SERAMAI 180 pengunjung termasuk pelancong di Bukit Bendera terkandas lebih dua jam selepas perkhidmatan kereta api funikular mengalami kerosakan hari ini.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan funikular itu mengalami gangguan pada pukul 2.10 petang dan kembali beroperasi pukul 4.15 petang sebelum operasi berjalan seperti biasa setengah jam kemudian.

“Keralatan yang berlaku pada sistem telah mengaktifkan mekanisme keselamatan yang menyebabkan sistem brek funikular dihidupkan agar menghalang kereta api itu daripada bergerak.

“Pasukan operasi PBBPP telah membawa para pengunjung ke Stesen Bawah dengan kerjasama servis jip Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengunjung dan penduduk atas kesabaran serta kefahaman anda,” menurut kenyataan itu.

PBBPP memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Bukit Bendera.

Sementara itu, Pengurus Besar PBBPP, Datuk Cheok Lay Leng berkata apabila mekanisme keselamatan mengesan kemungkinan berlaku kerosakan, ia akan terus mengunci brek kereta api tersebut untuk bergerak dan kejadian berkenaan bukan disebabkan kes brek trek tidak berfungsi.

“Secara keseluruhan, kami menganggarkan kira-kira 150 hingga 180 pengunjung terjejas (terkandas) akibat kejadian tersebut, ketika itu kebanyakan mereka berada di dalam kereta api dan sebahagian lagi sedang beratur dari Stesen Atas untuk turun ke bawah.

“Kami telah memindahkan mereka di bawah prosedur kecemasan ke stesen terdekat atau tempat paling selamat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semua pengunjung yang terkandas dibawa turun menggunakan jip ke Taman Botani sebelum dibawa dengan bas ke stesen bawah Bukit Bendera dan mereka yang telah membeli tiket namun tidak dapat melakukan perjalanan hari ini diminta untuk kembali semula esok untuk menaiki kereta api atau PBBPP mengembalikan semula wang. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here