Tag: Bukit Bendera

  • Kereta api funikular Bukit Bendera terkandas 2 jam

    Kereta api funikular Bukit Bendera terkandas 2 jam

    SERAMAI 180 pengunjung termasuk pelancong di Bukit Bendera terkandas lebih dua jam selepas perkhidmatan kereta api funikular mengalami kerosakan hari ini.

    Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan funikular itu mengalami gangguan pada pukul 2.10 petang dan kembali beroperasi pukul 4.15 petang sebelum operasi berjalan seperti biasa setengah jam kemudian.

    “Keralatan yang berlaku pada sistem telah mengaktifkan mekanisme keselamatan yang menyebabkan sistem brek funikular dihidupkan agar menghalang kereta api itu daripada bergerak.

    “Pasukan operasi PBBPP telah membawa para pengunjung ke Stesen Bawah dengan kerjasama servis jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung dan penduduk atas kesabaran serta kefahaman anda,” menurut kenyataan itu.

    PBBPP memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Bukit Bendera.

    Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng berkata apabila mekanisme keselamatan mengesan kemungkinan berlaku kerosakan, ia akan terus mengunci brek kereta api tersebut untuk bergerak dan kejadian berkenaan bukan disebabkan kes brek trek tidak berfungsi.

    “Secara keseluruhan, kami menganggarkan kira-kira 150 hingga 180 pengunjung terjejas (terkandas) akibat kejadian tersebut, ketika itu kebanyakan mereka berada di dalam kereta api dan sebahagian lagi sedang beratur dari Stesen Atas untuk turun ke bawah.

    “Kami telah memindahkan mereka di bawah prosedur kecemasan ke stesen terdekat atau tempat paling selamat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata semua pengunjung yang terkandas dibawa turun menggunakan jip ke Taman Botani sebelum dibawa dengan bas ke stesen bawah Bukit Bendera dan mereka yang telah membeli tiket namun tidak dapat melakukan perjalanan hari ini diminta untuk kembali semula esok untuk menaiki kereta api atau PBBPP mengembalikan semula wang. – BERNAMA

  • UNESCO iktiraf Bukit Bendera tapak rizab biosfera

    UNESCO iktiraf Bukit Bendera tapak rizab biosfera

    PERTUBUHAN Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga di bawah Program Man and the Biosphere (MAB).

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebelum ini UNESCO memberi pengiktirafan yang sama terhadap Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014).

    Menurut beliau, pengumuman tersebut dibuat pada 15 September 2021 semasa mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB).

    “Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai pusat fokus nasional kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan ini.

    “Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat Malaysia amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Takiyuddin menambah, rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan zon hijau kepada Pulau Pinang.

    Beliau memberitahu, ia melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuklah Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

    “Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin.

    “Setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.

    “Sehingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan, 131 spesies fungi, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan 5 spesies marin yang terdapat di kawasan tersebut,” jelasnya.

    Takiyuddin berkata, sebanyak 20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature’s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island Rock gecko.

    Menurut beliau, kementerian yakin bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB.