pada 8 Jun, seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan menceroboh dan melakukan khianat di sekitar kawasan perkuburan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mazuki berkata, hasil siasatan dan semakan video itu mendapati, suspek tinggal berdekatan di kawasan itu.

    “Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih disiasat,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bilik hotel diceroboh pengawal keselamatan positif dadah

    [VIDEO] Bilik hotel diceroboh pengawal keselamatan positif dadah

    SEBUAH keluarga mengalami pengalaman menakutkan apabila bilik yang dihuni di sebuah hotel di Kota Bharu diceroboh oleh pengawal keselamatan pada malam Khamis lalu.

    Lebih mengerikan, polis mengesahkan suspek terbabit positif dadah jenis metamphetamine.

    Memetik laporan FMT, kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam di mana keluarga berkenaan mendapati pintu bilik mereka tidak dapat dibuka sekembalinya ke hotel selepas keluar pada pukul 5 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa kemudian menghubungi pihak pengurusan hotel dan memaklumkan mengenai perkara itu.

    “Selepas pintu berjaya dibuka, didapati seorang lelaki yang tidak dikenali berada dalam bilik terbabit. Suspek yang juga pengawal keselamatan berusia 20-an ditahan sebaik sahaja polis dimaklumkan mengenai kejadian.

    “Suspek didapati positif methamphetamine dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

    Terdahulu, tular video berdurasi 1.03 saat yang dimuat naik seorang individu memaparkan dakwaan seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam bilik hotel.

    https://twitter.com/onlyZ77/status/1522644200206258176

    Selain itu, Mohd Rosdi yang dipetik Berita Harian berkata, suspek telah ditahan reman empat hari hingga 9 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan tampil membantu siasatan jika ada maklumat,” katanya.

  • Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    Empat nelayan, bot pukat tunda ceroboh zon laut ditahan

    JABATAN Perikanan Pulau Pinang menahan sebuah bot pukat tunda zon C serta empat nelayan pada kedudukan 4.7 batu nautika dari Pulau Rimau dekat sini semalam.

    Bot nelayan itu ditahan Pasukan Cawangan Perlindungan Sumber jabatan itu menerusi Ops Harimau bermula pukul 2.30 petang.

    Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung aktiviti haram yang dijalankan bot berkenaan di kawasan laut berkenaan.

    Menurut beliau, kesemua nelayan yang ditahan itu merupakan warga tempatan berusia antara 35 hingga 60 tahun.

    Tambahnya, pemeriksaan juga mendapati nelayan-nelayan itu melekat kod palsu iaitu Zon B1 sedangkan kelas bot tersebut adalah kelas C.

    “Turut dirampas dalam operasi itu adalah sebanyak 500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis dan peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM650,000,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pulau Pinang, di sini hari ini.

    Noraisyah berkata, kesemua nelayan itu ditahan bagi membantu siasatan di bawab Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut.

    Jika sabit kesalahan, jelasnya, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, peralatan menangkap ikan dirampas dan lesen vesel digantung selama setahun.

    Dalam pada itu, tambah beliau, sebanyak 27 bot pukat tunda berjaya ditahan pihaknya sepanjang tahun ini setakat semalam iaitu peningkatan berbanding hanya 26 buah bot sepanjang tahun lalu.

    Malah jelasnya, kes pencerobohan bot pukat tunda itu juga menunjukkan trend peningkatan berbanding beberapa tahun kebelakangan ini iaitu hanya 17 tangkapan pada 2018 dan 28 (2019).

    “Dengan trend peningkatan tangkapan ini, kita akan mempergiatkan lagi operasi untuk menahan mereka yang terlibat.

    “Kita juga memohon semua pihak yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti haram di laut ini segera menyalurkannya kepada kami disebabkan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang salah boleh menyebabkan ekosistem hidupan laut terjejas,” katanya.