Tag: bunuh

  • Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    Lelaki berbogel disyaki sembelih isteri, bayi 3 bulan ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki dalam keadaan berbogel yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di kawasan Permas Jaya, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada pukul 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu.

    Dalam satu kenyataan beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan sekitar pukul 12.42 tengah hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan menelefon 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat ASP R. Kathiresh dengan menelefon 013-4472909 bagi membantu siasatan.

    Terdahulu tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di atas jalan raya.

    Sementara itu bapa mentua lelaki itu yang berumur 58 tahun ketika ditemui di tempat kejadian berkata, beliau hanya tahu mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi selepas dihubungi ahli keluarganya, sebelum terus bergegas ke rumah anak ketiganya itu.

    Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau melihat anak perempuannya yang berumur 26 tahun terbaring berlumuran darah di pintu hadapan rumah, manakala cucunya dikendong seorang jururawat.

    “Saya nampak ada kesan seperti kelaran di leher mereka, kemudian polis tiba beberapa minit kemudian,” katanya dan menambah sebelum kejadian, beliau difahamkan jiran berdekatan mendengar anak dan menantunya bertengkar.

    Beliau berkata, anaknya telah berkahwin tahun lepas dan majlis persandingan dijadualkan berlangsung pada 24 Julai ini.

    “Anak saya kerja separuh masa pembuat kuih-muih, boleh dikatakan setiap hari saya jumpa dan kali terakhir adalah semalam, gelagat dia juga seperti biasa ceria sahaja. Sepanjang dia berkahwin ini tidak ada pula dia kongsi ada masalah (rumah tangga) atau tidak,” katanya. – BERNAMA

  • Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    Penyerang bunuh wartawan, anak perempuan cedera

    PENYERANG yang tidak dikenali bertindak membunuh wartawan Antonio de la Cruz dari akhbar tempatan Expreso dan mencederakan anak perempuannya di kediaman beliau di Ciudad Victoria, Tamaulipas, lapor Sputnik.

    “Pagi ini, de la Cruz, wartawan akhbar Expreso, dibunuh.

    “Menurut maklumat awal, beliau diserang di rumahnya sendiri di jalan Puerta de la Luna, di kawasan Puerta de Tamatán di Ciudad Victoria,” menurut akhbar itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

    Anak perempuannya turut cedera dalam serangan itu.

    Pada 2021, tujuh wartawan Mexico dibunuh, disifatkan sebagai angka tertinggi di dunia, menurut pertubuhan hak asasi manusia Articulo 19.

    Dalam pada itu, seramai 35 wartawan terkorban dalam tempoh tiga tahun Presiden Andres Manuel Lopez Obrador memerintah.- BERNAMA

  • Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    SEORANG bekas komando berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendapati dia bersalah membunuh pasangan suami isteri yang juga jirannya.

    Memetik laporan Mirror, Collin Reeves, 35, dibicarakan di Mahkamah Diraja Bristol atas tuduhan membunuh Jennifer dan Stephen Chappel dengan menggunakan pisau istiadat pada 21 November tahun lalu.

    Kejadian tersebut berlaku di Norton Fitzwarren dekat Taunton di Somerset, United Kingdom.

    Rakaman CCTV menunjukkan Reeves mengeluarkan pisau tersebut dari bingkainya sebelum dia memanjat pagar dan menceroboh rumah jirannya.

    ex-commando Colin Reeves
    COLIN REEVES

    Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia menikam Jennifer, 33, dan Stephen, 36, sehingga mati.

    Semasa kejadian berlaku, anak-anak lelaki pasangan berkenaan yang ketika itu masih kecil sedang tidur.

    Reeves dikatakan pernah bertengkar dengan pasangan Chapple mengenai tempat letak kereta pada Mei 2021.

    Bekas komando yang pernah berkhidmat dengan Kor Jurutera Diraja UK di Afghanistan itu mengaku dia menikam Jennifer dan Steven.

    Walau bagaimanapun, dia tidak mengaku melakukan pembunuhan dan mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian.

    Pisau istiadat yang digunakan untuk membunuh pasangan Chapple diterima oleh Reeves semasa dia meninggalkan perkhidmatan tentera.

    Juri diberitahu bahawa Reeves berdepan masalah dalam perkahwinannya dan kira-kira 40 minit sebelum pembunuhan berlaku, isterinya, Kayley, meminta cerai.

    Pakar psikiatri forensik, Dr Lucy Bacon menyatakan bahawa Reeves mengalami kemurungan tahap sederhana ketika itu.

    Walau bagaimanapun, beliay mengesahkan Reeves tidak mengalami simptom stres pascatrauma (PTSD).

    Reeves menyertai perkhidmatan tentera pada 2006 dan berjaya melengkapkan latihan komando.

    Dia berkhidmat selama 11 tahun dan isterinya memberitahu, sikapnya berubah sejak dia pulang dari Afghanistan.

    Mahkamah akan menentukan hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Reeves pada Selasa depan.

  • Suami penggal kepala isteri, sumbat anggota badan dalam guni

    Suami penggal kepala isteri, sumbat anggota badan dalam guni

    SEORANG suami memenggal kepala isterinya dan membawa anggota badan yang disumbat dalam guni dengan meronda-ronda menunggang motosikal di sekitar kampung, di Phnom Penh, Kemboja, Jumaat lalu.

    Phuong Ratha, 27, dipercayai memenggal kepala Ly Srey Nouch, 23, selepas dia mendapati isterinya itu berlaku curang dengan lelaki lain.

    Phuong dikatakan menyerang isterinya di rumah sewa mereka yang turut didiami anak lelakinya berusia setahun, dengan memotong leher menggunakan pisau pemotong daging.

    Lelaki itu kemudian memasukkan kepala Ly Srey dalam guni putih dan membawanya mengelilingi kampung sebelum membuangnya dalam tempat pembuangan sampah berhampiran.

    Selepas kejadian, jiran pasangan itu, Phan Sreyphet, 48, yang memeriksa rumah mereka mendapat badan Ly Srey dipotong beberapa bahagian dan darah berlumuran di atas lantai.

    Tidak beberapa lama kemudian, polis melancarkan operasi memburu suspek dan berjaya menemuinya sehari selepas itu di kampung halamannya di wilayah Takeo yang terletak kira-kira 96 kilometer dari rumah sewa mereka.

    Semasa soal siasat, Phuong memberitahu polis bahawa dia memenggal kepala isterinya kerana cemburu dan bertindak menyembunyikan kepala itu.

    “Saya cemburu kerana isteri saya curang. Saya tidak memukulnya sebelum membunuhnya, tetapi menggunakan pisau besar untuk memenggal lehernya,” katanya menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi.

    Sementara itu, satu kenyataan disiarkan polis daerah Boeung Kak menyatakan mayat mangsa ditemui berlumuran darah oleh jiran mereka sebelum menghubungi polis pada jam 7 malam (waktu tempatan).

  • Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    Wanita mati dibunuh, teman lelaki anak dipercayai suspek

    SEORANG suri rumah warga Indonesia berumur 59 tahun maut dipercayai dibunuh oleh teman lelaki anaknya sendiri di Sandakan semalam.

    Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, anak mangsa berumur 25 tahun itu juga cedera dalam kejadian tersebut.

    “Kejadian berlaku kira-kira 5.50 petang di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa iaitu berlaku pertengkaran, lalu suspek bertindak mengelar bahagian leher mangsa dengan senjata tajam.

    “Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak perempuannya cedera ringan di bahagian tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Abdul Fuad berkata, suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan tidak lama kemudian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Buruh warga Indonesia mati ditetak dengan parang

    Buruh warga Indonesia mati ditetak dengan parang

    POLIS menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menetak seorang buruh dengan parang sehingga maut, selepas dikatakan mengamuk di rumah kongsi di Kampung Semangat, Pekan semalam.

    Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.30 pagi semasa buruh yang juga warga Indonesia hanya dikenali sebagai Selamet, 45, hendak ke tandas di luar rumah kongsi itu.

    “Suspek didakwa muncul secara tiba-tiba dalam keadaan mengamuk dan terus menetak mangsa beberapa kali termasuk di leher, dahi, dagu dan bahu selain turut menyebabkan telinga kanan mangsa putus sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati abang mangsa yang tinggal di situ, melihat suspek mundar-mandir dengan membawa parang kira-kira 30 minit sebelum kejadian, namun suspek kemudiannya dilihat balik semula ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah didiami mangsa.

    Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun berjaya ditahan semasa berada di tepi Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Kampung Ubai, Kuantan pada 7.30 pagi semalam, yang kemudiannya membawa kepada penemuan parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Lelaki maut dalam pergaduhan libat wanita bersenjata pedang

    [VIDEO] Lelaki maut dalam pergaduhan libat wanita bersenjata pedang

    SEORANG lelaki berusia 30-an maut selepas terbabit dalam kejadian pergaduhan melibatkan individu bersenjatakan pedang di Kampung Baru, Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 8.20 malam tadi.

    Pergaduhan itu turut melibatkan seorang wanita serta empat lelaki lain yang dipercayai warga tempatan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, tiga rakaman video mengenai kejadian tersebut yang masing-masing berdurasi 17, 10 dan lima saat turut tular kira-kira pukul 10.23 pagi ini.

    Menurut beliau, rakaman video yang dimuat naik menerusi laman Facebook, ‘Kongsi Segala Info’ itu turut memaparkan kejadian pergaduhan berkenaan yang menggunakan senjata tajam dipercayai sejenis pedang.

    Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat pergaduhan itu meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Bukit Mertajam di sini.

    “Siasatan awal mendapati lokasi kejadian itu adalah kawasan terbuka iaitu berhampiran medan selera dan kesemua yang terlibat juga didapati saling mengenali antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Ujarnya, siasatan lanjut berhubung punca kejadian itu masih diteruskan dan polis turut giat mengesan suspek lain yang terlibat.

    “Sehubungan itu, kita turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222,” katanya.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • Lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh

    Lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh

    POLIS menahan seorang lelaki warga Bangladesh lewat tengah malam tadi yang dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh seorang lelaki senegaranya di Sitiawan, Manjung, Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah premis tempat mencuci kereta di kawasan Sitiawan kira-kira pukul 12.50 tengah malam.

    “Polis turut merampas senjata yang digunakan yang dipercayai untuk menikam si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes itu berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek, dan lelaki berkenaan kini direman sehingga 14 Mei ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam, polis dilaporkan sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan selepas berlaku pergaduhan di ruang lapang pada bahagian atas bumbung sebuah bangunan kedai di Sitiawan Isnin lepas. – BERNAMA

  • Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    Kes bunuh: Bekas finalis MasterChef Malaysia dibenar ikat jamin

    BEKAS finalis program MasterChef Malaysia 2012, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong yang menghadapi pertuduhan membunuh, dibenar diikat jamin oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Supang Lian dan Datuk M. Gunalan dalam keputusan sebulat suara, membenarkan Etiqah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah juga memerintahkannya menyerahkan pasport kepada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu dan melapor diri di Balai Polis Penampang pada hari Isnin setiap minggu.

    Peguam Etiqah, Datuk Seri K. Rakhbir Singh memberitahu pemberita bahawa Hakim Lee yang menyampaikan keputusan, memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan ikat jamin Etiqah dan mahkamah berpuas hati terdapat keadaan khas untuk memberikan ikat jamin.

    Bekas finalis MasterChef Malaysia berusia 34 tahun itu yang juga jurutera Petronas didakwa bersama suaminya, Mohammad Ambree Yunos @Unos, 41, seorang kontraktor, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 29 Dis tahun lepas kerana membunuh pembantu rumah mereka.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Etiqah dan Mohammad Ambree.

    Pasangan itu didakwa membunuh Nur Afiah Daeng Damin, 28, di sebuah rumah di Amber Tower, Lido Avenue, Jalan Lintas, Penampang antara 10 dan 13 Dis tahun lepas.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara maya hari ini, Rakhbir Singh memohon anak guamnya (Etiqah) dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan dengan mengatakan bahawa Etiqah sakit dan mempunyai anak kembar yang kedua-duanya autistik.

    Beliau memohon Etiqah diberi ikat jamin di bawah Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan bahawa mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit yang dituduh melakukan kesalahan itu dibebaskan dengan ikat jamin.

    Rakhbir Singh berkata sebelum ini Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan anak guamnya.

    Menurut Rakhbir Singh kes itu masih belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar mewakili pendakwaan. – BERNAMA

  • Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    Rakan YouTuber terkenal didakwa bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki yang merupakan rakan seorang Youtuber terkenal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya.

    Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, antara 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

    Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala Abdul Jamal tidak diwakili peguam.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan seorang Youtuber lelaki dan tiga rakan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia dalam kejadian di Teluk Kumbar.

    Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau yang memaklumkan seorang wanita dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

    Pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan. – BERNAMA