Tag: buli

  • Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pelajar bahawa buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan.

    Sedih dengan kes buli di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah yang tular di media sosial semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan itu hanya membawa kepada budaya samseng.

    “Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerusi catatan di akaun Twitter rasminya.

    Semalam, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian pada 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata 13 pelajar tingkatan empat sekolah terlibat ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mengharapkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlaku lagi kes-kes buli seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ketua Wira Perkasa Kedah, Mohd. Alif Sani berkata, jalinan kerjasama itu juga turut perlu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak yang menularkan video-video buli yang tular tersebut.

    Menurutnya, penularan video sedemikian menimbulkan persoalan sama ada pelajar-pelajar terlibat bangga dengan sikap dan sifat gengsterisme ditonjolkan.

    “Kami dengan penuh harapan menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan dan kebijaksanaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam menyelesaikan masalah tersebut.

    “Dalam masa sama, kami juga mengajak kalangan pelajar agar berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang akan memalukan bangsa, selain berusaha menjaga hati serta perasaan keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD ALIF SANI

    Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Langkawi yang dibelasah beramai-ramai hingga tular di media sosial semalam.

    Berikutan laporan polis dibuat mangsa, seramai 13 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah ditahan dan diambil keterangan.

    Sementara itu katanya, kejadian buli yang tidak berkesudahan selama ini turut menimbulkan persoalan sama ada pendidikan moral dan sivik perlu diberi perhatian di sekolah-sekolah dalam negara ini.

    “Dalam masa sama, kita memahami kegusaran ibu bapa mengenai kemungkinan pihak sekolah lepas tangan atau cuba menyembunyikan kes seumpama ini bagi mengelakkan rekod sekolah tercalar,” katanya.

  • ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    KONSEP ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, pelaksanaannya tidak melibatkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru-guru akan menyelitkan elemen-elemen dalam konsep “Sekolahku Sejahtera” itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

    Radzi pada Isnin lepas berkata, konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

    “Konsep ini bukan suatu perkara retorik tapi ianya satu perjuangan untuk memastikan murid-murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda,” kata Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian bahawa budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius agar ia tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

    Katanya, kejadian yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dijadikan pengajaran kerana budaya buli boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

    Pada sidang media selepas itu, Radzi berkata, KPM sedang menyediakan kerangka baharu yang menyeluruh bagi membanteras masalah buli di sekolah termasuk di sekolah berasrama, yang melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan terhadap pendekatan sedia ada.

    Kerangka itu, katanya, memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

    Berhubung status 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ditamatkan pengajian kerana terlibat dalam kes buli seperti yang tular baru-baru ini, Radzi berkata, mereka boleh memasuki sistem persekolahan KPM namun perlu menjalani beberapa proses sebelum diterima masuk selain mengikuti sesi kaunseling.

    “KPM sedia maklum mereka ini sudah ada rekod sebab itu kita (KPM) tidak boleh terima dengan mudah. Mereka juga akan dipantau dengan rapi apabila diterima masuk kelak,” katanya sehingga kini KPM belum menerima permohonan kemasukan ke sekolah daripada penjaga murid-murid terbabit. – BERNAMA

  • Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dilanyak senior

    Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dilanyak senior

    BELUM lagi reda isu buli di sebuah maktab rendah sains Mara (MRSM) di Perak, timbul pula insiden terbaharu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga di Kluang, Johor.

    Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah pada 9 Disember lalu, pelajar terbabit mengadu sakit dada dipercayai akibat dibuli senior.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima laporan pada pukul 6.18 petang semalam.

    Menurut beliau, susulan kejadian itu mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di dada serta trauma dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli,” katanya dalam kenyataan media.

    Abdul Razak menambah, tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk mengesan suspek terlibat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    “Kami memandang serius kes jenayah seperti buli melibatkan pelajar di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat,” katanya.

    Hari ini, media melaporkan lima pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Muar, direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah sama.

    Mereka didakwa membuli seorang pelajar junior sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan cedera di rusuk kiri.

    Sebelum itu, 10 pelajar MRSM di Perak yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian serta-merta.

  • Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    Buli di berek bujang tentera, Hishammuddin arah siasat

    DAKWAAN seorang individu bahawa adiknya yang dipukul dan dibuli di berek bujang di sebuah kem tentera mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

    Melalui tangkap layar yang dikongsi dalam Twitter ‘Pedoq, what is this behavior?’ individu terbabit mendakwa insiden itu berlaku setiap hari dan wang gaji adiknya habis kerana diberikan kepada anggota-anggota tentera yang lebih senior.

    Menurutnya, adiknya perlu membeli barang keperluan untuk 12 hingga 14 anggota tentera yang lain di berek bujang tersebut.

    Namun, dia mendakwa, adiknya takut untuk membuat laporan manakala kes-kes serupa yang dilaporkan kepada pihak atasan sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawad selama 45 minit.

    Selain itu, adiknya bimbang akan berdepan tindak balas daripada anggota-anggota tentera yang lebih senior yang tinggal bersamanya di berek bujang berkenaan.

    Sehubungan itu, pengadu yang meminta identitinya dirahsiakan meminta pemilik akaun Twitter tersebut membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya.

    Walau bagaimanapun, lokasi kem tentera terbabit tidak dinyatakan.

    berek bujang tentera
    Tangkap layar mesej daripada pengadu.

    Sementara itu, Hishamuddin melalui laman Facebook miliknya meminta individu berkenaan supaya menghubungi beliau atau pejabatnya untuk memberi maklumat lanjut.

    “Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.

    Beliau menambah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga telah diarah untuk menelitti perkara itu secara peribadi.

    “Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

  • Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    Kaki buli jalan raya rampas beg tangan pemandu wanita

    SEORANG lelaki menunjukkan sikap kaki buli apabila merampas beg tangan dari kenderaan wanita yang terlanggar keretanya di kilometer 14.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, semalam.

    Sikap biadabnya mengundang padah apabila dia ditahan oleh polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

    Suspek terbabit ditahan selepas membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    “Siasatan mendapati, kemalangan yang tular di media sosial itu berlaku pada 1.33 tengah hari (semalam) membabitkan tiga kenderaan.

    “Kejadian berlaku apabila wanita yang memandu kereta BMW terlanggar belakang sebelah kanan kereta Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.

    “Pelanggaran itu menyebabkan kereta lelaki yang berusia 56 tahun itu terlanggar sebuah lagi kereta jenis Honda HRV di hadapan yang dipandu oleh seorang wanita. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Video tular berdurasi satu minit 30 saat itu menunjukkan gelagat lelaki terbabit meminta kad pengenalan wanita yang terlanggar keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis.

    Dia kemudian merampas beg tangan wanita terbabit dan membawanya ke kereta sambil mengarahkan wanita berkenaan mengikutnya membuat laporan polis.

    Kejadian dipercayai berlaku berhampiran stesen minyak Shell dan Petron di Lebuhraya Persekutuan sebelum susur ke Seksyen 13 serta Lebuhraya Guthrie.

    Selain itu, Baharudin berkata polis turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan lelaki berkenaan mengikut Seksyen 379/323 Kanun Keseksaan.

    “Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Sarjan Hafizi Hashim (013-9557042),” katanya.